Wednesday, September 8, 2010

Safee, Shakir ganti Zaquan


KECEDERAAN yang dialami penyerang Negeri Sembilan, Zaquan Adha Abdul Radzak memaksa jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal memanggil semula penyerang Selangor, Safee Sali dan penyerang Kedah, Ahmad Shakir Md. Ali untuk menghadapi Sukan Asia 2010 dan Piala AFF Suzuki 2010.

Zaquan terpaksa berehat enam bulan setelah mengalami kecederaan lutut - Anterior Cruciate Ligamen (ACL) ketika beraksi bersama skuad kebangsaan menentang kelab Qatar, Al-Jaish di Doha pada 30 Ogos lalu.

Safee, 26, pernah dipanggil Rajagobal semasa kem latihan di Antalya, Turki pada Jun lalu manakala Shakir, 21, sering berada dalam senarai pelatih kebangsaan tetapi tidak dipanggil untuk kem latihan di Doha baru-baru ini.

Namun nama Safee dan Shakir kembali berada dalam senarai 24 pelatih kebangsaan yang diumumkan semalam untuk kem latihan bermula 21 September depan bagi menghadapi Piala Millenium Thang Long di Ho Chi Minh City, Vietnam dari 28 September hingga 2 Oktober depan.

“Sesiapa saja pemain mengalami masalah seperti ini. Sebagai contoh ketika Piala Dunia 2010, kita tak jangka pemain-pemain utama dunia seperti Nani, Rio Ferdinand dan Michael Ballack tidak dapat beraksi kerana cedera.

“Skuad negara kita pun pernah menghadapi situasi sama ketika Sukan SEA 2009 di Laos apabila Khyril Muhymeen Zambri dan Bunyamin Umar juga cedera.

“Tapi benda sudah terjadi. Zaquan memang saya akui seorang pemain yang memiliki karakter, ketahanan tinggi, kesungguhan dan komitmen. Sebagai jurulatih, pasti saya terasa kehilangannya.

“Namun saya kini perlu fikir serta merta pengganti Zaquan untuk mencari gandingan baru bagi Norshahrul Idlan Talaha.

“Kita ada Safee, Shakir serta Ahmad Fakri Saarani, Izzaq Faris Ramlan dan Faizal Abu Bakar untuk dicuba,” kata Rajagobal ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Dalam senarai 24 pelatih terbaru itu, Rajagobal menggugurkan empat pemain daripada senarai pelatih sebelum ini iaitu Khyril Muhymeen, Zaquan Adha, Faizal Muhammad dan Wan Zack Haikal Wan Nor.

“Bukan Khyril tak bagus. Cuma selepas pembedahan ACL, dia masih belum dapat kembali kepada prestasinya yang sebenar. Biar dia dapat keyakinan semula dengan beraksi bersama Kedah sepanjang Piala Malaysia.

“Tapi nama Khyril masih ada dalam senarai 45 pemain yang didaftarkan untuk Sukan Asia dan dia akan dipanggil semula jika berjaya meningkatkan semula prestasinya,” jelas Rajagobal.

Untuk senarai pelatih kali ini, Rajagobal menyenaraikan lima pemain lebih umur 23 tahun untuk merebut tiga slot ke Sukan Asia iaitu Safee, Norshahrul, Sharbinee Allawee Ramli, Azmi Muslim dan S. Kunanlan.

INFO:

SENARAI 24 PELATIH SKUAD KEBANGSAAN

PENJAGA GOL: Sharbinee Allawee Ramli (TER), Khairul Fahmi Che Mat (KEL), Zamir Selamat (HM).

PERTAHANAN: Aidil Zafuan Radzak (NS), Asraruddin Putra Omar, Nasriq Baharom (SEL), Azmi Muslim, Sabre Mat Abu (KDH), Muslim Ahmad, Mahali Jasuli, Fadhli Shas (HM).

TENGAH: Safiq Rahim (SEL), S. Kunanlan (NS), Amar Rohidan (PLS), Baddrol Bakhtiar (KDH), Ahmad Fakri Saarani (PLS), K. Gurusamy, Gary Steven Robbat, Fandi Othman (HM).

PENYERANG: Norshahrul Idlan Talaha (KEL), Faizal Abu Bakar (KDH), Izzaq Faris Ramlan (HM), Safee Sali (SEL), Ahmad Shakir Md. Ali (KDH).

0 comments: