Wednesday, September 8, 2010

Harimau Muda A (2) FC Petrzalka (2)


SKUAD bawah 21 tahun kebangsaan, Harimau Muda A hampir berjaya mencatat kemenangan sulung di Slovakia sebelum seri 2-2 dengan FC Petrzalka pada aksi persahabatan kedua mereka semalam.

Petrazalka yang kini menduduki tangga keempat dalam saingan Liga 1 Slovakia terselamat daripada aib apabila Patrik Johancsik berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma pada minit ke-82.

“Kita dihadiahkan sepakan penalti pada separuh masa pertama tetapi sepakan Shukur Jusoh berjaya ditepis keluar penjaga gol Petrazalka.

“Terikat tanpa jaringan, kita akhirnya berjaya mendahului pada awal babak kedua menerusi Izzaq Faris Ramlan tetapi Petrazalka menyamakan kedudukan hasil sepakan penalti (Radoslav Augustin) pada minit ke-62.

“Selepas itu, Izzaq sekali lagi menjaringkan gol untuk membolehkan kami mendahului 2-1. Lantas saya mengingatkan pemain supaya tidak memberikan sepakan percuma kepada lawan tetapi akhirnya mereka berjaya juga menyamakan kedudukan.

“Tapi secara keseluruhan, kita beraksi lebih baik berbanding ketika tewas 1-3 kepada MFK Ruzomberok B pada Ahad lalu. Hantaran kita lebih kemas dan pertahanan juga lebih tersusun,” kata jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee ketika dihubungi malam tadi.

Kim Swee turut menghamburkan pujian buat penjaga gol Harimau Muda A, Izham Tarmizi Roslan, 19, yang telah mempamerkan persembahan cemerlang sepanjang perlawanan tersebut.

“Pada aksi pertama, saya menggunakan Zamir Selamat dan kali ini saya cuba pula Izham. Ternyata Izham beraksi pada tahap tertinggi dan ini memberi keyakinan untuk saya menurunkannya lagi pada perlawanan akan datang.

“Apa pun saya mahu semua pemain meneruskan prestasi konsisten mereka kerana banyak lagi perlawanan yang akan kita hadapi sepanjang berada di Slovakia ini,” ujarnya.

Skuad Harimau Muda A tidak akan turun beraksi pada hujung minggu ini untuk menyambut Aidilfitri dan perlawanan seterusnya ialah bertemu Slovan Duslo Sala pada Selasa depan.

0 comments: