Saturday, August 7, 2010

Piala Malaysia: Finalis 2009 diundi satu kumpulan?


JUARA Piala Malaysia musim lalu, Negeri Sembilan dan naib juara, Kelantan mempunyai kebarangkalian diundi dalam satu kumpulan pada majlis undian di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya tengah hari ini.

Ini kerana, Negeri Sembilan dan Kelantan bakal diletakkan dalam dua balang berbeza berdasarkan kedudukan kedua-dua pasukan itu pada saingan Liga Super 2010 yang berakhir Selasa lalu.

Pada majlis undian yang turut akan dihadiri Timbalan Presiden FAM yang baru, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah itu nanti, 16 pasukan yang telah layak akan diasingkan ke dalam empat balang berbeza.

Balang 1 akan diisi empat pasukan teratas Liga Super musim ini iaitu Selangor, Kelantan, Terengganu dan Johor FC untuk diundi berada pada kedudukan A1, B1, C1 atau D1.

Balang 2 pula diisi pasukan di tangga kelima hingga kelapan Liga Super iaitu Kedah, Negeri Sembilan, T-Team dan Pahang untuk kedudukan sama ada A2, B2, C2 atau D2.

Balang 3 akan diisi pasukan di tangga kesembilan hingga ke-12 iaitu Kuala Lumpur, KL Plus, Perak dan Perlis untuk mengisi kedudukan A3, B3, C3 atau D3.

Manakala Balang 4 pula diisi empat pasukan teratas Liga Perdana musim ini iaitu Felda United, Sabah, PKNS FC dan ATM untuk diundi kedudukan A4, B4, C4 atau D4.

Maka terdapat kemungkinan untuk dua finalis musim lalu, Negeri Sembilan dan Kelantan bertembung lebih awal dalam saingan peringkat kumpulan.

Begitu juga dengan juara Liga Super, Selangor dan juara Liga Perdana, Felda United yang turut boleh diletakkan dalam satu kumpulan yang sama.

Apa pun semuanya terletak kepada keputusan undian tersebut sebelum 16 pasukan ini memulakan saingan pada 14 September depan bagi merebut dua slot ke final di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 30 Oktober depan.

0 comments: