Friday, August 27, 2010

'Tak perlu timbul isu'


SEGALA pelantikan bagi jawatan pengerusi jawatankuasa-jawatankuasa tetap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) oleh Sultan Ahmad Shah pada Isnin lalu sepatutnya tidak dijadikan isu.

Terdahulu, terdapat suara-suara sumbang mendakwa Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa seolah-olah tidak diberikan jawatankuasa sepadan dengan kredibilitinya yang telah terbukti berjaya sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

Bagaimanapun, seorang lagi Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, kesemua 15 anggota Jawatankuasa Eksekutif FAM pada mesyuarat itu telah pun bersetuju dengan semua pelantikan tersebut tanpa sebarang bantahan.

"Saya rasa tidak menjadi isu kerana saya sendiri pun sepatutnya pegang tiga jawatankuasa tetapi saya lepaskan satu dan kini hanya pegang Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Pertandingan Antarabangsa.

"Bagi Tan Sri Annuar pula, beliau dilantik Pengerusi Jawatankuasa MSL (Liga Super Malaysia). MSL satu badan korporat yang penting. Banyak kerja perlu diuruskan, banyak masa dan tenaga digunakan perlu digunakan.

"Beliau juga dilantik Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita. Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pun kini memberi ruang buat bola sepak wanita dan berdasarkan potensi itu, kita tidak harus ketinggalan.

"Selain itu, beliau turut dilantik sebagai timbalan pengurus skuad kebangsaan dan itu juga satu tanggungjawab yang berat.

"Jadi memandangkan Tan Sri Annuar telah setuju dan terima pelantikan tersebut, maka sekarang ini tiba masa untuk kami semua buat kerja," kata Tengku Abdullah pada majlis pengumuman Jelajah Pra Musim Chelsea 2011/2012 ke Malaysia di Hotel One World, Bandar Utama semalam.

Annuar yang turut ditemui pada majlis sama enggan ditemu ramah, sebaliknya hanya memberitahu, beliau akan mengadakan satu sidang media khas dalam beberapa hari lagi.

Dalam perkembangan lain, Tengku Abdullah yang juga Presiden Persatuan Hoki Malaysia (PHM) berkata, beliau hanya akan mengekalkan jawatan dalam badan hoki kebangsaan itu jika khidmatnya masih diperlukan para perwakilan.

"Tetapi saya rasa pihak PHM sedang berusaha untuk tidak melepaskan saya. Dalam mesyuarat akan datang ini, mereka bakal bincang untuk menukar perlembagaan persatuan dengan tempoh pemilihan setiap tiga atau empat tahun berbanding dua tahun ketika ini.

"Mungkin mereka rasa saya boleh beri sumbangan kepada hoki tetapi bola sepak tetap dekat di hati saya manakala hoki merupakan sukan yang baru saya libat- kan diri dan masih mencari kestabilan," jelas Tengku Abdullah lagi.

0 comments: