Tuesday, May 24, 2011

Harimau Muda A masih simpan kuku


PERSEMBAHAN Harimau Muda A ketika mengikat Kelantan 2-2 di Stadium Shah Alam malam kelmarin dianggap aksi terbaik skuad Olimpik negara itu sepanjang saingan Liga Super musim ini.

Namun jurulatihnya, Ong Kim Swee tidak mahu anak-anak buahnya terlalu cepat sampai ke kemuncak prestasi pada ketika ini.

Sebaliknya dia mahu para pemainnya mengekalkan rentak tersebut secara konsisten sehingga aksi pusingan kedua Kelayakan Sukan Olimpik 2012 menentang Lebanon pada 19 dan 23 Jun depan.

"Inilah persembahan terbaik kami setakat ini. Cuma saya tidak mahu para pemain mencapai kemuncak prestasi terlalu awal.

"Kita masih ada dua perlawanan Liga Super bulan ini iaitu bertemu Selangor pada Rabu ini (esok) dan Sabah pada Sabtu ini sebelum mengharungi dua perlawanan persahabatan menentang Kemboja pada 7 Jun dan Qatar pada 13 Jun.

"Saya harap kami berada pada landasan yang betul ketika ini untuk menuju ke perlawanan sebenar menentang Lebanon nanti," kata Kim Swee ketika ditemui selepas perlawanan malam kelmarin.

Pada aksi tersebut, Harimau Muda A mendahului dua kali menerusi dua jaringan Izzaq Faris Ramlan sebelum Kelantan menyamakan kedudukan hasil jaringan S. Chanthuru dan Norshahrul Idlan Talaha.

"Semua posisi masih perlu diperbaiki. Kami sekali lagi dibolosi pada 10 minit terakhir permainan. Tapi tak dinafikan Norshahrul sememangnya penyerang terbaik negara.

"Jadi saya anggap perlawanan menentang Selangor selepas ini sebagai titik kebangkitan kami untuk kembali mencatat kemenangan," jelas Kim Swee.

Kem latihan skuad Olimpik negara bakal bermula Ahad ini dengan 26 pelatih iaitu 20 pemain Harimau Muda A dan enam pemain luar iaitu Khairul Fahmi Che Mat, Ahmad Fakri Saarani, Faizal Abu Bakar, D. Saarvindran, Fandi Ahmad dan Zubir Azmi.

0 comments: