Wednesday, September 29, 2010

Vietnam balas dendam di Saigon


HO CHI MINH CITY – Dendam Vietnam yang tewas kepada Malaysia pada final acara bola sepak Sukan SEA 2009 di Laos pada Disember lalu akhirnya terbalas.

Mereka berjaya mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas skuad kebangsaan Malaysia pada aksi sulung Piala Eximbank Millenium Thang Long 2010 di Stadium Thong Nhat di sini malam tadi.

Kegagalan Malaysia menahan asakan awal pasukan tuan rumah menjadi punca kekalahan tersebut biarpun mereka selepas itu dilihat berjaya mendominasi permainan berbanding Vietnam.

Namun, Vietnam yang dibantu sokongan 15,000 penyokong sendiri jelas menguasai sepenuhnya babak awal permainan yang berlangsung dalam keadaan hujan renyai-renyai.

Seawal minit kelapan, kesilapan penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat yang membuat sepakan lemah hampir dihukum Tran Dinh Dong tetapi bola lambungnya sedikit melepasi palang gol.

Namun, gawang Malaysia bocor juga pada minit ke-19 setelah Nguyen Anh Duc mudah menolak masuk bola muntah Khairul Fahmi hasil percubaan awal DinhThanh Trung untuk gol pertama Vietnam.

Tujuh minit kemudian, Vietnam mendapat gol kedua sekali lagi menerusi Anh Duc yang mudah melepasi dua pertahanan tengah Malaysia, Aidil Zafuan Radzak dan Nasriq Baharom sebelum melepaskan rembatan menewaskan Khairul Fahmi.

Hanya selepas setengah jam beraksi barulah anak-anak buah K. Rajagobal dilihat menemui rentak dan mula melakukan beberapa percubaan tepat ke arah pintu gol Vietnam.

Pada minit ke-44, peluang Malaysia kembali cerah apabila memperoleh gol pertama setelah penjaga gol Vietnam, Bui Tan Truong tergelincir ketika melakukan sepa- kan percuma di penjuru kanan.

Bola yang tepat menuju ke arah Norshahrul Idlan Talaha tidak dipersia-siakan penyerang Malaysia itu untuk merembat masuk bola ke gawang terbuka bagi merapatkan kedudukan.



Babak kedua bermula, rentak Malaysia semakin tersusun apabila berjaya menguasai permainan dan dilihat lebih banyak mengasak ke arah kubu pertahanan tuan rumah.

Bagi menambah sengat di bahagian serangan, Rajagobal telah memasukkan Baddrol Bakhtiar dan Ahmad Fakri Saarani bagi menggantikan Fandi Othman dan Safee Sali pada minit ke-65 dan 70.

Namun, Malaysia tetap gagal mencari gol penyamaan biarpun masa kecederaan selama lima minit diberikan pengadil.

“Saya sudah beritahu pemain, Vietnam tentu mahu membuktikan sesuatu di hadapan penyokong mereka serta mahu membalas dendam tewas pada Sukan SEA 2009.

“Memang kita tidak beraksi baik pada 30 minit pertama apabila pemain hilang tumpuan, hilang kawalan bola serta dibolosi dua gol yang berpunca daripada kesilapan pertahanan.

“Tetapi kita bangkit dan menguasai babak kedua dengan aksi lebih baik dan agresif. Kita patut boleh seri atau menang.

“Jadi kita tak perlu rasa terlalu kecewa,” kata Rajagobal ketika ditemui selepas perlawanan.

Sementara itu, pada perlawanan terdahulu yang berlangsung di gelanggang sama, Singapura dan Iran sekadar mencatat keputusan seri 1-1.

Iran mendahului pada minit ke-22 menerusi sepakan percuma Aliasgaridehaghi Hamidreza tetapi Singapura berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-65 hasil tandukan pemain gantian, Luo Zhenlun Eugene selepas sepakan sudut.

Perlawanan kedua esok menyaksikan Malaysia bakal bertemu Iran manakala Vietnam bertemu Singapura.

Malaysia: Khairul Fahmi Che Mat, Mahali Jasuli (Sabre Mat Abu), Nasriq Baharom (Muslim Ahmad), Aidil Zafuan Radzak (ketua pasukan), Asraruddin Putra Omar, S. Kunanlan, Safiq Rahim, Amar Rohidan (Gary Steven Rob- bat), Fandi Othman (Baddrol Bakhtiar), Norshahrul Idlan Talaha (Izzaq Faris Ramlan), Safee Sali (Ahmad Fakri Saarani).

Vietnam: Bui Tan Truong, Nguyen Quoc Long, Nguyen Thanh Long Giang, Nguyen Minh Duc (ketua pasukan), Tran Dinh Dong (Vo Hoang Quang), Dinh Thanh Trung (Mai Tien Thanh), Nguyen Ngoc Dieu (Phan Thanh Hung), Bui Van Hieu, Nguyen Duc Thien (Hoang Danh Ngoc), Le Van Thang (Nguyen Thai Duong), Nguyen Anh Duc.

PENGADIL: Mahapab Chaiya Alee (Thailand).

* Pemain gantian dalam kurungan.

0 comments: