Kelayakan Olimpik: Malaysia 2 Pakistan 0


MALAYSIA berjaya menewaskan Pakistan 2-0 pada aksi pertama pusingan pertama Kelayakan Olimpik 2012 di Stadium Shah Alam malam tadi.

Namun 7,000 penyokong yang hadir sedikit kecewa apabila Malaysia gagal mencatat kemenangan lebih besar biarpun Pakistan beraksi 10 pemain sepanjang babak kedua.

Ia sekali gus menyebabkan skuad bimbingan Ong Kim Swee itu masih perlu berhati-hati mengharungi baki 90 minit perlawanan kedua yang akan berlangsung di Lahore pada 9 Mac depan.

Pada perlawanan malam tadi, Malaysia tidak menunggu lama apabila berjaya memperolehi gol pertama seawal minit ketiga.

Pemain sayap, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria menyambut baik sepakan sudut Fandi Othman sebelum melakukan rembatan dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol Pakistan, Yousuf Butt.

Malaysia selepas itu terus menguasai permainan dan dihidangkan dua lagi peluang terbaik untuk menambah jaringan.

Namun sepakan percuma K. Gurusamy terkena palang gol pada minit ke-16 manakala rembatan Ahmad Shakir Md. Ali hasil serangan balas pada minit ke-23 diselamatkan Yousuf.

Pakistan yang jarang melakukan serangan hampir menemui jaringan pada minit ke-38 tetapi percubaan Kalim Ullah dari luar kotak penalti sedikit sipi.

Pada minit ke-45, Pakistan terpaksa beraksi 10 pemain setelah Ansar Abbas dilayangkan kad merah akibat sengaja menendang penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat.

Peluang itu tidak dipersiakan apabila Irfan Fazail berjaya menjaringkan gol kedua Malaysia menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti pada masa kecederaan separuh masa pertama.

Babak kedua bermula, jurulatih Pakistan, Tariq Lutfi terus melakukan pertukaran dengan memasukkan penjaga gol simpanan, Muhammad Omar menggantikan Yousuf yang cedera.

Namun tiga percubaan Ahmad Fakri Saarani tetap gagal menemui jaringan apabila rembatannya pada minit ke-57 terkena palang manakala dua kuisannya selepas itu berjaya diselamatkan penjaga gol gantian Pakistan.

MALAYSIA: 1.Khairul Fahmi Che Mat (c), 2.Mahali Jasuli, 15.Muslim Ahmad, 4.Fadhli Shas, 3.Affize Faisal Mamat, 8.Wan Zaharulnizam Wan Zakaria (16.Wan Zack Haikal Wan Noor), 11.K. Gurusamy, 7.Irfan Fazail, 17.Fandi Othman (10.Ferris Danial Mat Nasir), 9.Ahmad Fakri Saarani, 14.Ahmad Shakir Md. Ali (6.S. Sivanesan).

PAKISTAN: 1.Yousuf Butt (18.Muhammad Omar), 4.Manzoor Ahmed, 12.Alamgir Khan, 5.Ahsan Ullah, 2.Faisal Iqbal, 11.Jadeed Khan Pathan (c) (13.Saddam Hussain), 9.Rizwan Asif, 17.Ansar Abbas, 6.Muhammad Tauseef, 7.Muhammad Adil, 10.Kalim Ullah (16.Fahad Ullah Khan).

PENGADIL: Liu Kwok Man (Hong Kong).


Kim Swee yakin Malaysia mara

BIARPUN gagal mencipta kemenangan besar, jurulatih skuad Olimpik kebangsaan, Ong Kim Swee tetap yakin pasukannya itu akan berjaya mara ke pusingan kedua.

Pada aksi pertama pusingan pertama Kelayakan Olimpik 2012 di Stadium Shah Alam malam tadi, Malaysia berjaya menewaskan Pakistan 2-0.

Kim Swee berkata, Pakistan pasti akan beraksi corak lebih terbuka pada aksi kedua di Lahore, 9 Mac depan memandangkan lawan perlu memadam kelebihan dua gol skuad negara.

"Secara keseluruhan, kita tetap beraksi baik. Cuma pada babak kedua, penjaga gol gantian Pakistan (Muhammad Omar) cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan terbaik kita.

"Tapi 2-0 masih tetap baik bagi kami. Sudah tentu pada aksi kedua di Lahore nanti, Pakistan akan bermain secara menyerang untuk mengejar dua gol.

"Dengan Pakistan tidak beraksi secara bertahan nanti, saya yakin kita mampu menjaringkan satu atau dua gol lagi di Lahore," katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Kedua-dua gol skuad negara dijaringkan pemain bukan penyerang iaitu Wan Zaharulnizam Wan Zakaria pada minit ketiga dan Irfan Fazail minit ke-45.

Namun Kim Swee tetap mempertahankan persembahan kedua-dua penyerang yang diturunkannya malam tadi iaitu Ahmad Shakir Md. Ali dan Ahmad Fakri Saarani.

"Saya terpaksa keluarkan Shakir pada minit ke-50 bagi mengelak risiko dia dilayangkan kad kuning kedua.

"Fakri pula berjaya mendapat tiga peluang terbaik pada babak kedua tetapi dinafikan palang gol dan kecekapan penjaga gol lawan," jelasnya.

Sementara itu, jurulatih Pakistan, Tariq Lutfi menyifatkan gol awal Malaysia dan kad merah diterima Ansar Abbas pada minit ke-45 sebagai punca kekalahan mereka.

"Tapi kami tetap berjaya memberikan tentangan yang cukup baik ditambah pula Malaysia diberi sokongan padu penyokong mereka. Ia turut menjejaskan rentak kami.

"Harap kami dapat mempamerkan satu lagi persembahan baik pada 9 Mac depan. Dengan sokongan penyokong di Lahore nanti, saya yakin kami mampu memadam defisit dua gol ini," kata Tariq.
Read More

Kelayakan Olimpik: Kim Swee buru kemenangan besar


MALAYSIA perlu mencatat kemenangan besar ke atas Pakistan pada aksi pertama pusingan pertama Kelayakan Olimpik 2012 di Stadium Shah Alam malam ini sebagai bekalan selesa untuk aksi kedua di Lahore, 9 Mac depan.

Jurulatih skuad Olimpik kebangsaan, Ong Kim Swee berkata, para pemain sudah bersedia untuk turun dengan aksi terbaik mereka bagi merealisasikan objektif tersebut.

“Sudah tentu kita mahukan kemenangan pada aksi pertama di gelanggang sendiri ini. Tapi kita mahukan satu kemenangan yang selesa.

“Jadi kita akan cuba sedaya upaya. Jika perlu memasukkan lebih ramai pemain serangan, kita akan lakukannya.

“Saya mahu pemain fokus memikirkan apa yang perlu dilakukan esok (malam ini) berbanding terlalu memikirkan apa yang Pakistan lakukan,” katanya pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.

Menurut Kim Swee, tugas untuk mencari gol pastinya terletak di bahu gandingan penyerang, Ahmad Shakir Md. Ali dan Ahmad Fakri Saarani sambil dibantu pemain-pemain lain.

“Selain Shakir dan Fakri, pemain-pemain seperti Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Wan Zack Haikal Wan Noor, Fandi Othman dan Ferris Danial Mat Nasir juga mampu menjaringkan gol.

“Saya rasa tiada masalah untuk kita menembusi gawang Pakistan kerana para pemain kini sudah bersedia sepenuhnya,” jelas pengendali berusia 41 tahun itu.

Skuad Olimpik kebangsaan tampak mantap dengan dibarisi tujuh pemain skuad juara Piala Suzuki AFF 2010 iaitu Khairul Fahmi Che Mat, Muslim Ahmad, Fadhli Shas, Mahali Jasuli, Faizal Muhamad, K. Gurusamy dan Faizal Abu Bakar.

Malaysia malam ini bakal turun dengan memakai jersi utama berwarna kuning hitam.

KESEBELASAN KEMUNGKINAN MALAYSIA:
Khairul Fahmi Che Mat (kapten), Mahali Jasuli, Muslim Ahmad, Fadhli Shas, Affize Faisal Mamat, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, K. Gurusamy, Irfan Fazail, Fandi Othman, Ahmad Fakri Saarani, Ahmad Shakir Md. Ali.


JADUAL
PUSINGAN PERTAMA
KELAYAKAN OLIMPIK 2012

(HARI INI)

MALAYSIA lwn PAKISTAN
Stadium Shah Alam, 8.45 mlm
(Siaran langsung Astro Arena 801)

* Perlawanan kedua di Lahore, Pakistan pada 9 Mac.

INFO TIKET:

- RM20 dewasa & RM5 kanak-kanak bawah 12 tahun.
- Tiket dijual di Wisma FAM, Kelana Jaya (9 pagi hingga 4 petang) dan di pintu utama Stadium Shah Alam bermula pukul 4 petang.
Read More

Kelayakan Olimpik: Apek terkejut dipilih kapten


PENJAGA gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat mendapat suntikan semangat setelah dia dilantik sebagai kapten skuad negara bagi kempen Kelayakan Olimpik 2012.

Khairul Fahmi, 22, yang mesra dipanggil ‘Apek’ bakal memulakan tugas sulungnya itu apabila Malaysia turun berdepan Pakistan pada aksi pertama pusingan pertama di Stadium Shah Alam malam ini.

Bagi penjaga gol skuad Liga Super Kelantan itu, dia akan menjadikan tanggungjawab tersebut sebagai pemangkin semangatnya untuk menampilkan aksi lebih cemerlang dan bertenaga.

“Memang saya agak terkejut apabila jurulatih memberitahu yang saya dilantik sebagai kapten pada tiga hari lepas. Tapi saya bersedia untuk memikul tanggungjawab ini sebaik mungkin.

“Sudah lama rasanya saya tidak diberi tugas sebagai kapten. Kali terakhir ketika saya beraksi bersama pasukan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).

“Apa pun sebagai kapten untuk kempen Kelayakan Olimpik 2012 ini, saya akan laksanakan tugas dengan baik dan menyampaikan segala arahan diberikan jurulatih,” katanya kepada Kosmo! petang semalam.

Benteng skuad Olimpik kebangsaan tampak begitu mantap kerana Khairul Fahmi akan dibantu tiga tonggak pertahanan skuad Piala Suzuki AFF 2010 iaitu Muslim Ahmad, Fadhli Shas dan Mahali Jasuli.

Hanya posisi bek kiri akan diisi Affize Faisal Mamat memandangkan Asraruddin Putra Omar sudah berusia 23 tahun, melebihi had umur bagi Kelayakan Olimpik iaitu 22 tahun.

Menjelaskan pelantikan tersebut, jurulatih skuad Olimpik kebangsaan, Ong Kim Swee berkata, Khairul Fahmi dipilih kerana dia kini merupakan pemain contoh di kalangan pemain-pemain muda di negara ini.

“Saya pilih berdasarkan situasi semasa. Bagi saya, Khairul Fahmi memiliki kualiti yang baik sebagai pemimpin dalam pasukan,” kata Kim Swee yang turut melantik Ahmad Fakri Saarani sebagai penolong kapten.

Sebenarnya bagi musim ini, Muslim merupakan kapten skuad Harimau Muda A untuk aksi Liga Super manakala K. Gurusamy bertindak sebagai penolong kapten.
Read More

Kelayakan Olimpik: Pakistan tak gentar


TIADA nada gentar dilaungkan Pakistan menjelang pertemuan pertama pusingan pertama Kelayakan Olimpik 2012 menentang Malaysia di gelanggang lawan malam ini.

Malah jurulatih skuad Olimpik Pakistan, Tariq Lutfi berasa yakin pasukannya mampu mencipta kejutan berdasarkan keputusan baik dicatat mereka sepanjang kem latihan pusat selama dua minggu di Bangkok, Thailand.

“Barisan 19 pemain yang kami bawa ini berada dalam keadaan baik dan semangat mereka cukup tinggi. Insyaallah kami akan beri yang terbaik pada perlawanan esok (malam ini).

“Kami telah bertemu pasukan yang bagus sepanjang kem latihan di Thailand. Tiga perlawanan diatur dan ia ternyata satu pendedahan yang cukup baik buat para pemain kami.

“Memang Pakistan lebih dikenali dengan sukan hoki dan kriket. Tapi sepanjang lima tahun kebelakangan ini, tumpuan terhadap program akar umbi bola sepak sudah dimulakan.

“Ia jelas satu petanda yang baik,” katanya pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.

Skuad Pakistan bakal mempertaruhkan dua pemain yang beraksi di luar iaitu penjaga gol, Yousuf Butt yang menyarung jersi kelab Denmark, Birkerod IF Skjold dan pemain tengah, Irfan Khan yang beraksi bersama Bradford Park Avenue AFC di England.

“Saya harap dua pemain ini dapat memberikan sumbangan yang bermakna untuk pasukan dan setakat ini mereka cukup membantu dalam memperkukuhkan pasukan,” ujar Tariq.

Ditanya adakah dia melakukan apa-apa kajian terhadap corak permainan Malaysia, pengendali berusia 60 tahun itu secara berseloroh berkata: “Memang saya ada buat sedikit. Tapi tidaklah seperti membuat kajian Ph.D (Ijazah Doktor Falsafah).”

KESEBELASAN KEMUNGKINAN PAKISTAN:
Yousuf Butt, Manzoor Ahmed, Alamgir Khan, Ahsan Ullah, Faisal Iqbal, Jadeed Khan Pathan, Rizwan Asif, Ansar Abbas, Mahmood Khan, Irfan Khan, Kalim Ullah.
Read More

Trofi Liga Juara-Juara di KL


BIARPUN final Liga Juara-Juara musim ini hanya akan berlangsung di Stadium Wembley, London pada 28 Mei depan, kehangatannya mula terasa di negara ini.

Ini kerana, trofi yang menjadi rebutan 16 pasukan yang masih bersaing pada pusingan kedua saingan kelab Eropah itu kini berada di Kuala Lumpur untuk program Jelajah Trofi Liga Juara-Juara 2011.

Bagi program jelajah di benua Asia kali ini, Malaysia menjadi negara pertama persinggahan trofi seberat 7.5 kilogram yang diperbuat daripada perak 952 itu disusuli Thailand, Korea Selatan dan Hong Kong.

Ia merupakan kali kedua trofi Liga Juara-Juara itu diterbangkan ke Malaysia setelah kali pertama pada siri jelajah pada tahun 2007.

Para peminat berpeluang bergambar dengan trofi tersebut di Sunway Pyramid pada Sabtu dan Ahad ini diikuti Gurney Plaza, Pulau Pinang (5 dan 6 Mac) serta Pavilion Kuala Lumpur (11 dan 12 Mac) sebelum ia diterbangkan pula ke Thailand.

Hadir bagi mempromosikan siri Jelajah Trofi Liga Juara-Juara 2011 itu ialah bekas pemain Itali dan Chelsea, Gianfranco Zola yang dilantik sebagai duta jelajah.

Biarpun gagal menjulang trofi Liga Juara-Juara sepanjang kariernya bersama Napoli, Parma, Cagliari mahupun Chelsea, Zola, 45, tetap menganggap ia sebagai satu kejohanan paling prestij di peringkat kelab.

“Apabila dilantik sebagai duta jelajah ini, saya berasa cukup bangga kerana dapat mencurahkan khidmat kepada kejohanan yang cukup berprestij ini.

“Liga Juara-Juara begitu ramai pengikutnya di seluruh negara.

“Saya sendiri apabila mendengar lagu tema Liga Juara-Juara tadi, terasa begitu dekat diri ini dengan Liga Juara-Juara,” katanya pada sidang media di Hotel Hilton Kuala Lumpur pagi semalam.

Ditanya tentang impiannya dalam bidang pengurusan pasukan selepas ini, Zola yang pernah menjadi pengurus West Ham pada 2008 hingga 2010 ringkas berkata: “Sudah tentulah Chelsea.”

Zola yang boleh beraksi sebagai penyerang kedua atau pemain tengah menyerang telah menyarung jersi Chelsea selama tujuh musim iaitu dari 1996 hingga 2003.
Read More

Kim Swee pilih Ferris Danial


NAMA dua penyerang, A. Thamil Arasu dan D. Saarvindran tercicir daripada senarai 18 pemain yang diumumkan jurulatih skuad Olimpik kebangsaan, Ong Kim Swee, semalam.

Sebaliknya, Kim Swee memilih Ferris Danial Mat Nasir, 19, sebagai penyerang simpanan untuk aksi pertama pusingan pertama Kelayakan Olimpik 2012 menentang Pakistan di Stadium Shah Alam malam esok.

Tugas penggempur utama akan digalas penyerang Kedah, Ahmad Shakir Md. Ali, 22, dan penyerang Negeri Sembilan, Ahmad Fakri Saarani, 22 berikutan kecederaan yang dialami Izzaq Faris Ramlan dan Syahrul Azwari Ibrahim.

Bagi Ferris Danial, dia tidak sangka dan agak terkejut setelah mengetahui namanya tersenarai memandangkan saingan cukup sengit untuk merebut tempat di kalangan 25 pelatih skuad Olimpik.

“Apabila sudah tersenarai ini, sudah pasti saya akan berusaha untuk menunjukkan prestasi sebaik mungkin jika diturunkan pada Rabu ini (esok).

“Saya mahu balas kepercayaan yang diberikan jurulatih dan membuktikan bahawa keputusan jurulatih memilih saya bukan satu kesilapan. Saya akan cuba,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Ferris Danial hanya mula menyertai skuad Harimau Muda B musim lalu tetapi muncul penjaring terbanyak pasukan dengan 11 gol dalam aksi Liga Premier.

Kemudian, pemain dari Kelantan itu menyertai skuad Harimau Muda A ke Slovakia sepanjang September hingga November tahun lalu dan berjaya meledak tiga gol di sana.

“Saya hanya menjadi pemain gantian pada aksi Liga Super musim ini bertemu Negeri Sembilan dan Perlis. Tapi pada aksi Piala FA bertemu SDM Navy Jumaat lalu, saya diturunkan sepanjang 90 minit.

“Pada perlawanan itu, saya berjaya menjaringkan satu gol dan ia telah meningkatkan tahap keyakinan saya untuk menghadapi Pakistan ini,” jelasnya.

Selain Ferris Danial, baki 17 pemain yang turut tersenarai ialah Khairul Fahmi Che Mat, Izham Tarmizi Roslan, Muslim Ahmad, Fadhli Shas, Mahali Jasuli, Affize Faisal Mamat, Faizal Muhamad.

K. Gurusamy, Irfan Fazail, Gary Steven Robbat, S. Sivanesan, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Wan Zack Haikal Wan Noor, Fandi Othman, Faizal Abu Bakar, Ahmad Shakir dan Ahmad Fakri.

Tujuh pemain yang tidak disenaraikan pula ialah Thamil Arasu, Saarvindran, Zamir Selamat, Nazirul Naim Che Hashim, V. Kavi Chelvan, Abdul Shukur Jusoh dan Nazmi Faiz.

JADUAL
PUSINGAN PERTAMA
KELAYAKAN OLIMPIK 2012

(ESOK)

MALAYSIA lwn PAKISTAN
Stadium Shah Alam, 8.45 mlm
(Siaran langsung Astro Arena 801)

* Perlawanan kedua di Lahore, Pakistan pada 9 Mac.

INFO TIKET:

- RM20 dewasa & RM5 kanak-kanak bawah 12 tahun.
- Tiket dijual di Wisma FAM, Kelana Jaya pada hari ini (9 pagi hingga 5 petang) dan esok (9 pagi hingga 4 petang).
- Tiket mula dijual di pintu utama Stadium Shah Alam esok bermula pukul 4 petang.
Read More

PKNS FC tetap merendah diri


KELAB Selangor, PKNS FC mengambil sikap berhati-hati apabila turun menentang USM FC pada aksi keempat Liga Premier di Stadium USM, Pulau Pinang malam ini.

Skuad kendalian Abdul Rahman Ibrahim itu kini berada di tangga teratas Liga Premier dengan sembilan mata selepas kejayaan menewaskan Sime Darby 1-0, MP Muar 2-0 dan PDRM 1-0.

Tidak cukup dengan itu, PKNS FC mudah membelasah MP Muar 5-0 pada pusingan pertama Piala FA, Jumaat lalu untuk menempah pertemuan pusingan kedua dengan Pahang pada 4 Mac depan.

Namun kapten PKNS FC, Fadhil Hashim berkata, dia berharap rakan-rakan sepasukannya dapat meneruskan aksi cemerlang mereka apabila turun beraksi malam ini.

“Kami perlu fokus dari satu perlawanan ke satu perlawanan. Lagipun USM FC tampak lebih bersedia musim ini dan mereka boleh dikatakan antara pencabar utama.

“Apa pun kami telah berjaya meningkatkan prestasi selepas beraksi tiga perlawanan liga dan aksi Piala FA bertemu MP Muar merupakan persembahan terbaik kami dengan kemenangan 5-0.

“Saya bangga dengan prestasi semua pemain terutama para pemain muda yang dilihat semakin matang aksi mereka musim ini,” kata Fadhil, 28, ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Bekas pemain Selangor yang beraksi di posisi pertahanan kiri itu menambah, kemenangan malam ini mampu mengekalkan kedudukan PKNS di tangga teratas menjelang lima perlawanan lain yang hanya akan berlangsung pada Jumaat ini.

“Gawang PKNS FC juga belum bolos selepas empat perlawanan. Razi Effendi Suhit beraksi dua perlawanan awal manakala Badrulzaman Abd Halim beraksi dua perlawanan terakhir.

“Kami harap dapat mengekalkan rekod bersih ini selain terus berusaha mengelak daripada tercicir mata.

“Kami tidak mahu skrip musim lalu berulang apabila kami tewas perlawanan terakhir Liga Premier sekali gus gagal layak ke Liga Super,” jelas Fadhil.

JADUAL
LIGA PREMIER

(HARI INI)

USM FC lwn PKNS FC
Stadium USM, Pulau Pinang, 8.45 mlm

(JUMAAT)

POS MALAYSIA lwn SARAWAK
Stadium Selayang, 4.45 ptg

SDM NAVY lwn ATM
Stadium Negeri, Batu Kawan, 4.45 ptg

MP MUAR lwn PULAU PINANG
Stadium JCorp, Pasir Gudang, 4.45 ptg

SIME DARBY lwn HARIMAU MUDA B
Stadium MBPJ, Kelana Jaya, 8.45 mlm

PDRM lwn JOHOR
Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, 8.45 mlm

KEDUDUKAN
LIGA PREMIER

PKNS FC 3 3 0 0 4 0 9
SARAWAK 3 2 1 0 10 3 7
ATM 3 2 1 0 6 2 7
JOHOR 3 2 1 0 4 1 7
HARIMAU MUDA B 3 2 1 0 7 5 7
USM FC 3 2 0 1 5 4 6
POS MALAYSIA 3 1 1 1 6 3 4
SIME DARBY 3 1 0 2 3 4 3
PDRM 3 0 1 2 1 3 1
SDM NAVY 3 0 0 3 3 8 0
MP MUAR 3 0 0 3 0 7 0
PULAU PINANG 3 0 0 3 2 11 0
Read More

Shakir, Fakri temui sentuhan

DUA penyerang skuad Olimpik kebangsaan, Ahmad Shakir Md. Ali dan Ahmad Fakri Saarani berjaya menemui sentuhan jaringan menjelang pertemuan dengan Pakistan pada Rabu ini.

Aksi pertama pusingan pertama Kelayakan Olimpik 2012 itu bakal berlangsung di Stadium Shah Alam manakala aksi kedua pula dijadualkan berlangsung di Lahore, Pakistan pada 9 Mac depan.

Petang semalam berlangsung perlawanan simulasi membabitkan pemain utama skuad Olimpik kebangsaan menentang pemain simpanan Harimau Muda A di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Keputusannya, skuad pemain utama itu berjaya mencatat kemenangan 4-0 menerusi dua jaringan Shakir dan masing-masing satu gol oleh Fakri dan Gary Steven Robbat.

Jurulatih skuad Olimpik kebangsaan, Ong Kim Swee berkata, dia lega kerana Shakir dan Fakri akhirnya menamatkan kemarau gol sepanjang mereka beraksi bersama Kedah dan Negeri Sembilan musim ini.

“Walaupun sekadar aksi persahabatan, tapi tahap permainan pada petang ini (semalam) cukup tinggi. Apa yang penting, Shakir dan Fakri menjaringkan gol.

“Saya harap ia dapat meningkatkan tahap keyakinan mereka untuk bergandingan di jentera serangan pada aksi bertemu Pakistan nanti,” katanya ketika ditemui petang semalam.

Sentuhan Shakir, 22, dan Fakri, 22, ditagih selepas dua penyerang utama Harimau Muda A, Izzaq Faris Ramlan dan Syahrul Azwari Ibrahim terpaksa diketepikan akibat kecederaan baru-baru ini.

Pada aksi semalam, kesebelasan bayangan untuk aksi Rabu ini menampilkan Khairul Fahmi Che Mat, Mahali Jasuli, Muslim Ahmad, Fadhli Shas, Affize Faisal Mamat, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, K. Gurusamy, Irfan Fazail, Fandi Othman, Shakir dan Fakri.

Pada babak kedua, Kim Swee melakukan tujuh pertukaran dengan memasukkan Gary Steven, Izham Tarmizi Roslan, Wan Zack Haikal Wan Noor, D. Saarvindran, S. Sivanesan, Faizal Muhamad dan Faizal Abu Bakar.

“Selepas menilai prestasi kesemua 25 pelatih, saya akan umumkan senarai 18 pemain untuk aksi Rabu ini pada esok (hari ini),” jelas Kim Swee.
Read More

Safee teruja selepas turun latihan pertama bersama Pelita Jaya

PENYERANG kebangsaan, Mohd. Safee Mohd. Sali berasa teruja selepas mengikuti sesi latihan pertama bersama kelab Liga Super Indonesia (ISL), Pelita Jaya pagi semalam.

Selepas diperkenalkan pada satu majlis khas oleh pihak pengurusan Pelita Jaya setibanya di Jakarta pada Isnin lalu, Safee mula turun berlatih di Pusat Olahraga Pelita Jaya, Sawangan, Jakarta Selatan, semalam.

“Pada hari pertama latihan, rasa seronok kerana dapat berjumpa rakan baru dan merasai tempat baru.

“Fasiliti kelab sangat bagus dan para pemain lain juga cukup mesra. Cuma corak latihan berbeza sedikit dan pasukan ini banyak bermain ‘one touch football’.

“Terima kasih kepada semua yang memberi ucapan dan mendoakan saya di sini,” kata Safee menerusi laman Facebook rasminya, ‘SafeeSali_10 Official’ semalam.

Sesi latihan pagi semalam dikendalikan dua penolong jurulatih Pelita Jaya iaitu I Made Pasek Wijaya dan Djadjang Nurjaman memandangkan ketua jurulatih, Miodrac Radovic berada di Australia.

Menerusi laman Facebook itu juga, pengurus peribadi Safee, Zakaria Ab. Rahim yang turut menyaksikan sesi latihan itu berkata, Safee kelihatan tidak menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri.

“Dia (Safee) nampak enjoy dan cepat menyesuaikan diri. Tapi dia nampak agak penat kerana sudah empat hari tidak turun berlatih sejak tiba di Jakarta Isnin lalu.

“Esok (hari ini), skuad Pelita Jaya akan bertolak ke satu tempat peranginan di Punchak, Bandung untuk latihan pusat hingga 25 Februari sebelum aksi pertama pusingan kedua ISL pada 7 Mac menentang Persib Bandung,” kata Zakaria.

Selain Safee, empat pemain import Pelita Jaya yang lain turut kelihatan pada sesi latihan pagi semalam iaitu penyerang dari Paraguay, Juan Ramirez, Tomoyuki Sakai dan Shibakoya Yuichi (Jepun), Walter Benitez (Argentina) dan Dramane Coulibaly (Mali).

Read More

Pameran Kita Juara - Piala Suzuki AFF 2010 di Muzium Negara


PAMERAN 'Kita Juara' sempena kejayaan skuad bola sepak Malaysia menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 pada 29 Disember lalu kini sedang berlangsung selama sebulan di Muzium Negara sehingga 28 Februari depan.

Petang tadi aku menggunakan sepenuhnya offday pada hari ini untuk melihat sendiri pameran tersebut di ruang legar utama dalam Muzium Negara.

Ia memandangkan aku sebelum ini telah membuat liputan Piala Suzuki AFF 2010 sehingga aksi final kedua di Jakarta, Indonesia.

Selepas membayar RM2 di kaunter masuk, mata aku terus tertumpu ke tengah-tengah hadapan ruang pameran yang mempamerkan trofi Penjaring Terbanyak Piala Suzuki AFF 2010 yang telah dimenangi penyerang kebangsaan, Safee Sali.

Lebih membanggakan, di sebelah kanan trofi itu turut diletakkan keratan akhbar Kosmo! yang bertajuk 'Safee tak sangka' yang terpapar di situ byline 'Daripada Wan Fakhrul Wan Bakar'.

Benar, ia merupakan artikel yang aku tulis ketika membuat liputan aksi final kedua Piala Suzuki AFF 2010 di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta pada 29 Disember lalu.

Okey lupakan hal itu. Aku terus menjengah ruang sudut pameran dan dapatlah melihat lebih dekat jersi No.22, sarung tangan dan kasut yang dipakai penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat, jersi No.10 dan kasut yang dipakai Safee serta jersi No.9 yang dipakai Norshahrul Idlan Talaha.

Turut dipamerkan, trofi Piala Suzuki AFF dan medal juara yang dimenangi para pemain Malaysia. Tapi tak teruja sangat sebab aku dah pun pegang dan bergambar dengan trofi tersebut di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Jakarta sehari selepas aksi final kedua.

Cuma aku berasakan pameran di Muzium Negara ini terlalu ringkas dan simple. Sepatutnya di sudut jersi Safee, Norshahrul dan Khairul Fahmi itu diletakkan juga sebuah skrin TV yang memaparkan komen dan kata-kata daripada pemain tersebut. Barulah nampak hidup.

Yang ada hanyalah dua TV LCD di penjuru belakang ruang pameran yang menayangkan sedutan-sedutan aksi skuad kebangsaan sepanjang kejohanan.

Selain itu, aku tak nampak terdapat senarai barisan 22 pemain skuad juara Piala Suzuki AFF 2010. Sepatutnya ia merupakan elemen utama pameran kerana nama 22 pemain ini dan barisan kejurulatihan diketuai K. Rajagobal sepatutnya dicatat dalam sejarah di Muzium Negara.

Akhir sekali, sepatutnya terdapat papan pameran beberapa pemain seperti Safee, Norshahrul, Khairul Fahmi, Safiq dan Muslim Ahmad yang dibuat mengikut skala sebenar supaya para pengunjung dapat bergambar seolah-olah berdiri di sebelah pemain terbabit.

Apa pun, pameran seumpama ini tetap wajar dipuji kerana bukan mudah untuk bergelar juara ASEAN kerana kita terpaksa menunggu selama 14 tahun sebelum dapat juga bergelar JUARA.























Tiga gambar terakhir bukanlah Piala Suzuki AFF tetapi merupakan Piala HMS Malaya, sebelum Piala Malaysia diperkenalkan. Saja ambil gambar tadi di ruang pameran atas.
Read More

Hari ini genap 5 tahun aku di Kosmo!


ALHAMDULILLAH, tarikh 16 Februari 2011 muncul juga. Ini bermakna pada hari ini, genaplah lima tahun aku bergelar wartawan akhbar Kosmo!.

Aku mula bertugas di Kosmo! pada tarikh 16 Februari 2006 ketika berusia 24 tahun. Maka umur aku sekarang ialah 29 tahun.

Nak tahu asal usul macam mana aku boleh jadi wartawan walaupun merupakan lulusan ijazah sarjana muda kejuruteraan mekanikal dari UPM, Serdang?

Aku pernah menulis mengenainya pada entry di blog ini pada tarikh 30 Ogos 2009 sempena ulangtahun ke-3 akhbar Kosmo!

Boleh baca semula entry aku itu dengan klik pada link di bawah ini.

Sesungguhnya aku suka dengan kerjaya yang aku pilih ini. Pelbagai pengalaman telah aku harungi sepanjang lima tahun ini.

Berikut adalah antara pengalaman tugasan aku sepanjang lima tahun di Kosmo!.

Februari-Mei 2006: Meja Berita (3 bulan)

- Tak banyak sangat pengalaman besar. Biasa-biasa saja sehinggalah hari-hari terakhir aku di Meja Berita ini apabila dapat membuat temubual ekskusif bersama Mawi di dalam kereta Proton Savvy miliknya di IJN ketika arwah ayahnya dirawat di situ. Tajuk story front page tersebut 'Saya tak cinta Diana'.

Mei 2006: Meja Khas (1 hari)

- Ini merupakan meja yang perlukan kita menyiasat dan bongkar sesuatu isu. Terus terang aku beritahu bos, aku masuk Kosmo! nak jadi wartawan sukan, bukan nak jadi penyiasat. Sehari saja, aku terus ditukarkan serta merta ke Meja Ahad.

Mei-Oktober 2006: Meja Ahad (6 bulan)

- Meja Ahad ini enjoy juga apabila sepanjang seminggu, aku hanya perlu menyediakan bahan untuk Kosmo! keluaran Ahad. Story lebih berbentuk kepada fokus laporan khas serta beberapa kolum seperti Kerjaya dan Di Sebalik Sukses. Banyak jugalah kawan-kawan aku diglemerkan sepanjang aku menulis untuk Kosmo! Ahad ni.

November 2006-Disember 2007: Kosmo! Biro Pahang (1 tahun 2 bulan)

- Tak semena-mena, baru sembilan bulan aku kerja di Kosmo!, nama aku naik untuk ditukarkan ke state. Memang terkejut dan mula terfikir untuk berhenti kerja. Tapi mujur kesabaran masih tinggi.

- Sepanjang 1 tahun 2 bulan bertugas di Pahang, memang pengalaman aku banyak bertambah. Aku bukan saja berpeluang menulis story berita biasa, malah story sukan, jenayah, mahkamah dan juga rencana.

- Tapi banyak habis duit sebab tiap -tiap minggu aku akan balik ke KL naik kereta walaupun offday sehari. Jadi sepanjang setahun tu, dalam 50 kali aku ulang alik memandu KL-Kuantan, sampai naik hafal selekoh-selekoh sepanjang LPT dan Karak.

Januari 2008-Januari 2009: Meja Berita (1 tahun)

- Sangkaan aku bahawa apabila dipanggil pulang ke Kosmo! KL, aku akan terus diserapkan ke Meja Sukan ternyata meleset. Aku kena kembali ke Meja Berita.

- Kali ini lebih mencabar apabila sepanjang tahun aku ditugaskan membuat liputan di Parlimen setiap kali Dewan Rakyat bersidang. Memang bosan sebab aku tak minat politik.

Januari 2009-sekarang: Meja Sukan (2 tahun)

- Alhamdulillah, akhirnya dapat juga aku masuk Meja Sukan. Ini tujuan utama aku sebenarnya apabila memilih beralih ke bidang kewartawanan ini. Tapi terpaksa menunggu sehingga tiga tahun, barulah dapat memenuhi impian.

- Di Meja Sukan inilah baru aku berpeluang membuat liputan di luar negara selepas tiga tahun berkerja iaitu liputan Piala Sultan Selangor di Singapura (2009) serta empat tugasan sepanjang 2010 iaitu Kelayakan Futsal Asia di Jakarta, Indonesia, Piala Eximbank di Ho Chi Minh City, Vietnam, Sukan Asia di Guangzhou, China dan final Piala Suzuki AFF di Jakarta.
*********************************************************************

Demikian serba sedikit pengalaman tak seberapa aku sepanjang lima tahun berkerja di Kosmo! atau lebih tepat bersama majikan aku iaitu Utusan Melayu (M) Berhad.

Tapi dah genap lima tahun kerja di Kosmo!, aku belum diberi apa-apa kenaikan pangkat pun. Mungkin sebab aku ini bukan jenis kaki bodek bos atau tak pandai ambil hati pihak atasan.

Tak mengapalah, sekurang-kurangnya aku terus enjoy dan gembira berkerja selagi diletakkan di Meja Sukan. Tapi andai ditukarkan ke meja lain selepas ini, terpaksalah aku memikirkan sesuatu.

Ini kerana, kerjaya ini aku pilih hanya kerana minat untuk menulis tentang sukan.

Sekian
Read More

Liga Super 2011: Selangor tetap garang


JUARA bertahan, Selangor yang turun pertama kali tanpa Safee Sali tetap garang apabila berjaya menewaskan Terengganu 3-2 pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam malam tadi.

Hasrat jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim untuk menambah derita Selangor selepas pemergian Safee ke Pelita Jaya tidak kesampaian malah ia telah memakan diri.

Selangor mendahului selesa 3-0 menerusi jaringan voli Fadzli Saari pada minit ke-17, Amri Yahyah (47) dan Azidan Sarudin (57).

Namun kelekaan anak-anak buah K. Devan itu menyaksikan Terengganu berjaya merapatkan kedudukan menerusi sepakan penalti Ashari Samsudin pada minit ke-70 dan jaringan Abdul Hadi Yahaya (87).

Dengan kemenangan itu, Selangor melonjak ke tangga keempat dengan tujuh mata.

Sementara itu, Kelantan terus kekal di tangga teratas dengan mengumpul 10 mata setelah menewaskan Kuala Lumpur 2-0 di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu.

Gol-gol skuad bimbingan Datuk M. Karathu itu dijaringkan Ramzul Zahini Adenan pada minit ke-47 dan Norshahrul Idlan Talaha (87).

Perak kekal di tangga kedua dengan lapan mata setelah mengikat Kedah 0-0 di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pula, hasrat skuad Perlis bimbingan Mostakeen Omar mencatat kemenangan sulung musim ini tidak kesampaian setelah sekadar seri 1-1 dengan Harimau Muda A.

Skuad Olimpik negara itu turun tanpa tiga tonggak utama iaitu penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan, Irfan Fazail dan S. Sivanesan yang direhatkan bagi mengelak kecederaan menjelang aksi bertemu Pakistan Rabu depan.

Perlis memperolehi gol pertama pada minit ke-74 menerusi rembatan jarak jauh Faiz Subri yang menewaskan Zamir Selamat.

Namun Perlis terpaksa beraksi sembilan pemain setelah Sany Mat Isa dan Munawwar Shavukath Ali masing-masing diarah keluar padang setelah menerima kad kuning kedua pada minit ke-78 dan 88.

Kesempatan itu digunakan anak-anak buah Ong Kim Swee untuk menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-89 menerusi Gary Steven Robbat.

Dengan keputusan seri itu, Harimau Muda A kekal di tangga ketiga dengan tujuh mata.

Felda United pula melonjak ke tangga kelima selepas berjaya menewaskan Negeri Sembilan 1-0 hasil jaringan Abdul Ghani Abdul Rahman pada minit ke-89 di Paroi.

Dua lagi perlawanan menyaksikan Sabah tewas 0-1 kepada Johor FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu manakala Pahang menewaskan T-Team 1-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan.
Read More

Safee mula menjalani latihan pagi Khamis


PENYERANG kebangsaan, Mohd. Safee Mohd. Sali akan mula menjalani latihan bersama pasukan barunya, Pelita Jaya pada pagi esok.

Sehari selepas itu, Safee, 27, bersama pemain-pemain Pelita Jaya yang lain akan berangkat ke Puncak, Bandung untuk menjalani kem latihan pusat sempena rehat pusingan pertama Liga Super Indonesia (ISL).

“Tak sabar nak mulakan latihan dan bertemu rakan-rakan dalam pasukan baru.

“Perlawanan pertama saya ialah pada 7 Mac depan menentang Persib Bandung di Stadium Singaperbangsa, Karawang,” kata Safee menerusi laman Facebook rasminya, ‘SafeeSali_10 Official’ semalam.

Laman Facebook tersebut diuruskan sendiri Safee dan pengurus peribadinya, Zakaria Ab. Rahim untuk para peminat mengetahui perkembangan terkini perjalanan karier bekas pemain Selangor itu di Indonesia.

Menurut Safee lagi, dia akan melakukan kunjungan hormat ke Kedutaan Malaysia di Indonesia untuk bertemu dutanya, Datuk Syed Munshe Adzaruddin Syed Hassan pada pagi ini.

“Insya Allah, selain kejayaan karier peribadi, penglibatan saya di saingan ISL ini diharap dapat merapatkan semula hubungan Malaysia dan Indonesia yang agak keruh kebelakangan ini,” ujar Safee.

Safee yang merupakan pemain Malaysia pertama beraksi di ISL bersama bapanya, Mohd. Sali Mian, ibunya, Maripah Hussain, isterinya, Sabarina Yusof, dua anaknya, Nur Syaza Syaqina dan Nur Syasya Sofirna serta Zakaria tiba di Jakarta kelmarin.

Sejurus tiba, Safee terus diperkenalkan sebagai pemain baru Pelita Jaya di sebuah hotel terkemuka di Jakarta Selatan pada satu majlis sidang media khas.

Cuti Maulidur Rasul semalam pula digunakan sepenuhnya Safee dan keluarga untuk beristirehat dan berkunjung ke Bandung.
Read More

Langkah Safee bermula

BEKAS penyerang Selangor, Mohd. Safee Mohd. Sali berlepas ke Jakarta, Indonesia pagi semalam untuk memulakan kariernya sebagai pemain import kelab Liga Super Indonesia (ISL), Pelita Jaya.

Menurut Safee, 27, dia sudah bersedia sepenuhnya dari segi fizikal dan mental bagi mengharungi cabaran baru beraksi di liga luar setelah lapan musim beraksi di Liga Malaysia sejak 2003.

Selain cabaran hebat dalam saingan ISL, Safee turut perlu menghadapi cabaran di luar padang iaitu media Indonesia yang seringkali dianggap cukup ekstrim.

“Saya sudah bersedia. Sebab itulah saya memilih Zakaria Ab. Rahim sebagai pengurus peribadi untuk beliau membantu saya dalam menghadapi media di sana (Indonesia).

“Saya juga cuba elakkan keluarga saya menjadi tumpuan.

“Tapi jika mereka tetap ekstrim berhubung perkara itu, saya perlu menyiapkan diri untuk menghadapinya,” kata Safee ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pagi semalam.

Turut mengiringi pemergian Safee ke Jakarta ialah bapanya, Mohd. Sali Mian, ibunya, Maripah Hussain, isterinya, Sabarina Yusof, dua anaknya, Nur Syaza Syaqina dan Nur Syasya Sofirna serta Zakaria.

Safee yang bakal turun beraksi untuk perlawanan pertama pusingan kedua ISL menentang Persib Bandung pada 7 Mac depan berkata, dia akan berusaha keras bagi mendapat tempat dalam kesebelasan utama Pelita Jaya.

“Pelita Jaya membariskan ramai pemain muda kerana konsep kelab ini lebih kepada pembangunan. Jadi, kehadiran saya ini dianggap sebagai ikon.

“Selain menyasarkan nisbah satu gol setiap perlawanan, saya juga berharap dapat membantu Pelita Jaya memperbaiki kedudukan dalam liga,” jelasnya.

Pelita Jaya kini menghuni tangga tercorot di kalangan 15 pasukan yang beraksi di ISL selepas tamat saingan pusingan pertama.

Safee mengikat kontrak selama setahun sehingga 31 Januari 2012 bersama Pelita Jaya.


Sudah dua tahun dia pendam hajat - Sabarina

“SUDAH dua tahun sebenarnya dia meluahkan keinginan untuk beraksi di liga luar. Sebab itulah apabila mendapat tawaran, dia begitu teruja untuk pergi.”

Demikian pendedahan Sabarina Yusof, 29, isteri kepada Mohd. Safee Mohd. Sali berhubung impian dan cita-cita suaminya itu yang sudah dipendam sejak tahun 2009 lagi.

Pada ketika itu, Safee tidak mendapat mana-mana tawaran untuk merealisasikan hajatnya itu.

Namun setelah muncul penjaring terbanyak Piala Suzuki AFF 2010 pada Disember lalu, Safee terus menarik perhatian tiga kelab Indonesia serta sebuah kelab Vietnam untuk mendapatkan khidmatnya.

Bagaimanapun semalam, penyerang kelahiran Kajang, Selangor itu sah menjadi pemain kelab Liga Super Indonesia (ISL), Pelita Jaya.

Menurut Sabarina yang berkahwin dengan Safee pada tahun 2007, dia akan terus memberi sokongan terhadap karier suaminya itu dan berharap mereka sekeluarga selamat berada di Indonesia.

“Pada mulanya memang saya suruh dia berfikir panjang berhubung hajatnya mahu beraksi di Indonesia kerana kami perlu memikirkan soal keselamatan keluarga.

“Tapi apabila dia tetap nekad untuk pergi memenuhi impian dan cita-citanya, kami sekeluarga tidak menghalang dan dia pun memang dari awal mahu membawa keluarga bersama.

“Lagipun kedua-dua anak kami, Nur Syaza Syaqina (3 tahun) dan Nur Syasya Sofirna (1 tahun) pasti demam jika ayah mereka pergi beraksi perlawanan di tempat lawan.

“Jadi harap dengan keluarga di sisi, dia dapat memberi tumpuan penuh terhadap kariernya di Indonesia,” jelas Sabarina yang berasal dari Sarawak.


‘Minat Safee hanya bola’

SEJAK dari kecil lagi, minat penyerang kebangsaan, Mohd. Safee Mohd. Sali hanyalah terhadap bola sepak.

Bapanya, Mohd. Sali Mian berkata, anak kelapan daripada 12 beradik itu seorang yang pendiam dan tidak akan keluar rumah kecuali untuk bermain bola sepak.

“Safee memang pendiam. Kalau orang tanya, barulah dia bercakap. Tapi setiap pagi dan petang, dia pasti akan keluar untuk bermain bola sepak.

“Tak cukup itu, malam pula dia akan bermain bola sepak di dalam rumah. Begitulah rutin hariannya.

“Tapi saya memang tak sangka dia akan sampai ke tahap seperti ini dan harap dia akan memperoleh kejayaan apabila memulakan karier di Indonesia,” kata Mohd. Sali.

Mohd. Sali, 64, dan isterinya, Maripah Hussain, 61, turut berlepas ke Jakarta, Indonesia pagi semalam untuk membantu Safee menyesuaikan diri dengan suasana di tempat baru.

“Sebagai permulaan, saya dan isteri ikut sama mungkin sehingga Safee beraksi perlawanan pertama. Tapi andai kata keadaan memerlukan, mungkin saya perlu lebih lama berada di sana,” jelas Mohd. Sali.

Bekas anggota polis itu turut menceritakan bahawa Safee sebenarnya mempunyai seorang adik, Mohd. Norli yang hanya beza usia setahun dengannya yang turut sama-sama handal bermain bola sepak.

“Memang dari kecil, dua beradik ini mewakili sekolah, daerah dan negeri. Cuma Norli agak malang tidak dapat meneruskan karier profesional setelah menjalani pembedahan lutut ketika dia beraksi di peringkat Piala Presiden,” ujarnya.

Safee, 27, dilahirkan di Kajang ketika Mohd. Sali bertugas di Cheras. Selepas pencen, dia pulang ke kampung halamannya di Tapah, Perak dan membuka sebuah gerai makan berhampiran rumahnya.


Zakaria bantu Safee di Indonesia

NAMA Zakaria Ab. Rahim sebelum ini cukup dikenali sebagai pengurus pasukan skuad Liga Super Selangor sejak Jun 2008 hingga Disember 2009.

Kini, Zakaria kembali tetapi bukan lagi bersama Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), sebaliknya bertindak sebagai pengurus peribadi kepada penyerang baru Pelita Jaya, Mohd. Safee Mohd. Sali.

Menurut Zakaria, perkara pertama yang menjadi keutamaannya sebaik memulakan langkah di Indonesia semalam ialah memikat pihak media di negara jiran itu.

“Di Indonesia cukup mudah. Selagi seseorang pemain itu mempamerkan prestasi baik dan menunjukkan sikap mesra, dia akan dihormati serta diminati ramai tak kira kawan atau lawan.

“Ternyata sanjungan terhadap seseorang pemain di Indonesia cukup hebat. Jadi Safee perlu sentiasa mengekalkan tahap persembahan dan kecergasannya sepanjang baki 13 perlawanan yang perlu dihadapi Pelita Jaya.

“Sasaran Safee ialah untuk membawa Pelita Jaya ke kedudukan lebih baik daripada tangga tercorot ketika ini dan jika berjaya, Safee tidak akan menghadapi masalah di Indonesia.

“Malah dia juga akan disanjung pula oleh peminat-peminat di Indonesia,” kata Zakaria ketika ditemui sebelum berlepas ke Jakarta, Indonesia pagi semalam.

Zakaria turut menjelaskan bahawa dia bukanlah ejen yang terlibat dalam urusan perpindahan Safee dari Selangor ke Pelita Jaya sebaliknya hanya berperanan sebagai pengurus peribadi yang mengatur perjalanan karier pemain itu.

“Memang ketika menjadi pengurus Selangor sebelum ini, saya telah berusaha untuk mendapatkan tempat di kelab luar buat Safee. Tapi perpindahan ke Pelita Jaya ini diuruskan sendiri oleh FAS dan tiada ejen terlibat.

“Peranan saya lebih kepada menjaga Safee untuk berhadapan dengan pihak media supaya dia tidak terjebak dengan kontroversi serta menjaga hubungannya dengan para penyokong dan peminat.

“Kita juga mahu menjadikan Safee sebagai pemain yang benar-benar profesional iaitu dengan mendapatkan ruang untuk dia menjadi duta produk dan mendapat tajaan peribadi,” jelas Zakaria.


Read More

FAM umum skuad Olimpik


SENARAI 25 pemain untuk kem latihan pusat skuad Olimpik kebangsaan bagi menghadapi Pakistan pada pusingan pertama saingan kelayakan Olimpik 2012 telah diumumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam.

Mereka terdiri daripada 19 pemain skuad Harimau Muda A serta dua pemain dari skuad Harimau Muda B iaitu D. Saarvindran (19 tahun) dan Nazmi Faiz (17 tahun).

Manakala baki empat pemain dari pasukan negeri iaitu Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan), Ahmad Fakri Saarani (Negeri Sembilan), Faizal Abu Bakar (Kedah) dan Ahmad Shakir Md. Ali (Kedah).

19 pemain Harimau Muda A yang terpilih itu ialah Zamir Selamat, Izham Tarmizi Roslan, Affize Faisal Mamat, Fadhli Shas, Faizal Muhamad, Muslim Ahmad, Mahali Jasuli, Fandi Othman, Nazirul Naim Che Hashim.

K. Gurusamy, V. Kavi Chelvan, Gary Steven Robbat, Abdul Shukur Jusoh, Irfan Fazail, S. Sivanesan, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Wan Zack Haikal Wan Noor, Ferris Danial Mat Nasir dan A. Thamil Arasu.

Jurulatih skuad Olimpik kebangsaan, Ong Kim Swee berkata, dia tidak dapat menyenaraikan dua penyerang Harimau Muda A iaitu Izzaq Faris Ramlan dan Syahrul Azwari Ibrahim akibat kecederaan.

“Tapi kita tidak menghadapi masalah kerana kesemua 30 pemain Harimau Muda A serta pemain-pemain dari Harimau Muda B dan beberapa pemain luar yang telah dikenalpasti sudah pun saya daftarkan dalam senarai awal 70 pemain.

“Jadi jika Izzaq atau Syahrul pulih lebih awal daripada sepatutnya, saya tetap boleh senaraikan mereka untuk aksi bertemu Pakistan ini,” kata Kim Swee ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kesemua 25 pelatih tersebut akan memulakan kem latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya petang esok selepas aksi keempat Liga Super berlangsung malam ini.

Hanya Khairul Fahmi dibenarkan melaporkan diri pada Sabtu selepas dia selesai membantu Kelantan bertemu T-Team pada aksi pusingan pertama Piala FA di Kota Bharu pada Jumaat ini.

Skuad negara akan bertemu Pakistan di Stadium Shah Alam pada Rabu depan sebelum bertandang ke Lahore pada 9 Mac depan.
Read More

Pemain dapat RM50,000 lagi

REZEKI barisan 22 pemain yang membawa Malaysia menjadi juara Piala Suzuki AFF 2010 pada 29 Disember lalu terus bertambah.

Semalam, kesemua 22 pemain itu serta ketua jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal menerima RM50,000 setiap seorang daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai ganjaran menjulang trofi terunggul Asia Tenggara itu buat kali pertama selepas 14 tahun.

Ganjaran tersebut disampaikan sendiri oleh Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah pada satu majlis khas yang diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya.

“Saya cukup gembira kerana selepas berjaya memenangi pingat emas Sukan SEA 2009, kita berjaya pula menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 setelah menanti selama 14 tahun.

“Para pemain telah memberi sepenuh jiwa raga mereka untuk memenangi piala ini. Kita semua patut berasa bangga dengan kejayaan ini,” titah Sultan Ahmad Shah ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Pada 12 Januari lalu, kesemua 22 pemain negara itu telah menerima ganjaran berjumlah RM65,000 daripada Kerajaan Malaysia yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tanpa dikira ganjaran tambahan yang diperolehi beberapa pemain daripada kerajaan negeri masing-masing, setiap pemain skuad Piala Suzuki AFF 2010 itu kini sudah menerima durian runtuh berjumlah RM115,000.

Sultan Ahmad Shah seterusnya mahu barisan pemain-pemain muda negara mengorak langkah untuk mencipta satu lagi sejarah layak ke Sukan Olimpik 2012 di London dengan melepasi saingan kelayakan yang akan bermula 23 Februari depan.

Namun ditanya sama ada jurulatih skuad Olimpik, Ong Kim Swee turut akan membimbing skuad Sukan SEA 2011 di Indonesia November depan, titah baginda: “Kita akan putuskan siapa jurulatih Sukan SEA pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM, 23 Februari depan.”

Sebelum ini, timbul spekulasi bahawa Rajagobal akan membantu Kim Swee untuk Sukan SEA 2011 tetapi tidak jelas sama ada Rajagobal akan bertindak sebagai ketua jurulatih atau sekadar penasihat pasukan.

Turut berlangsung semalam, mesyuarat Jawatankuasa Kewangan FAM yang dipengerusikan Sultan Ahmad Shah tetapi jumlah geran kewangan kepada setiap pasukan Liga Super dan Liga Premier musim ini masih dirahsiakan nilainya.
Read More