Selangor idam gelaran Piala Sultan Selangor 2010
TARIKH 15 Oktober dan 16 Oktober depan bakal menjadi dua hari yang cukup penting dan sibuk buat skuad bola sepak Selangor.
Mereka akan menghadapi Singapura pada perlawanan Piala Sultan Selangor 2010 di Stadium Shah Alam pada 16 Oktober depan, hanya sehari selepas beraksi perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia 2010.
Jurulatih Selangor, K. Devan bagaimanapun tidak mahu ia dijadikan masalah sambil meletakkan sasaran anak-anak buahnya beraksi cemerlang pada kedua-dua perlawanan tersebut.
"Jika Selangor mara ke suku akhir Piala Malaysia, saya akan pastikan kami dapat mencatat kemenangan selesa pada aksi pertama (12 Oktober).
"Ia supaya kita tidak perlu bersusah payah pada aksi kedua (15 Oktober), sekali gus dapat memberi tumpuan untuk aksi Piala Sultan Selangor (16 Oktober).
"Kami mahu tampil cemerlang dalam kedua-dua piala ini dan tidak akan ambil mudah perlawanan ini," katanya ketika di- temui pada Majlis Penyerahan Cek Penajaan Piala Sultan Selangor 2010 di Shah Alam petang semalam.
Tahun lalu, Selangor tewas 0-3 kepada Singapura pada saingan edisi kelapan di Stadium Jalan Besar, Singapura tetapi kali ini Devan yakin kelebihan aksi di laman sendiri mampu dimanfaatkan Selangor.
"Saya yakin skuad kali ini lebih baik daripada tahun lalu dan peluang untuk kita menang tampak cerah. Biarpun lawan memiliki pemain asing, jurang tidak terlalu jauh jika kita dapat tampil semangat tinggi," kata Devan.
Devan, 49, turut memberitahu, Selangor tidak akan meminjam pemain untuk Piala Malaysia tetapi akan menyenaraikan pemain Piala Presiden, K. Reuben Thayaparan, 20, bagi menggantikan Bunyamin Umar yang terpaksa berehat lima bulan akibat kecederaan lutut.
Pada majlis semalam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menerima replika cek bernilai RM500,000 daripada Benalec Sdn. Bhd. selaku penaja utama serta penaja-penaja lain iaitu Syabas, PNSB, Taliworks Corporation, Splash dan Sunway Group.
"Dengan hanya membeli tiket RM5, para penonton bukan saja dapat menyaksikan Veteran Selangor menentang Veteran Singapura (8 malam) dan skuad utama Selangor bertemu Singapura pada pukul 9 malam.
"Malah mereka turut berpeluang menikmati persembahan nyanyian daripada David Arumugam, Jamal Abdillah dan Francesca Peters," kata pengerusi penganjur, Datuk Abd. Karim Munisar.
0 comments:
Post a Comment