Thursday, August 19, 2010

Misi menebus aib Doha 2006

HANYA tiga pemain skuad bola sepak Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar masih kekal dalam skuad kebangsaan untuk persiapan menghadapi Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China November depan.

Mereka terdiri daripada Safiq Rahim, 23, Khyril Muhymeen Zambri, 23, dan Norshahrul Idlan Talaha, 24, yang masing-masing menyimpan tekad menebus kekecewaan tewas dalam ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan, empat tahun lalu.

Pada ketika itu, Malaysia yang dibimbing jurulatih Norizan Bakar tewas 1-3 kepada Oman dan China sebelum dibelasah 4-0 oleh Iraq pada aksi terakhir.

Safiq dan Khyril beraksi dalam ketiga-tiga perlawanan itu.

Bagi Safiq, yang juga pemain tengah Selangor, dia menyifatkan skuad negara kini jauh berbeza jika dibandingkan dengan skuad empat tahun lalu kerana Malaysia kini sudah mampu mengimbangi kekuatan pasukan-pasukan lain di peringkat Asia.

"Ketika di Doha, saya baru berusia 19 tahun dan masih cetek pengalaman di pentas antarabangsa. Jadi kali ini keyakinan saya bertambah tinggi untuk bersaing dengan pasukan Asia yang lain.

"Di Guangzhou nanti, kami berazam memastikan Malaysia tidak menerima aib pada 2006 itu dan insya-Allah pasukan kali ini boleh mara lebih jauh," katanya ketika ditemui Kosmo! selepas sesi latihan pertama di Wisma FAM, Kelana Jaya, Isnin lalu.

Khyril yang beraksi untuk Kedah pula berkata, keserasian di kalangan pemain-pemain dalam skuad kebangsaan kali ini merupakan nadi kekuatan mereka untuk mencipta kejutan di Guangzhou nanti.

"Majoriti pemain dalam skuad ini telah lama beraksi bersama. Seperti Safiq, saya juga berusia 19 tahun ketika di Doha dan hanya mengerah kudrat semata-mata. Kali ini kami sudah ada pengalaman.

"Cuma apa yang penting ialah kami perlu menang pada perlawanan pertama nanti bagi mencerahkan peluang layak ke suku akhir," kata Khyril yang beraksi di posisi sayap.

Norshahrul, penyerang Kelantan pula mahu meneruskan prestasi konsisten kerana dia perlu merebut tiga slot pemain lebih umur untuk senarai 20 pemain yang akan dibawa jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal ke Guangzhou.

"Walaupun saya kerap dipanggil menyertai skuad kebangsaan, saya masih perlu berusaha keras bagi menjamin tempat. Pengalaman beraksi dalam dua perlawanan di Doha pada 2006 akan digunakan sepenuhnya.

"Tapi kali ini saya juga bertambah yakin kerana kita tidak lagi gentar ketika bertemu pasukan dari Timur Tengah seperti Jordan, Arab Saudi, Uzbekistan dan Syria sepanjang tahun lalu," kata Norshahrul.

Skuad kebangsaan yang kini sedang menjalani latihan sepanjang bulan Ramadan bakal mengadakan aksi persahabatan menentang skuad kebangsaan Thailand pada 28 Ogos, Oman pada 3 September dan Yemen pada 6 September depan.

REKOD SKUAD BOLA SEPAK MALAYSIA
DI SUKAN ASIA (1951-2006)

2006 - Peringkat kumpulan (M0,S0,K3)
2002 - Peringkat kumpulan (M1,S0,K2)
1998 - Tidak menyertai
1994 - Peringkat kumpulan (M1,S1,K2)
1990 - Peringkat kumpulan (M0,S1,K1)
1986 - Peringkat kumpulan (M0,S1,K2)
1982 - Peringkat kumpulan (M0,S0,K3)
1978 - Suku akhir
1974 - Pingat gangsa
1970 - Peringkat kumpulan (M0,S0,K3)
1966 - Peringkat kumpulan (M0,S0,K3)
1962 - Pingat gangsa
1958 - Peringkat kumpulan (M0,S0,K3)
1954 - Tidak menyertai
1951 - Tidak menyertai

M: Menang, S: Seri, K: Kalah

0 comments: