Monday, September 6, 2010

Harimau Muda tewas perlawanan sulung


SKUAD bola sepak bawah 21 tahun negara, Harimau Muda A memulakan siri perlawanan persahabatan di Slovakia dengan mengalami kekalahan 1-3 kepada MFK Ruzomberok B pada aksi di tempat lawan malam tadi.

Namun bagi jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee, dia tetap berpuas hati dengan aksi anak-anak buahnya yang disifatkan mampu menyaingi corak permainan pantas pasukan lawan.

“MFK Ruzomberok B merupakan pasukan yang bagus dan mereka turut diperkuat empat pemain import. Walaupun tewas, kami tetap dapat memberikan tentangan sengit.

“Kita ketinggalan 0-2 menerusi jaringan pada minit kelapan dan ke-55 tetapi bangkit merapatkan kedudukan hasil jaringan Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria sejurus kemudian.

“Namun pasukan lawan berjaya menjaringkan gol ketiga menerusi sepakan penalti pada minit ke-70,” kata Kim Swee ketika dihubungi Kosmo! malam tadi.

MFK Ruzomberok B kini menduduki tangga ke-10 daripada 12 pasukan dalam saingan Liga 1 Slovakia selepas mengharungi tujuh perlawanan.

Pada kunjungan terdahulu ke Slovakia sepanjang Februari hingga Mei lalu, skuad Harimau Muda pernah bertemu MFK Ruzomberok B sebanyak dua kali.

Perlawanan pertama di gelanggang sendiri pada 6 Mac, Harimau Muda A yang ketika itu dibimbing Azraai Khor Abdullah tewas 0-2 dan pada perlawanan kedua di tempat lawan pada 21 Mei, mereka sekali lagi tewas 0-2.

Untuk perlawanan persahabatan kedua selepas ini, anak-anak buah Kim Swee itu akan menanti kunjungan Petrazalka di Zlate Moravce malam esok.

Petrazalka kini menduduki tangga keempat dalam saingan Liga 1 Slovakia.

0 comments: