Friday, May 6, 2011

FAM usaha cari RM500,000


PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) akan berusaha mencari wang RM500,000.

Ia bagi memastikan tujuh perlawanan membabitkan skuad kebangsaan dan skuad Olimpik negara sepanjang Jun dan Julai depan dapat diadakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Stadium tersebut ditutup sejak Januari lalu bagi kerja-kerja penukaran trek olahraga dan proses penurapan terakhir dijadual bermula minggu depan sekali gus menyebabkan ia tidak boleh digunakan untuk sebarang aktiviti sepanjang Jun dan Julai.

Namun kerja-kerja penurapan itu boleh ditangguhkan sehingga awal Ogos depan dengan syarat FAM bersedia menanggung kos ganti rugi yang dituntut oleh kontraktor iaitu berjumlah RM500,000.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, pihaknya kini sedang berusaha gigih bagi mendapatkan wang RM500,000 itu dan akan mengumumkan keputusannya pada awal minggu depan.

“FAM menyambut baik kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek semalam (kelmarin) kerana masih memberi ruang kepada FAM berusaha mencari jalan baik menggunakan juga Stadium Nasional.

“Jadi FAM tetap akan berusaha untuk mendapatkan RM500,000 wang ganti rugi yang dituntut kontraktor itu demi keselesaan dan kemudahan para peminat yang mahu hadir menyokong skuad kebangsaan.

“Apa pun saya tidak boleh dedahkan dengan pihak mana atau siapa kami berunding untuk mendapatkan wang tersebut.

“Beri sedikit masa. Saya akan buat pengumuman pada awal minggu depan, sebelum sidang media pengumuman tarikh perlawanan persahabatan menentang Liverpool Khamis depan,” kata Azzuddin ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Bagi bulan Jun, skuad kebangsaan bimbingan K. Rajagobal mempunyai dua perlawanan di tempat sendiri iaitu aksi persahabatan menentang Myanmar pada 18 Jun dan perlawanan pertama pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Taiwan pada 29 Jun.

Manakala skuad Olimpik negara kendalian Ong Kim Swee pula dijadual berdepan Lebanon di laman sendiri pada perlawanan kedua pusingan kedua Kelayakan Olimpik 2012 pada 23 Jun.

Bagi bulan Julai pula, skuad kebangsaan dijadual menentang tiga kelab Liga Perdana England iaitu Liverpool dan Arsenal (tarikh akan diumum minggu depan) serta Chelsea pada 21 Julai.

Selain itu, andai skuad kebangsaan berjaya menyingkirkan Taiwan pada pusingan pertama, perlawanan kedua pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Singapura di laman sendiri akan berlangsung pada 28 Julai.

0 comments: