Wednesday, May 4, 2011

Kami bukan suka-suka ubah - Hamidin


"JAWATANKUASA saya bukan suka-suka nak ubah jadual liga. Kita rombak jadual kerana terpaksa. Jadual padat ini untuk memberi laluan kepada pasukan kebangsaan."

Demikian penjelasan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin berikutan rungutan beberapa pihak berhubung jadual padat Liga Super musim ini.

Sepanjang April, sembilan perlawanan telah berlangsung selang tiga atau empat hari dan keadaan sama berterusan bulan ini apabila tujuh lagi perlawanan dijadualkan berlangsung.

Bagaimanapun Hamidin berkata, perkara itu tidak dapat dielakkan lagi kerana ruang masa diperlukan jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal dan jurulatih skuad Olimpik, Ong Kim Swee bagi persiapan menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2014 dan Kelayakan Sukan Olimpik 2012.

"Buat masa ini, tiada lagi perubahan akan dibuat tetapi kita tak tahu apa perkembangan yang akan berlaku selepas ini.

"Apa pun segalanya akan saya jelaskan lebih lanjut pada sesi taklimat JKPT, 11 Mei ini," jelas Hamidin.

Hamidin yang juga Naib Presiden FAM berkata demikian pada sesi taklimat bersama media yang diadakan Pengerusi Jawatankuasa Media dan Perhubungan Awam FAM, Datuk Subahan Kamal di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.

Turut hadir, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad, Rajagobal dan Kim Swee.

Pada sesi tersebut, Subahan yang juga Naib Presiden FAM serta pengurus skuad kebangsaan, mengumumkan jadual perlawanan persahabatan yang membabitkan skuad kebangsaan dan juga Olimpik sepanjang bulan depan.

Subahan berkata, skuad kebangsaan akan mengatur tiga perlawanan persahabatan sebagai persiapan menghadapi pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia menentang Taiwan di laman sendiri pada 29 Jun dan tempat lawan 3 Julai depan.

"Perlawanan menentang Hong Kong di tempat lawan pada 3 Jun, menentang Myanmar di Kuala Lumpur (18 Jun) dan satu lagi perlawanan yang akan disahkan lawannya pada 24 Jun sebagai persiapan skuad kebangsaan sebelum menentang Taiwan.

"Bagi skuad Olimpik pula, mereka akan bertemu Kemboja di Phnom Penh (7 Jun) dan bertemu Qatar di Doha (13 Jun) sebagai persiapan menghadapi pusingan kedua Kelayakan Olimpik menentang Lebanon pada 19 dan 23 Jun depan," kata Subahan.

Andai skuad kebangsaan berjaya menyingkirkan Taiwan, mereka akan layak ke pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia bertemu Singapura pada 23 dan 28 Julai depan.

0 comments: