Monday, August 9, 2010

Piala Malaysia 2010: Ketahanan pemain bakal diuji


SAINGAN Piala Malaysia 2010 bakal menguji ketahanan fizikal dan mental 16 pasukan bertanding apabila mereka perlu mengharungi tiga perlawanan dalam tempoh seminggu bagi aksi peringkat kumpulan.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terpaksa membuat jadual perlawanan yang agak padat itu memandangkan skuad kebangsaan mempunyai tugasan antarabangsa pada penghujung September depan.

Mengikut jadual yang dikeluarkan FAM ketika majlis undian kelmarin, tiga perlawanan pusingan pertama Piala Malaysia akan dilangsungkan selang tiga hari iaitu pada 14 September (Selasa), 17 September (Jumaat) dan 20 September (Isnin).

Ini kerana sehari selepas itu skuad kebangsaan bimbingan K. Rajagobal akan berkumpul menjalani latihan selama seminggu untuk persiapan menghadapi Piala Ho Chi Minh 2010 di Vietnam dari 28 September hingga 2 Oktober.

Selain Malaysia yang akan dibarisi skuad B-23 sebagai persiapan ke Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China, November depan, kejohanan jemputan itu turut akan disertai skuad B-23 dari Vietnam, Singapura dan Iran.

Selepas itu, saingan pusingan kedua Piala Malaysia akan kembali bersambung dengan baki tiga perlawanan berlangsung selang tiga hari iaitu pada 3 Oktober (Ahad), 6 Oktober (Rabu) dan 9 Oktober (Sabtu).

Kumpulan A dibarisi Kelantan, Negeri Sembilan, KL Plus dan PKNS, Kumpulan B dibarisi Terengganu, Pahang, Kuala Lumpur dan Sabah, Kumpulan C dibarisi Johor FC, Kedah, Perak dan ATM manakala Kumpulan D dibarisi Selangor, T-Team, Perlis dan Felda United.

Saingan suku akhir pada 12 dan 16 Oktober bakal menyaksikan juara Kumpulan A bertemu naib juara Kumpulan D, juara Kumpulan B bertemu naib juara Kumpulan C, juara Kumpulan C bertemu naib juara Kumpulan B manakala juara Kumpulan D bertemu naib juara Kumpulan A.

Aksi separuh akhir pula dijadualkan berlangsung pada 20 dan 23 Oktober, sementara aksi final akan diadakan pada 30 Oktober depan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

0 comments: