Sunday, September 12, 2010

Aidilfitri di Slovakia


BIARPUN jauh di perantauan, barisan pemain dan pegawai skuad bawah 21 tahun kebangsaan, Harimau Muda A tetap menyambut pagi Syawal kelmarin dalam suasana meriah.

Skuad Harimau Muda A telah berlepas ke Zlate Moravce, Slovakia pada 2 September lalu untuk menjalani latihan dan siri perlawanan persahabatan selama tiga bulan sehingga penghujung November depan.

Selepas mengharungi dua aksi sulung ketika bulan Ramadan, pemain-pemain Harimau Muda A tidak ketinggalan menyambut Aidilfitri dengan menunaikan Solat Sunat Aidilfitri di tempat penginapan mereka, Hotel Vion.

Sambutan tersebut bukan saja diraikan 20 pemain Harimau Muda A yang beragama Islam, malah baki lima pemain yang bukan beragama Islam turut sama memeriahkan suasana.

Kapten pasukan, K. Gurusamy dan Gary Steven Robbat juga dilihat sama-sama mengenakan baju Melayu.

Turut serta, penolong jurulatih Harimau Muda A, Hassan Sazali Mohd. Waras dan fisioterapis pasukan, Mohd. Nasrul Ahmad Tajuddin.

Skuad Harimau Muda A yang dibimbing ketua jurulatih, Ong Kim Swee boleh dikatakan telah menampilkan aksi membanggakan pada dua perlawanan sulung mereka menentang kelab-kelab Liga 1 Slovakia setakat ini.

Setelah tewas 1-3 kepada MFK Ruzomberok B pada perlawanan pertama Ahad lalu, mereka berjaya mengikat FC Petrzalka 2-2 pada perlawanan kedua Selasa lalu.

Perlawanan ketiga bakal berlangsung pada Selasa ini iaitu menentang Slovan Duslo Sala dan semangat Aidilfitri pastinya melonjak keinginan para pemain Harimau Muda A untuk mencatat kemenangan sulung.

0 comments: