Sunday, September 26, 2010

Rajagobal mahu rentak lebih agresif (Malaysia 5 Felda United 1)


SKUAD bola sepak kebangsaan tampak begitu mantap jika dinilai persembahan mereka ketika membelasah juara Liga Perdana, Felda United 5-1 pada aksi persahabatan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya malam kelmarin.

Namun jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal mahu para pemainnya tampil lebih agresif dan bertenaga ketika mereka menentang Vietnam, Iran dan Singapura pada kempen Piala Millenium Thang Long di Ho Chi Minh City, Vietnam bermula Selasa ini.

"Saya lihat pemain beraksi kurang agresif pada separuh masa pertama biarpun kita mendahului 2-0. Jadi saya minta mereka lebih agresif pada babak kedua.

"Walaupun menang 5-1 tetapi ini sekadar gambaran awal prestasi pasukan dan saya mahu lebih daripada ini apabila kita beraksi di Vietnam nanti," kata Rajagobal.

Rajagobal menurunkan Khairul Fahmi Che Mat, Mahali Jasuli, Aidil Zafuan Radzak, Nasriq Baharom, Asraruddin Putra Omar, Ahmad Fakri Saarani, Amar Rohidan, Safiq Rahim, Baddrol Bakhtiar, Norshahrul Idlan Talaha dan Safee Sali dalam kesebelasan utama.

Safiq menyudahkan sepakan penalti seawal minit ketiga selepas Norshahrul dijatuhkan Nazrulerwan Makmor dan gol kedua menyusul menerusi rembatan kencang Safee pada minit ke-35.

Tiga pemain gantian, Faizal Abu Bakar, Ahmad Shakir Md. Ali dan Fandi Othman pula menambah tiga lagi gol pada minit ke-67, 72 dan 88 sebelum Nizam Abu Bakar menjaringkan gol saguhati Felda United pada minit ke-90 hasil sepakan percuma.

"Saya beri peluang kepada semua pemain pada perlawanan ini untuk melihat sikap mereka serta melihat sejauh mana tahap persefahaman mereka," jelas Rajagobal.

Dalam pada itu, Rajagobal telah menggugurkan empat daripada 24 pelatih sebelum skuad kebangsaan berlepas ke Ho Chi Minh City hari ini.

Pemain terbabit ialah Azmi Muslim, K. Gurusamy, Ahmad Shakir Md. Ali dan Zamir Selamat.
--------------------------------------------------------------

LAPORAN RINGKAS PERLAWANAN MALAYSIA LWN FELDA UNITED:

Separuh masa pertama:

Khairul Fahmi
Mahali - Aidil - Nasriq - Asra
Fakri - Safiq - Amar - Baddrol
Safee - Norshahrul

Minit 3: (1-0) Safiq menyudahkan sepakan penalti setelah Norshahrul dijatuhkan Nazrulerwan.

Minit 30: Kunanlan gantikan Baddrol.

Minit 35: (2-0) Safee merembat kencang menggunakan kaki kanannya dari sebelah kanan kotak penalti.

Minit 40: Gurusamy gantikan Safiq.

Minit 43: Faizal gantikan Norshahrul.

Khairul Fahmi
Mahali - Aidil - Nasriq - Asra
Faizal - Gurusamy - Amar - Kunanlan
Safee - Fakri

Separuh masa kedua:

Minit 45: Sharbinee gantikan Khairul Fahmi, Muslim gantikan Aidil, Fadhli Shas gantikan Nasriq, Izzaq Faris gantikan Fakri.

Sharbinee
Mahali - Muslim - Fadhli - Asra
Faizal - Gurusamy - Amar - Kunanlan
Safee - Izzaq

Minit 58: Gary Steven gantikan Amar.

Minit 64: Fandi gantikan Asra, Shakir gantikan Safee.

Sharbinee
Mahali - Muslim - Fadhli - Fandi
Faizal - Gurusamy - Gary - Kunanlan
Shakir - Izzaq

Minit 67: (3-0) Faizal menolak masuk bola yang gagal ditangkap kemas penjaga gol Felda United.

Minit 72: (4-0) Shakir yang tanpa dikawal mudah merembat masuk menewaskan penjaga gol Felda United.

Minit 75: Azmi gantikan Mahali.

Minit 85: Zamir gantikan Sharbinee.

Zamir
Kunanlan - Muslim - Fadhli - Azmi
Faizal - Gurusamy - Gary - Fandi
Shakir - Izzaq

Minit 88: (5-0) Fandi merembat kencang menggunakan kaki kirinya selepas membawa bola dari sebelah kiri.

Minit 90: (5-1) Nizam Abu Bakar pantas merembat masuk bola sepakan percuma ketika pemain Malaysia belum bersedia kerana sibuk membuat benteng.

0 comments: