Format Liga Super 2012 diputus bulan depan
NASIB juara Liga Premier musim ini, PKNS FC dan naib juaranya, Sarawak hanya akan diketahui selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) awal bulan depan.
PKNS FC dan Sarawak sepatutnya layak untuk beraksi pada Liga Super 2012 berdasarkan kejayaan mereka menduduki dua slot teratas Liga Premier musim ini.
Namun kebimbangan dirasai kedua-dua pasukan itu berikutan cadangan ‘tiba-tiba’ Jawatankuasa Malaysia Super League (MSL) pada bulan lalu untuk mengurangkan jumlah pasukan dalam Liga Super 2012 daripada 14 kepada 12 pasukan.
Timbul pelbagai spekulasi termasuk kedua-dua pasukan itu tidak akan layak secara automatik ke Liga Super 2012 dan perlu mengharungi aksi playoff.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad berkata, pihaknya masih tidak dapat membuat sebarang ketetapan berhubung perkara tersebut buat masa ini.
“Saya mohon maaf kerana tidak dapat mengumumkannya lagi. Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM akan membentangkan perkara ini dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM yang akan datang.
“Jadi adalah lebih baik atau adil Pengerusi JKPT FAM membentangkan terlebih dahulu perkara ini. Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif dijangka berlangsung awal Jun ini,” kata Azzuddin ketika ditemui di Hotel Saujana, Subang pagi semalam.
Jawatankuasa MSL dipengerusikan Tan Sri Annuar Musa manakala JKPT dipengerusikan Datuk Hamidin Mohd. Amin yang kini sedang mengerjakan umrah.
Namun adalah sesuatu yang tidak adil andai PKNS FC dan Sarawak dinafikan tempat ke Liga Super 2012 kerana cadangan Jawatankuasa MSL itu hanya dibuat ketika saingan musim ini sedang rancak berlangsung.
Andai pengurangan kepada 12 pasukan itu tetap mahu dibuat, adalah lebih wajar ia hanya dilaksanakan pada Liga Super 2013 dan pengumumannya pula perlulah dibuat sebelum saingan Liga Malaysia 2012 bermula.
0 comments:
Post a Comment