Wednesday, May 25, 2011

Isu stadium selesai - Azzuddin


“SEMUA pihak akan sama-sama untung dalam hal ini.”

Demikian jelas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad berhubung isu siapa perlu membayar kos ganti rugi RM500,000 bagi penangguhan kerja-kerja penggantian trek olahraga di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Menurut Azzuddin, dia telah bertemu dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek kelmarin dan satu formula penyelesaian telah dipersetujui semua pihak terlibat dengan semangat kesukanan.

“Pertamanya, para peminat bola sepak tempatan akan dapat hadir menyaksikan perlawanan di stadium yang selesa ini.

“Keduanya, FAM akan membayar sewa stadium ini pada kadar biasa untuk enam perlawanan termasuk Kelayakan Olimpik dan Kelayakan Piala Dunia serta tiga pertemuan dengan kelab Liga Perdana England.

“Ketiganya, pihak Kementerian Belia dan Sukan dan Perbadanan Stadium Malaysia akan membayar kos ganti rugi itu kepada pihak kontraktor.

“Jadi ia terpulang kepada kebijaksanaan mereka berunding dengan kontraktor bagi memohon ganti rugi kurang daripada RM500,000.

“Tapi bagi saya, dengan bayaran sewa untuk enam perlawanan ini daripada FAM, ia dapat menampung pembayaran kepada kontraktor,” kata Azzuddin ketika ditemui di Hotel Saujana, Subang pagi semalam.

Azzuddin turut mengesahkan bahawa final Piala FA menemukan Kelantan dan Terengganu pada 11 Jun depan akan berlangsung di Stadium Nasional.

“Secara prinsipnya kita sudah mendapat persetujuan untuk menggunakan Stadium Nasional bagi kesemua perlawanan ini kerana kerja-kerja penurapan trek baru olahraga itu hanya akan disambung semula awal Ogos depan,” jelas Azzuddin.

0 comments: