Saturday, May 7, 2011

Kim Swee panggil Fandi Ahmad

NAMA penyerang muda Johor FC, Fandi Ahmad tersenarai dalam 26 pelatih yang dipanggil untuk kem latihan pusat skuad Olimpik kebangsaan bermula 29 Mei depan.

Seorang lagi pemain baru yang turut disenaraikan ialah pemain pertahanan kiri Terengganu, Zubir Azmi.

Namun tidak berada dalam senarai yang dikeluarkan semalam ialah penyerang Kedah, Ahmad Shakir Md. Ali, pemain pertahanan Harimau Muda A, Faizal Muhamad serta pemain tengah Harimau Muda B, Nazmi Faiz.

Jurulatih skuad Olimpik kebangsaan, Ong Kim Swee berkata, Fandi dan Zubir yang kedua-duanya berusia 20 tahun dipilih berdasarkan kemampuan mereka berada dalam kesebelasan utama Johor FC dan Terengganu secara kerap.

“Fandi saya lihat seorang penyerang yang cukup agresif. Manakala Zubir sentiasa berada dalam kesebelasan utama dan beraksi cukup baik ketika Harimau Muda A bertemu Terengganu bulan lalu.

“Tapi kita tak boleh nilai hanya berdasarkan aksi Liga Super. Jadi saya akan cuba mereka terutama pada aksi persahabatan menentang Kemboja nanti.

“Tentang Shakir, dia tidak banyak diturunkan Kedah dan sukar untuk dia mencapai tahap kecergasan manakala Faizal perlu enam minggu lagi untuk pulih,” kata Kim Swee ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Selain Fandi dan Zubir, empat lagi ‘pemain luar’ yang turut disenaraikan ialah penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan), Ahmad Fakri Saarani (Negeri Sembilan), Faizal Abu Bakar (Kedah) dan D. Saarvindran (Harimau Muda B).

“Fakri bagaimanapun bakal menjalani pembedahan lutut endoskopi tetapi dia dijangka pulih dalam tempoh tiga hingga empat minggu dan sempat beraksi untuk Kelayakan Olimpik nanti,” jelas Kim Swee.

Baki 20 pemain lain terdiri daripada pemain Harimau Muda A iaitu Zamir Selamat, Izham Tarmizi Roslan, Muslim Ahmad, Fadhli Shas, Mahali Jasuli, Affize Faisal Mamat, Amer Saidin, Nazirul Naim Che Hashim.

K. Gurusamy, Irfan Fazail, Abdul Shukur Jusoh, Gary Steven Robbat, S. Sivanesan, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Wan Zack Haikal Wan Noor, Fandi Othman, Izzaq Faris Ramlan, A. Thamil Arasu, Syahrul Azwari Ibrahim, Ferris Danial Mat Nasir.

Skuad Olimpik negara akan beraksi dua perlawanan persahabatan menentang Kemboja di Phnom Penh pada 7 Jun dan Qatar di Doha pada 13 Jun sebelum aksi sebenar pusingan kedua Kelayakan Olimpik 2012 menentang Lebanon pada 19 dan 23 Jun depan.


0 comments: