Thursday, September 23, 2010

Piala AFF sasaran Farizal


KHABAR gembira diterima penjaga gol kebangsaan, Farizal Marlias semalam apabila dia dibenarkan beraksi semula dalam tempoh sebulan setengah lagi.

Farizal terpaksa diketepikan sejak dua bulan lalu setelah mengalami kecederaan patah tulang pipi ketika sesi latihan skuad kebangsaan - lima hari menjelang pertemuan persahabatan menentang Korea Selatan pada 25 Julai lalu.

“Pagi tadi (semalam) saya telah berjumpa doktor di Hospital Pakar KPJ Damansara dan doktort beritahu, saya boleh mula bermain lagi sebulan setengah.

“Tetapi untuk beraksi pada Sukan Asia 2010 (awal November depan), doktor nasihatkan supaya saya tidak tergesa-gesa. Dia mahu saya benar-benar pulih sepenuhnya.

“Jadi atas nasihat doktor itu, saya meletakkan sasaran untuk kembali merebut tempat dalam skuad kebangsaan ke Piala AFF Suzuki 2010 di Indonesia pada awal Disember depan,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Farizal ketika ini ‘menumpang’ sesi latihan skuad kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya sejak kelmarin biarpun namanya tidak tersenarai dalam skuad 24 pelatih.

“Sepanjang Ramadan lalu saya turut sama menyertai latihan mereka di Wisma FAM tetapi sekadar latihan ringan. Sejak semalam (kelmarin), saya sudah mula menyertai latihan penjaga gol.

“Saya sedar bukan mudah untuk kembali dalam skuad kerana saya perlu bersaing dengan penjaga gol sedia ada ketika ini. Tapi saya akan berusaha bersungguh-sungguh mempertingkatkan semula prestasi selepas pulih sepenuhnya,” jelas Farizal.

Ketika ini, jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal menyenaraikan tiga penjaga gol iaitu Sharbinee Allawee Ramli, Khairul Fahmi Che Mat dan Zamir Selamat di bawah kendalian jurulatih penjaga gol, Faozi Mukhlas.

Penjaga gol Perlis yang berasal dari Pahang itu turut memberitahu, dia akan terus memakai topeng pelindung muka untuk tempoh tiga bulan ini sebagai langkah mengelak berlaku hentakan kuat pada tulang pipinya.

0 comments: