Thursday, October 7, 2010

Sukan Asia: Aksi pembukaan jadi penentu


K. RAJAGOBAL tidak terlalu berharap Malaysia diletakkan sama kumpulan dengan mana-mana pasukan menjelang majlis undian acara bola sepak Sukan Asia 2010 di The Garden Hotel, Guangzhou, China hari ini.

Sebaliknya, jurulatih skuad kebangsaan itu menganggap perlawanan sulung yang dijadualkan berlangsung pada 7 November nanti merupakan sesuatu yang lebih penting.

“Bagi saya, tak kisahlah sama ada Malaysia diletakkan dalam kumpulan mana. Dalam bola sepak, kita perlu sentiasa menghormati mana-mana pasukan tanpa mengira mereka kuat atau lemah.

“Apa pun, perlawanan pertama di Guangzhou nanti sangat penting untuk kita mencari satu keputusan yang baik untuk mencerahkan peluang mara ke peringkat seterusnya,” kata Rajagobal ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pada saingan Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar, skuad negara yang ketika itu dibimbing Norizan Bakar tewas 1-3 kepada Oman pada perlawanan pertama sebelum tewas dalam dua lagi baki aksi Kumpulan E iaitu kepada China (1-3) dan Iraq (0-4).

Menurut laporan laman web rasmi Sukan Asia 2010, www.gz2010.cn semalam, sebanyak 24 pasukan telah mengesahkan pendaftaran untuk acara bola sepak iaitu Bahrain, Bangladesh, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), China, Hong Kong, India, Iran.

Jepun, Jordan, Korea Selatan, Korea Utara, Kuwait, Kyrgyzstan, Malaysia, Maldives, Oman, Pakistan, Palestin, Qatar, Singapura, Thailand, Turkmenistan, Uzbekistan dan Vietnam.

24 pasukan ini akan diletakkan dalam enam kumpulan pada majlis undian hari ini bagi saingan tersebut yang hanya membenarkan setiap pasukan menyenaraikan tiga pemain senior melebihi usia 23 tahun.

Rajagobal turut meminta para penyokong bola sepak negara faham dengan situasinya dalam memilih 20 pemain terbaik untuk dibawa ke Guangzhou pada 5 November depan.

“Peminat kena tahu, saya perlu hantar senarai awal nama 45 pemain sebelum senarai itu dikecilkan pula kepada 30 pemain. Ketika kejohanan sudah hampir nanti, saya perlu hantar pula senarai akhir 20 pemain.

“Jadi saya tak boleh nak selitkan mana-mana pemain baru yang tiba-tiba menyinar pada Piala Malaysia sedangkan sepanjang saingan Liga Super aksinya tidak begitu memberangsangkan,” jelas Rajagobal.

0 comments: