Chelsea kembali singgah Malaysia
KELAB bola sepak England, Chelsea akan kembali berada di Malaysia.Juara Liga Perdana England itu dijadualkan menentang skuad kebangsaan bimbingan K. Rajagobal di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Julai tahun depan bersempena dengan Jelajah Pra Musim 2011/12.
Ia kunjungan ketiga Chelsea ke negara ini setelah mereka menewaskan Malaysia 4-1 pada Piala Liga Perdana Asia 2003 di Stadium Nasional, Bukit Jalil dan menang 2-0 ke atas skuad negara pada Jelajah Pra Musim 2008/09.
Pada aksi di Stadium Shah Alam pada 29 Julai 2008 itu, skuad negara yang ketika itu dibimbing B. Sathianathan tewas menerusi jaringan jaringan Nicolas Anelka (m-26) dan Ashley Cole (m-52) dengan Chelsea dibimbing Luiz Felipe Scolari.
Skuad Malaysia ketika itu dibarisi rata-rata pemain senior diketuai Shukor Adan, Indra Putra Mahayuddin, Norhafiz Zamani Misbah, Hardi Jaafar, Hairuddin Omar, Safee Sali, Amirulhadi Zainal, Helmi Eliza Elias serta kembar, Aidil Zafuan Radzak dan Zaquan Adha Radzak.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, kerjasama tersebut diharap dapat berterusan pada masa akan datang supaya Malaysia kekal menjadi destinasi pilihan Chelsea.
“Saya harap kita akan bersedia sepenuhnya untuk menerima kehadiran pasukan Chelsea pada Julai tahun depan dan harap semua hospitaliti termasuk padang dalam keadaan baik.
“Saya juga berharap agar Roman Abramovich (Pemilik Chelsea) bersama-sama hadir ke Kuala Lumpur untuk menyaksikan perlawanan itu sambil bercuti di negara ini,” katanya pada sidang akhbar di Hotel One World, Bandar Utama semalam.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Chelsea, Ron Gourlay pada sidang akhbar sama memberi jaminan bahawa Chelsea yang kini dibimbing Carlo Ancelotti bakal menurunkan skuad utama mereka pada perlawanan pra musim itu.
“Kami akan berada di sini (Malaysia) selama seminggu untuk kem latihan dan satu perlawanan. Kami bukan hanya semata-mata datang dan pergi, kami mahu lebih dekat dengan penyokong kami di sini,” kata Gourlay.
Antara bintang Chelsea musim ini ialah Petr Cech, Frank Lampard, Yossi Benayoun, Didier Drogba, Florent Malouda, Salomon Kalou dan John Terry.
Chelsea turut akan singgah ke Bangkok, Thailand dan sebuah lagi negara Asia yang akan diumumkan bulan depan dan segala maklumat lanjut terutama berhubung harga tiket akan diumum promoter jelajah, Pro Events.
0 comments:
Post a Comment