Wednesday, September 8, 2010

FAM lulus 20 pemain pinjaman


SERAMAI 20 pemain telah mendapat kelulusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk turun beraksi secara pinjaman dengan pasukan baru mereka pada saingan Piala Malaysia bermula 14 September depan.

Felda United, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Sabah menjadi tiga pasukan yang menggunakan sepenuhnya kesempatan peluang tersebut apabila memanfaatkan kuota meminjam maksimum tiga pemain.

Juara Liga Perdana, Felda United yang dibimbing E. Elavarasan kini sah akan meminjam penjaring kedua terbanyak Liga Perdana, G. Puaneswaran dari Pos Malaysia serta S. Harivarman (PDRM) dan Elias Sulaiman (USM FC).

ATM pula yang dibimbing Zulhamizan Zakaria bakal menggunakan khidmat tiga pemain skuad Liga Super Pulau Pinang iaitu penjaga gol, Amir Omar Khata, V. Jaganathan dan Suhaidi Akmal Md. Noor.

Manakala naib juara Liga Perdana, Sabah yang dibimbing Gary Phillip meminjam dua pemain Johor iaitu Ismail Suboh dan Redzuan Radzy serta pemain PDRM, Afif Amiruddin.

Sementara itu, tiga pasukan dari Liga Super iaitu Perlis, Pahang dan Negeri Sembilan meminjam dua pemain.

Perlis bakal menggunakan khidmat Rosaiful Nizam Omar (Johor) dan Suhardy Albi (USM FC), Pahang menggunakan Faizol Hussain (Johor) dan Khairul Azhan Khalid (Shahzan Muda) manakala Negeri Sembilan mendapatkan L. Rajesh (Johor) dan Shahruddin Ismail (Pos Malaysia).

Lima lagi pasukan hanya meminjam seorang pemain iaitu Kuala Lumpur meminjam Azmi Sarmin (Johor), Perak meminjam Wan Hossen Wan Ghani (Pulau Pinang), Johor FC meminjam Zaidi Ibrahim (Melaka), Terengganu meminjam Abdul Rayjal Jalil (PDRM) dan KL Plus meminjam Zafran Olibullah (Pos Malaysia).

Hanya lima pasukan yang tidak menggunakan sebarang pemain pinjaman bagi kempen Piala Malaysia kali ini iaitu Kelantan, Selangor, Kedah, T-Team dan PKNS.

0 comments: