Bola sepak Sukan SEA 2011 di Malaysia?
MASALAH yang melanda Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) mungkin menyebabkan acara bola sepak tidak dapat dijalankan pada Sukan SEA 2011 di Jakarta dan Palembang, November depan.
Justeru, bagi memastikan acara bola sepak tidak dikeluarkan terus daripada jadual Sukan SEA 2011, ia mungkin terpaksa diadakan di negara jiran Indonesia termasuk Malaysia.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, adalah satu kehilangan besar andai acara bola sepak tidak dapat dijalankan pada saingan Sukan SEA 2011.
“Isu yang melanda PSSI mungkin menyebabkan Indonesia akan digantung daripada menyertai kejohanan antarabangsa atau menganjurkan sesuatu kejohanan. Tapi saya masih berharap penggantungan itu tidak berlaku.
“Harap Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menimbang supaya Indonesia tetap dibenar menganjurkan acara bola sepak Sukan SEA.
“Kalau diizinkan, kita boleh adakan acara ini di negara jiran lain demi meneruskan semangat Asean. Tapi jika tidak, kita perlu anjur satu kejohanan lain sebagai ganti,” katanya pada sidang media di Hotel Saujana, Subang pagi semalam.
PSSI berdepan penggantungan FIFA selepas mereka gagal melantik pucuk pimpinan baru pada Jumaat lalu, melewati tarikh akhir yang ditetapkan oleh badan induk bola sepak dunia itu.
Nasib PSSI akan diketahui pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FIFA pada 30 Mei ini.
Pada saingan Sukan SEA 2009 di Laos, skuad bola sepak B-23 kebangsaan berjaya menamatkan kemarau pingat emas selama 20 tahun setelah menewaskan Vietnam 1-0 pada aksi final.
Justeru, skuad B-23 negara kendalian Ong Kim Swee bakal turun pada saingan Sukan SEA 2011 dengan misi mempertahankan kejuaraan yang dimenangi anak-akan buah K. Rajagobal itu.
Tambah Tengku Abdullah: “Isu penganjuran acara bola sepak ini akan dibincangkan secara mendalam pada mesyuarat Sukan SEA pada 17 Julai depan dan selepas itu kita akan dapat mengetahui keputusannya.”
0 comments:
Post a Comment