Wednesday, August 4, 2010

Skuad kebangsaan ‘asah kuku’ di China

MENJELANG tiga bulan sebelum menghadapi Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China November depan, skuad bola sepak kebangsaan akan mengadakan latihan dan siri aksi persahabatan di negara tersebut dari 28 Ogos hingga 6 September depan.

Skuad bimbingan K. Rajagobal itu bagaimanapun terlebih dahulu akan berkumpul menjalani latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya bermula 16 Ogos ini iaitu enam hari selepas umat Islam memulakan ibadat puasa Ramadan.

Selepas menjalani latihan awal selama lima hari, skuad kebangsaan seterusnya akan ke Singapura dari 21 hingga 24 Ogos untuk perlawanan persahabatan.

Mereka akan kembali berlatih di Wisma FAM selepas itu sehinggalah berlepas pula ke China pada 28 Ogos sebelum pulang ke tanah air lima hari sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Mengikut senarai yang dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam, seramai 26 pemain dipanggil bagi kem latihan skuad kebangsaan selama 22 hari itu.

Majoriti pemain yang dipanggil untuk kem latihan bulan lalu bagi menghadapi aksi persahabatan bertemu skuad Olimpik Korea Selatan yang dimenangi skuad negara 1-0 pada 25 Julai lalu dikekalkan dalam senarai kali ini.

Hanya beberapa pemain seperti penyerang Kedah, Ahmad Shakir Md. Ali, penjaga gol Perlis, Farizal Marlias dan penjaga gol Harimau Muda A, K. Sasikumar tidak dipanggil.

Farizal terpaksa berehat tiga bulan selepas mengalami patah tulang pipi manakala Sasikumar pula terlibat dalam kemalangan jalan raya baru-baru ini.

Sebagai ganti, Rajagobal memanggil penyerang Harimau Muda A, Izzaq Faris Ramlan dan seorang lagi penjaga gol skuad B-21 negara itu, Zamir Selamat.

Daripada 26 pemain yang dipanggil kali ini, hanya empat pemain lebih umur 23 tahun disenaraikan iaitu Sharbinee Allawee Ramli, Norshahrul Idlan Talaha, S. Kunanlan dan Azmi Muslim.

INFO:

SENARAI 26 PELATIH SKUAD KEBANGSAAN

PENJAGA GOL: Sharbinee Allawee Ramli (TER), Khairul Fahmi Che Mat (KEL), Zamir Selamat (HM).

PERTAHANAN: Aidil Zafuan Radzak (NS), Asraruddin Putra Omar, Nasriq Baharom (SEL), Azmi Muslim, Sabre Mat Abu (KDH), Muslim Ahmad, Mahali Jasuli, Faizal Muhammad, Fadhli Shas (HM).

TENGAH: Safiq Rahim (SEL), S. Kunanlan (NS), Amar Rohidan (PLS), Faizal Abu Bakar, Khyril Muhymeen Zambri (KDH), K. Gurusamy, Gary Steven Robbat, Fandi Othman, Wan Zack Haikal Wan Nor (HM).

PENYERANG: Ahmad Fakri Saarani (PLS), Baddrol Bakhtiar (KDH), Zaquan Adha Radzak (NS), Norshahrul Idlan Talaha (KEL), Izzaq Faris Ramlan (HM).

0 comments: