Hishan mahu futsal lebih kompetitif
NAIB Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Abdullah Hishan Mohd. Hashim bertekad untuk menjadikan futsal dan bola sepak pantai sebagai sukan yang lebih kompetitif di negara ini.Abdullah Hishan yang baru dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM pada Isnin lalu untuk menggantikan Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, dua sukan tersebut memerlukan satu lonjakan transformasi.
“Saya telah bertemu ahli-ahli jawatankuasa ini di Wisma FAM beberapa hari lalu untuk mendapat maklum balas mereka dan juga taklimat tentang perjalanan jawatankuasa sebelum ini.
“Jadi saya telah mendapat idea untuk melakukan lonjakan terhadap futsal dan bola sepak pantai ini untuk menjadi sukan kompetitif.
“Ini selaras dengan matlamat Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk menjadikan futsal sebagai sukan indoor yang paling kompetitif di dunia berbanding sukan-sukan lain,” katanya kepada pemberita di Bukit Damansara, Jumaat lalu.
Skuad futsal negara yang ketika ini menduduki ranking ke-58 dunia perlu memperbaiki prestasi mereka menjelang Sukan SEA 2011 untuk sekurang-kurangnya mempertahankan pingat perak yang dimenangi pada Sukan SEA 2007 di Korat, Thailand.
Selain itu, Abdullah Hishan turut bercadang untuk mengasingkan pasukan-pasukan negeri dan kelab yang ketika ini dicampur beraksi pada Liga Futsal Kebangsaan Felda/FAM.
“Saya rasa kita perlu asingkan pasukan negeri dan pasukan kelab ke dalam dua kejohanan yang berbeza. Dengan cara ini, saingan peringkat kebangsaan itu akan menjadi lebih kompetitif.
“Bagi memantapkan liga futsal kebangsaan ini juga, kami akan berbincang lanjut berhubung soal penajaan bagi memastikan ia lebih menarik kerana ketika ini ia hanya dianjurkan secara beberapa pusingan,” jelasnya.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) itu juga memberitahu, dia sudah membuat penyelidikan tentang pusat-pusat futsal di negara ini yang didapati tidak mengikut spesifikasi saiz gelanggang FIFA.
“Hanya empat atau lima saja pusat futsal yang mempunyai gelanggang mengikut saiz FIFA. Jadi saya akan cuba bincang perkara ini lebih lanjut dengan para pemilik pusat futsal terbabit,” ujarnya.
0 comments:
Post a Comment