Monday, October 25, 2010

Persahabatan bola sepak: Malaysia 3 ATM 2


SELEPAS seminggu berlatih bersama, skuad bola sepak kebangsaan mengadakan perlawanan ujian pertama menentang skuad Liga Perdana ATM di Padang Wisma FAM, Kelana Jaya petang tadi.

Keputusannya, skuad kebangsaan bimbingan K. Rajagobal itu mencatat kemenangan tipis 3-2 biarpun ketinggalan dua kali.

ATM jelas turut beraksi dengan baik memandangkan mereka kini sedang dalam persiapan menghadapi kemungkinan perlawanan playoff ke Liga Super 2011.

Rajagobal menurunkan penjaga gol skuad Harimau Muda A, Zamir Selamat dalam kesebelasan utama.

Ini kerana Khairul Fahmi Che Mat masih bersama skuad Kelantan untuk menghadapi final Piala Malaysia pada Sabtu ini.

Manakala Sharbinee Allawee Ramli sekadar menjalani latihan ringan buat masa ini akibat kecederaan ligamen atas bahu kanannya yang koyak.

Seorang lagi penjaga gol, Farizal Marlias yang baru pulih daripada kecederaan patah tulang pipi masuk menggantikan Zamir pada minit ke-65 dengan memakai topeng pelindung muka.

Di barisan pertahanan, Nasriq Baharom dan Muslim Ahmad membentuk gandingan di tengah manakala Mahali Jasuli di kanan dan Asraruddin Putra Omar di kiri.

Jentera tengah pula digerakkan Safiq Rahim dan Amar Rohidan manakala sayap kanan, Ahmad Fakri Saarani dan sayap kiri, Ashaari Shamsuddin.

Safee Sali dan Izzaq Faris Ramlan bergandingan di barisan serangan.

Tempo awal permainan agak seimbang dengan kedua-dua pasukan saling bertukar kawalan bola sambil tidak banyak percubaan tepat berjaya dilakukan.

Minit ke-35, Rajagobal mengeluarkan Izzaq yang kurang berkesan sebagai penyerang utama dan memasukkan Amirulhadi Zainal.

Safee bergandingan dengan Fakri manakala Amirulhadi mengisi posisi sayap kanan.

(0-1)
Minit ke-38, ATM menjaringkan gol pertama hasil rembatan cantik bekas pemain Harimau Muda, Khairul Izuwan Rosli dari luar kotak penalti yang gagal diselamatkan Zamir.

(1-1)
Minit ke-40, Malaysia berjaya menyamakan kedudukan menerusi ketenangan Ashaari yang mengawal bola dalam kotak penalti sebelum menewaskan penjaga gol ATM.

Separuh masa pertama berakhir dengan kedudukan 1-1.

Minit ke-50, Rajagobal memasukkan Norhafiz Zamani Misbah menggantikan Muslim dan Khyril Muhymeen Zambri menggantikan Ashaari.

Nasriq bergandingan dengan Zamani di pertahanan tengah manakala Khyril mengisi posisi sayap kiri.

Minit ke-52, Gary Steven Robbat masuk menggantikan Fakri. Gary berperanan sebagai pemain tengah menyerang di hadapan Safiq dan Amar untuk membantu penyerang utama, Safee.

(1-2)
Minit ke-60, ATM mendapat gol kedua menerusi Venice Elphi Dannykaya yang berjaya mengatasi pertahanan kiri Malaysia, Asraruddin sebelum menyepak masuk menewaskan Zamir.

Minit ke-61, Faizal Muhammad menggantikan Nasriq manakala Fadhli Shas menggantikan Asraruddin.

Faizal bergandingan dengan Zamani di pertahanan tengah dan Fadhli mengisi posisi pertahanan kiri.

(2-2)
Minit ke-64, Malaysia memperolehi gol penyamaan menerusi Safee yang menanduk masuk hantaran Amirulhadi dari sebelah kanan.

Minit ke-65, Farizal Marlias masuk menggantikan Zamir. Ia perlawanan pertama Farizal sepanjang tempoh pemulihan kecederaan selama tiga bulan.

Minit ke-70, Faizal Abu Bakar masuk menggantikan Safiq. Faizal menggalas tugas sebagai pemain tengah menyerang di hadapan Amar dan Gary bagi membantu Safee.

(3-2)
Minit ke-72, Safee menjaringkan gol kedua peribadinya yang juga gol ketiga Malaysia selepas menolak kemas lorongan cantik Amirulhadi dari sebelah kiri.

Malaysia akan bertemu PKNS FC pada perlawanan ujian ke-2 pada Khamis ini dan bertemu skuad kebangsaan Maldives pada perlawanan ujian ke-3 pada Selasa depan.

Selepas itu, skuad kebangsaan akan berlepas ke Guangzhou, China pada 5 November depan untuk menghadapi saingan Sukan Asia 2010.

Malaysia yang diletakkan dalam Kumpulan A akan bertemu Kyrgyzstan pada 8 November, Jepun pada 10 November dan China pada 13 November.

MALAYSIA:

Zamir (Farizal)
Mahali - Nasriq (Faizal M) - Muslim (Zamani) - Asra (Fadhli)
Fakri (Gary) - Safiq (Faizal AB) - Amar - Ashaari (Khyril)
Safee - Izzaq (Amirul)

Tak main: Sharbinee, Sabre Abu, Azmi Muslim, Baddrol Bakhtiar, Gurusamy, Fandi Othman.

Belum masuk kem: Khairul Fahmi, Norshahrul Idlan, Chanturu, Aidil Zafuan, Kunanlan.

0 comments: