Wednesday, May 18, 2011

PKNS FC hampiri trofi Liga Premier


SELEPAS lapan musim beraksi dalam kancah Liga Premier, skuad PKNS FC kini hanya memerlukan satu mata lagi dari baki empat perlawanan untuk sah bergelar juara buat kali pertama.

Pasukan berstatus kelab dari Selangor itu kini mengumpul 48 mata selepas 18 perlawanan hasil 15 kali menang, tiga seri dan belum tewas untuk meninggalkan jauh Sarawak di tangga kedua dengan 36 mata.

Kapten PKNS FC, Fadhil Hashim berkata, mereka begitu teruja untuk mengesahkan kejuaraan tersebut lebih awal iaitu ketika menanti kunjungan Johor di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Jumaat ini.

"Kalau boleh kami mahu menyelesai- kannya Jumaat ini. Walaupun hanya perlu satu mata lagi, kami berhasrat untuk mencatat kemenangan ke atas Johor kerana mahu meraihkan kejayaan ini di tempat sendiri.

"Tetapi kami akan turun seperti biasa tanpa rasa gelojoh atau terlalu tertekan. Pengajaran musim lalu telah cukup memberi kesan kepada kami," kata Fadhil ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Musim lalu, PKNS FC hampir mengiringi Felda United untuk beraksi dalam kempen Liga Super tetapi kemenangan yang diharap pada aksi terakhir musnah apabila mereka tewas kepada Harimau Muda sambil Sabah berjaya menyambar slot selaku naib juara.

Namun bagi Fadhil, 28, kenangan pahit itu tidak akan berulang lagi musim ini kerana dia yakin PKNS FC kini berada pada prestasi terbaik selepas mudah membelasah PDRM 5-1 di Paroi malam kelmarin.

"Resipi kejayaan kami musim ini adalah kekuatan semangat berpasukan dalam kalangan semua pemain serta pihak pengurusan. Kesemuanya jujur dan ikhlas serta menunjukkan kesungguhan untuk muncul juara," jelas bekas pemain Selangor itu.

0 comments: