Tuesday, September 28, 2010

Ulangan final Sukan SEA 2009


SKUAD bola sepak kebangsaan bakal berdepan ujian getir apabila turun bertemu tuan rumah, Vietnam pada perlawanan sulung Piala Eximbank Millenium Thang Long 2010 di Stadium Thong Nhat, Ho Chi Minh City malam ini.

Bukan pasukan lawan yang digeruni anak-anak buah K. Rajagobal itu, namun mereka perlu berdepan puluhan ribu penyokong Vietnam yang pastinya masih menyimpan dendam terhadap skuad negara.

Puncanya, Malaysia telah menewaskan Vietnam 1-0 pada final Sukan SEA 2009 di Laos pada 17 Disember lalu hasil jaringan sendiri Mai Xuan Hop ketika cuba mengeluarkan bola sepakan Safiq Rahim.

Para penyokong Vietnam jelas cukup kecewa kerana pada aksi peringkat kumpulan sebelum itu, Vietnam berjaya menundukkan Malaysia 3-1 pada aksi yang diganggu keputusan kontroversi pengadil.

Justeru pertembungan malam ini pasti akan menjanjikan saingan yang hebat apabila kedua-dua pasukan sudah tentu bersemangat untuk membuktikan mereka lebih hebat.

13 daripada 20 pemain Malaysia pada Sukan SEA 2009 dibawa ke Vietnam bersama tujuh pemain baru iaitu Khairul Fahmi Che Mat, Faizal Abu Bakar, Fandi Othman, Fadhli Shas, Gary Steven Robbat, Izzaq Faris Ramlan dan Safee Sali.

Vietnam juga masih mengekalkan majoriti pemain pada Sukan SEA 2009 seperti Mai Tien Thanh, Hoang Dinh Tung, Nguyen Thai Duong, Chu Ngoc Anh, Nguyen Ngoc Anh dan Pham Minh Duc.

Namun Rajagobal tidak mahu terlalu memikirkan tentang dendam yang disimpan pasukan tuan rumah itu, sebaliknya menggesa para pemainnya menampilkan aksi konsisten menjelang Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China November depan.

"Saya tidak mahu meletakkan apa-apa sasaran untuk kejohanan di Vietnam ini. Saya lebih berminat untuk melihat konsistensi para pemain secara berterusan.

"Tidak guna juga jika kita berjaya muncul juara pada kejohanan ini tetapi apabila tiba kejohanan sebenar nanti mereka gagal mencapai tahap yang dikehendaki.

"Apa pun saya tetap mahu melihat perkembangan dan peningkatan prestasi para pemain saya pada tiap-tiap perlawanan bermula dengan aksi bertemu Vietnam ini," kata Rajagobal.

BARISAN KEMUNGKINAN:
Sharbinee Allawee Ramli, Sabre Mat Abu, Aidil Zafuan Radzak, Nasriq Baharom, Asraruddin Putra Omar, Ahmad Fakri Saarani, Safiq Rahim, Amar Rohidan, Baddrol Bakhtiar, Norshahrul Idlan Talaha, Safee Sali.

0 comments: