Zaquan ditimpa malang
MALANG menimpa penyerang utama skuad kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Radzak.
Dia terpaksa melupakan terus saingan Piala Malaysia, Sukan Asia 2010 dan Piala AFF Suzuki 2010.
Pemain Negeri Sembilan itu akan berehat selama enam bulan selepas disahkan mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) pada lutut kirinya.
Zaquan, 23, tercedera ketika skuad kebangsaan menentang kelab Qatar, Al-Jaish di Doha pada 30 Ogos lalu dan dia terus melakukan pemeriksaan di Hospital Pantai, Ampang semalam sekembalinya ke tanah air kelmarin.
Menurut Zaquan, dia akan menjalani ujian imbasan resonan bermagnet (MRI) disusuli pembedahan ACL selepas Aidilfitri nanti.
“Pemeriksaan doktor pagi tadi (semalam) mengesahkan saya mengalami kecederaan ACL. Memang saya kecewa sangat selepas mendengar penjelasan doktor kerana saya akan terlepas dua kejohanan besar pada hujung tahun ini.
“Cuma keajaiban pada ujian MRI nanti yang membolehkan saya tidak dibedah. Tapi harapan saya tipis kerana kebiasaannya kecederaan seperti itu tetap kena bedah juga,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Jelas Zaquan, kecederaan ACL itu mengulangi detik malangnya ketika mengalami kecederaan sama pada lutut kanannya sehingga menyebabkan dia terlepas peluang ke Sukan Asia di Doha pada 2006.
“Mungkin ini badi Sukan Asia. Tapi saya anggap semua ini ada hikmahnya dan saya berazam untuk kembali bangkit membantu skuad kebangsaan selepas pulih nanti,” ujarnya.
Secara kebetulan, Zaquan juga dikhabarkan bakal mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Ayu Raudhah pada Januari depan dan mungkin inilah masa yang sesuai untuk pemain itu berehat seketika daripada bola sepak.
Dengan ketiadaan Zaquan, jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal perlu mencari rakan gandingan baru buat Norshahrul Idlan Talaha untuk mengemudi jentera serangan skuad negara dalam Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China pada November dan Piala AFF Suzuki 2010 pada Disember depan.
Bagi pasukan Negeri Sembilan pula, ketiadaan Zaquan pasti mengganggu persiapan mereka bagi mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia yang dimenangi mereka musim lalu.
0 comments:
Post a Comment