Tuesday, May 17, 2011

Izzaq, Syahrul temui sentuhan




KEBUNTUAN barisan penyerang Harimau Muda A dalam beberapa aksi Liga Super sebelum ini telah mengundang resah jurulatihnya, Ong Kim Swee menjelang aksi pusingan kedua Kelayakan Olimpik 2012 bertemu Lebanon pada 19 dan 23 Jun depan.


Namun segalanya mulai positif setelah Izzaq Faris Ramlan dan Syahrul Azwari Ibrahim masing-masing meledak dua gol ketika Harimau Muda A menewaskan T-Team 3-1 di Kuala Terengganu Khamis lalu dan Sabah 2-0 di Kota Kinabalu kelmarin.


Izzaq Faris, 21, sebelum ini hanya menjaringkan dua gol ketika bertemu Pahang pada 1 Februari lalu dan satu gol ketika bertemu Kedah pada 23 April lalu.


Syahrul Azwari, 18, atau lebih mesra dipanggil ‘Awa’ pula hanya berjaya menyumbat satu gol ketika bertemu Terengganu pada 9 April lalu.


"Ini satu petanda baik. Saya mahu mereka terus konsisten menjaringkan gol pada perlawanan-perlawanan selepas ini dan mencapai kemuncak prestasi ketika kita bertemu Lebanon nanti.


"Cuma saya terpaksa gilirkan pemain berdasarkan jadual padat dan keadaan pemain.


"Izzaq menerima jahitan di kening ketika bertemu T-Team manakala Syahrul mengalami kecederaan pangkal paha ketika bertemu Sabah," kata Kim Swee ketika dihubungi Kosmo! semalam.


Senarai penjaring Harimau Muda A sebelum ini menyaksikan pemain posisi lain lebih menyerlah dengan pemain sayap kiri, Fandi Othman, 19, meledak enam gol manakala dua pemain tengah, Irfan Fazail (3 gol) dan Gary Steven Robbat (2 gol).


Dua lagi penyerang Harimau Muda A iaitu Ferris Danial Mat Nasir, 19, baru menjaringkan satu gol iaitu pada saingan Piala FA manakala A. Thamil Arasu, 20, masih belum menemui sentuhan.


Dalam pada itu, Harimau Muda A kini sudah melonjak naik ke tangga keempat Liga Super dengan 29 mata untuk berada di belakang tiga pasukan teratas, Selangor (42), Kelantan (40) dan Terengganu (38).


"Kami tewas berturut-turut kepada Kelantan (1-2), Selangor (1-2) dan Terengganu (1-3) pada pusingan pertama lalu. Tapi kali ini saya yakin kami mampu meraih keputusan lebih baik berdasarkan prestasi semasa," ujar Kim Swee.


Harimau Muda A akan beraksi ketiga-tiga perlawanan selepas ini di Stadium Shah Alam iaitu menentang Terengganu pada Khamis ini, Kelantan (22 Mei) dan Selangor (25 Mei).

0 comments: