KL ambil 6 pemain baru


SKUAD Liga Super Kuala Lumpur akan diperkuatkan oleh enam muka baru bagi menghadapi saingan musim 2010.

Mereka terdiri daripada tiga pemain Johor FC, Fahruzzahar Ali, Farid Ramli dan See Kok Luen, bekas penjaga gol Pahang, Remezey Che Ros, bekas pemain UPB-MyTeam, Jeremy Danker dan bekas pemain KL Plus, Raimi Mohd. Nor.

Jurulatih Kuala Lumpur, Razip Ismail berkata, enam pemain baru itu telah menandatangani kontrak kelmarin dan akan menyertai barisan pemain sedia ada antaranya Azidan Sarudin, Azwan Abd. Malek, Badrul Hisyam Azmi dan Kamarulzaman Mahamud.

“Bagaimanapun tiga pemain lama kita telah berhijrah iaitu Saiful Amar Sudar dan Khairi Zainudin ke PKNS manakala Abdul Hadi Yahya menyertai T-Team.

“Kita juga telah menggugurkan beberapa pemain bagi memberi laluan kepada enam pemain baru tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kuala Lumpur sepatutnya kekal beraksi pada Liga Perdana 2010 selepas menduduki tangga keempat Liga Perdana 2009 di belakang Harimau Muda, T-Team dan Johor.

Namun penarikan diri pasukan Liga Super, KM Naza memaksa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menawarkan slot kepada Kuala Lumpur untuk beraksi dalam Liga Super musim depan.

Jelas Razip, secara kebetulan keenam-enam pemain baru yang dibawa masuk itu mempunyai pengalaman beraksi dalam saingan Liga Super bersama Johor FC, Pahang dan UPB-MyTeam.

“Memandangkan berita kemasukan Kuala Lumpur ke Liga Super itu agak lewat kerana tarikh tutup pendaftaran adalah esok (hari ini), kami tidak sempat untuk mencari pemain lain yang lebih berkualiti.

“Tapi kita tetap bersemangat menghadapi Liga Super dan akan mula mencari rentak dengan mengadakan perlawanan persahabatan bertemu Negeri Sembilan di Paroi Sabtu ini, Kedah (15 Disember), Pos Malaysia (17 Disember) dan Selangor (19 Disember),” ujarnya.
Read More

Pahang dapat ihsan FAM



REKOD 'cemerlang' Pahang yang tidak pernah turun ke liga bawahan berterusan apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam mengumumkan skuad Tok Gajah itu akan kembali bersaing dalam Liga Super 2010 yang bermula 9 Januari depan.

Pahang sebelum ini sepatutnya telah tersingkir ke Liga Perdana 2010 setelah tewas 1-5 kepada Selangor dalam aksi terakhir Liga Super 2009 pada 25 Julai lalu, sekali gus menduduki tangga kedua tercorot.

Pada 15 Ogos lalu, Mesyuarat Majlis FAM juga mengesahkan bahawa Pahang akan turun beraksi dalam Liga Perdana 2010 bersama-sama pasukan tercorot Liga Super 2009 iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Namun, Mesyuarat Majlis FAM semalam yang dipengerusikan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah selaku Presiden FAM bertindak 'menyelamatkan' pasukan negeri itu pada saat akhir sambil 'mengorbankan' skuad B-21 kebangsaan, Harimau Muda A.

"Hari ini (semalam) mesyuarat Majlis FAM telah membuat sedikit perubahan untuk pasukan-pasukan bertanding dalam Liga Super dan Liga Perdana musim depan.

"Setelah dibincang secara panjang lebar, Harimau Muda A dicadangkan untuk tidak beraksi dalam Liga Super 2010 supaya pemain-pemainnya dilepaskan beraksi untuk pasukan negeri masing-masing.

"Bagi menggenapkan 14 pasukan, Pahang dinaikkan semula ke Liga Super. Liga Perdana pula, kami akan jemput satu pasukan dari Liga FAM untuk menggenapkan 12 pasukan," kata Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Che Mat Jusoh pada sidang media semalam.

Mengulas lanjut perkara tersebut, Timbalan Presiden FAM, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, Pahang dipilih menggantikan Harimau Muda A kerana 'kedudukannya' yang paling atas dalam senarai asal pasukan-pasukan Liga Perdana 2010.

"Tiada soal pilih kasih. Keputusan ini telah dipersetujui oleh suara majoriti dalam mesyuarat Majlis FAM hari ini (semalam).

"Harimau Muda B iaitu skuad B-19 kebangsaan akan kekal dalam Liga Perdana manakala Harimau Muda A di bawah jurulatih Azraai Khor Abdullah hanya akan dikumpul apabila ada tugasan antarabangsa," jelas Khairy.

Kosmo! pada 27 Julai lalu telah melaporkan tentang kemungkinan Pahang akan diselamatkan lagi oleh FAM daripada terjerumus ke saingan Liga Perdana.

Keputusan FAM semalam sebenarnya 'ulangan' kepada tindakan mereka ketika menukar format Liga Malaysia 2007 sejurus berakhir saingan musim 2006.

FAM ketika itu mengubah format daripada lapan pasukan kepada 14 pasukan, sekali gus menyelamatkan Pahang yang menduduki tangga ketujuh daripada lapan pasukan pada Liga Super 2006.

Dalam pada itu, Sultan Ahmad Shah dalam titah baginda ketika mesyuarat semalam memberitahu, Datuk Gulzar Mohammad telah meletak jawatan sebagai Naib Presiden FAM secara sukarela berkuat kuasa 22 November lalu atas alasan kesihatan dan tumpuan kepada perniagaannya.

Selain itu, pada tarikh yang sama, FAM turut melantik Tan Sri Mohd. Noor Abdul Rahim sebagai Bendahari FAM yang baru mengganti- kan Datuk Cheong Keap Tai.



Read More

Lotto taja tiga pemain Liga M


JENAMA sukan terkenal, Lotto telah memilih tiga pemain bola sepak profesional tempatan untuk mendapat penajaan peribadi bagi saingan Liga Malaysia 2010.

Mereka ialah penyerang Angkatan Tentera Malaysia (ATM), V. Saravanan, penjaga gol Selangor, Hamsani Ahmad dan penjaga gol Harimau Muda, Zamir Selamat.

Ketiga-tiga mereka hadir pada majlis perasmian kedai konsep Lotto yang pertama di negara ini di Aras 2, Berjaya Times Square, Kuala Lumpur petang Sabtu lalu.

Menurut Saravanan, 31, penajaan itu bakal membakar semangatnya untuk menjadi penjaring terbanyak Liga Perdana 2010 bersama gandingannya dalam pasukan ATM iaitu Khalid Jamlus.

"Saya dan Khalid kali terakhir berganding ketika Piala Tiger 2004. Lima tahun tidak bersama, sejak latihan minggu lalu kami masih ada naluri persefahaman tetapi perlu ditajamkan lagi," katanya ketika ditemui pada majlis itu.

Hamsani, 33, pula memberitahu, dia menerima tawaran penajaan daripada Lotto itu kerana selesa menggunakan kasut bola jenama berkenaan.

"Walaupun tidak pernah ditaja Lotto sebelum ini, saya memang sudah biasa pakai kasut bola jenama ini. Saya juga berharap dapat mengekalkan prestasi untuk membawa Selangor menjulang Piala Malaysia 2010," ujar Hamsani.

Bagi Zamir, 20, dia cukup berbangga kerana bakatnya turut dihargai Lotto dan berazam membuktikan kemampuannya bersama skuad Harimau Muda yang beraksi buat kali pertama dalam saingan Liga Super 2010.

Majlis perasmian itu disempurnakan Pengarah Lotto Malaysia, Udo Eimer dan turut disaksikan Pengurus Besar Lotto Malaysia, Ng Yew Toh dan pemilik kedai konsep berkenaan, Kong Chiang Phang.
Read More

Parlimen Malaysia tetap gah selepas 46 tahun



BARANGKALI ramai di antara kita yang sekadar pernah melihat saja bangunan Parlimen Malaysia ini setiap kali melalui Lebuhraya Mahameru atau pun Jalan Duta setiap hari.

Bangunan yang dirasmikan pada 21 November 1963 oleh Yang Dipertuan Agong ke-3, Tuanku Syed Putra Jamalullail ini dilihat hanya sebagai sebuah bangunan 'klasik' yang sudah mencapai usia 46 tahun.

Malah jika ada pun terdetik untuk memperkatakan tentang bangunan Parlimen Malaysia ini hanyalah tentang betapa utuhnya bangunan ini kekal beroperasi di lokasi asalnya.

Sedangkan hampir keseluruhan jabatan kerajaan lain sudah pun dipindahkan ke Pusat Pentadbiran Kerajaan yang baru di Putrajaya.

Inilah suasana di dalam Dewan Rakyat

Setiap Ahli Parlimen perlu mengangkat sumpah terlebih dahulu sebelum layak bergelar Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara

Inilah pula wajah Dewan Negara

Apa uniknya sangat bangunan Parlimen Malaysia yang berketinggian 17 tingkat pada bahagian menaranya ini hinggakan ia masih gah bertapak di tengah-tengah ibu negara?

Saya sendiri hanya mula mengenali Parlimen Malaysia ini dengan lebih rapat dan mendalam sejak ditugaskan untuk membuat liputan Persidangan Parlimen bagi dimuatkan laporannya dalam akhbar Kosmo! sepanjang tahun 2008.

Setiap sesi mesyuarat Persidangan Parlimen berlangsung, saya dan para pengamal media lain akan berkampung saban minggu dari Isnin hingga Khamis, kecuali satu hari saja pada hari Jumaat iaitu ketika Perdana Menteri membentangkan Bajet.

Yang Dipertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong ketika merasmikan pembukaan sidang Parlimen

Suasana di dalam Dewan Rakyat. Di sebelah kiri adalah pihak kerajaan dan di sebelah kanan ialah pihak pembangkang

Parlimen Malaysia terdiri daripada dua dewan iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Apa bezanya?

Dewan Rakyat dibarisi oleh 222 orang ahli yang mewakili setiap kawasan Parlimen di seluruh negara yang dipilih oleh rakyat iaitu menerusi Pilihanraya Umum.

Dewan Negara pula terdiri daripada 70 orang ahli iaitu 26 ahli dipilih oleh Dewan Undangan Negeri (dua wakil setiap negeri daripada 13 negeri) dan baki 44 ahli lagi dilantik oleh Yang Dipertuan Agong.

Parlimen Malaysia adalah badan perundangan bagi kerajaan persekutuan untuk membuat undang-undang yang boleh dikuatkuasakan di seluruh negara.

Parlimen Malaysia berperanan meluluskan undang-undang persekutuan, membuat pindaan kepada undang-undang persekutuan yang ada, memeriksa dasar-dasar kerajaan, meluluskan perbelanjaan kerajaan dan meluluskan hasil-hasil cukai yang baru.

Parlimen Malaysia juga menjadi forum kritikan dan fokus pendapat awam mengenai perkara-perkara nasional.

Di dalam dewan saja wakil kerajaan dan pembangkang saling berdebat tetapi di kafeteria Ahli Parlimen ini, mereka masih boleh minum semeja

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melangkah menuju ke Dewan Rakyat

Apa yang pasti, sidang Dewan Rakyat bagi Parlimen Ke-12 selepas berakhirnya Pilihanraya Umum 2008 menjadi penggal yang paling hangat dalam sejarah.

Ini kerana buat pertama kalinya barisan pembangkang memperolehi jumlah kerusi yang cukup besar iaitu 82 kerusi berbanding 140 kerusi yang masih dibarisi penyokong kerajaan bagi membolehkan barisan kerajaan kekal mengusai majoriti dewan.

Inilah wajah Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia
Nampak seperti seorang yang garang, Pandikar sebenarnya memiliki sifat humor yang sering menceriakan suasana dalam Dewan Rakyat

Secara ringkasnya, perjalanan sidang Parlimen pada sesuatu hari itu bermula pada pukul 10 pagi apabila loceng dibunyikan untuk memanggil para Ahli Parlimen masuk ke dalam dewan.

Setelah doa dibacakan, maka bermulalah sesi soal jawab selama satu jam setengah iaitu sehingga pukul 11.30 pagi.

Sesi ini yang biasanya dapat dilihat menerusi siaran langsung di TV1 pada pukul 10 pagi.

Sesi soal jawab merupakan sesi yang mana seseorang Ahli Parlimen itu menyoal satu soalan kepada sesebuah kementerian yang dijawab oleh menteri atau timbalan menterinya disusuli dua soalan tambahan.

Purata soalan yang dapat disoal dari 10 pagi hingga 11.30 pagi setiap hari ialah sekitar 10 hingga 15 soalan manakala baki soalan yang tidak sempat dijawab akan dijadikan soalan yang dijawab secara bertulis.

Selesai sesi soal jawab, tiba pula sesi perbahasan yang berlangsung dari 11.30 pagi hingga 1 petang dan disambung semula dari 2 petang hingga 5.30 petang bagi membahaskan rang undang-undang yang dibentangkan.

Sesi ini yang selalunya menghadirkan suasana panas di dalam dewan.

Suasana malam di pekarangan bangunan Parlimen Malaysia. Siapa sangka, pada pukul 8 malam, 9 malam atau 12 tengah malam, persidangan masih berlangsung di dalam Dewan Rakyat



Pemandangan Kuala Lumpur yang diambil dari bangunan Parlimen Malaysia


Namun sidang Parlimen tidak semestinya berakhir pada pukul 5.30 petang dan kadang kala ia boleh berlanjutan sehingga pukul 8 malam, 9 malam atau boleh mencecah sehingga 12 tengah malam, bergantung kepada keperluan.

Selain dewan, lobi Parlimen juga menjadi lokasi tumpuan apabila Ahli Parlimen mengadakan sidang media tidak kira masa, kadang kala hanya dengan notis ringkas menyebabkan para pengamal media sentiasa perlu bergegas sama ada dari galeri awam di dalam Dewan Rakyat mahu pun dari Pusat Media.

Namun pengalaman yang pastinya dapat dirasai oleh orang awam yang berkunjung ke Parlimen Malaysia ialah ketika mereka menikmati juadah di Kafe Parlimen apabila tanpa disangka individu yang berada di meja sebelah kita adalah Ahli Parlimen.

Ramai sebenarnya Ahli Parlimen yang gemar melepak dan berjumpa dengan rakan-rakan luar mereka di Kafe Parlimen ini biarpun mereka sebenarnya disediakan kafe khas untuk Ahli Parlimen.


Terdapat sebuah kedai cenderamata yang menjual pelbagai jenis barangan untuk menjadi kenang- kenangan para pengunjung Parlimen Malaysia

Namun harus diingat, jika anda berasakan dengan berpakaian kemas bertali leher dan berkemeja lengan panjang ia sudah cukup untuk menggambarkan anda telah berpakaian kemas dan hebat, ia pasti silap.

Sebaliknya anda akan berasa janggal apabila berpakaian sedemikian kerana majoriti individu-individu yang berlegar dalam bangunan Parlimen itu pasti akan berpakaian lebih lengkap iaitu dengan sut jaket atau baju kot.

Gambar bangunan Parlimen Malaysia turut diabadikan di mula belakang wang syiling RM1 pada suatu ketika dahulu

Sidang Parlimen turut dibuat dalam versi kanak-kanak dengan dikenali sebagai Mini Parlimen yang disiarkan tahun 1980-an dan 1990-an.


Kini saya sudah tidak lagi membuat liputan Persidangan Parlimen kerana bukan lagi bergelar wartawan di meja berita setelah ditugaskan pula untuk menjadi wartawan di meja sukan sejak Januari 2009.

Namun pengalaman selama setahun membuat liputan di Parlimen Malaysia telah mematangkan saya untuk menilai sesuatu perkara itu dengan lebih realistik selain dapat melihat sendiri gelagat pelbagai jenis individu dan para pemimpin negara.

Yang nyata, hanya dengan berada dalam bangunan Parlimen Malaysia, anda pasti akan dapat cukup merasai konsep 1Malaysia dengan kesatuan kaum dapat dilihat di sini apabila seluruh warga Malaysia dari pelosok negara berkumpul dengan satu tujuan iaitu mendaulatkan sistem demokrasi negara.

Keratan muka depan akhbar Utusan Malaysia pada 29 Ogos 2008 yang turut menyelitkan wajah saya. Lihat gambar di bawah, saya di bulatan merah di sebelah kanan

Read More

Wajah baru KL PLUS FC 2010



KL PLUS FC serba baru menghadapi musim baru Liga Malaysia 2010.

Semalam, skuad 'lebuh raya' itu telah mengumumkan senarai 22 pemain untuk mengharungi musim baru dengan 11 daripadanya adalah pemain baru.

Mereka terdiri daripada tiga pemain Perlis, Nizaruddin Yusof, Azi Shahril Azmi dan Es Lizuan Zahid Amir; empat pemain UBP-MyTeam, Faizal Rashid, Azrul Azmi, Fazrul Hazli Kadri dan Nazrin Nawi.

Pemain lain termasuk Sanjos Sundawat (Selangor), Badrul Hisani Abd. Rahman (Pahang), Hafidz Romli (KM Naza) serta bekas pemain remaja kebangsaan, Ibnu Kassim.

Pemain-pemain baru itu bakal bergabung dengan 11 pemain utama musim lalu iaitu kapten Norhafiz Zamani Misbah, Irwan Fadzli Idrus, Fadzli Shaari, Mohd. Lot Abu Hassan, Reshafiq Alwi, Razi Effendy Suhit, Rames Lai Ban Huat, Ab. Aziz Ismail, Zaidi Ahmad, S. Sumindran dan Rusydee Samsuddin.

Ini bermakna KL Plus mengetepikan 13 pemain lama termasuk Tengku Hasbullah Raja Hassan, Safiq Rahim, Amir Shahreen Mubin, Hairul Nizam Hanif, Amini Ahmad Tabrani, Wan Hoesne Wan Hassan dan Bobby Gonzalez.

Pengarah Urusan PLUS Expressways, Noorizah Abd. Hamid berkata, sasaran KL Plus FC untuk musim baru bermula 9 Januari depan ialah memenangi sekurang-kurangnya satu piala.

Tak kisahlah sama ada Liga Super, Piala FA atau Piala Malaysia, kami mahu menang salah satu. Dengan mengekalkan pemain utama dan ditambah pemain baru, saya yakin sasaran ini mampu dicapai," katanya pada majlis pelancaran di Persada PLUS, Subang petang semalam.

Turut hadir, Pengerusi PLUS Expressways, Tan Sri Mohd. Sheriff Kassim, Presiden KL Plus FC, Zakaria Ahmad Zabidi dan pengurus pasukan, Husni Md. Yusuf.

Sementara itu, jurulatih KL Plus FC, Mohd. Zan Mat Aris berkata, sasaran satu piala yang ditetapkan pihak pengurusan tidak mustahil untuk dicapai berdasarkan barisan pemain yang dimilikinya.

"Awal musim lalu, kami lemah di bahagian serangan dan bangkit daripada kedudukan kedua tercorot, akhirnya menamatkan Liga Super di tangga ketujuh. Kami juga melangkah ke suku akhir Piala Malaysia," katanya.

Memandangkan skuad Kuala Lumpur turut akan beraksi pada Liga Super 2010, KL Plus FC bakal menggunakan Stadium MBPJ, Kelana Jaya sebagai gelanggang sendiri mereka.

KL Plus FC turut akan menyertai kejohanan empat penjuru di Kuala Terengganu pada 18 hingga 21 Disember ini bagi memantapkan persefahaman antara pemain baru dan lama.
Read More

Skuad KL main Liga Super



TUAH Kuala Lumpur.

Itulah yang boleh disifatkan selepas berakhirnya mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM yang berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Saya yang membuat liputan mesyuarat itu menunggu di lobi Wisma FAM selama lebih dua jam.

Akhirnya pada pukul 2.15 petang, pengerusi jawatankuasa tersebut, Datuk Che Mat Jusoh yang juga Naib Presiden FAM keluar dari bilik mesyuarat dan terus mengadakan sidang media ringkas.

"Pasukan-pasukan yang akan beraksi dalam Liga Super 2010 ialah Selangor, Perlis, Kedah, Johor FC, Terengganu, Kelantan, KL Plus, Negeri Sembilan, Perak, Pulau Pinang, Harimau Muda A, T-Team dan Johor.

"Oleh kerana kita ada 13 pasukan saja (selepas UPB-MyTeam dan KM Naza menarik diri), kita masukkan Kuala Lumpur sebagai pasukan ke-14 untuk menggenapkan jumlah pasukan.

"Kuala Lumpur dipilih berdasarkan kedudukan mereka dalam Liga Perdana 2009 yang berada di belakang Harimau Muda, T-Team dan Johor. Mereka dikira paling layak," kata Che Mat.

Sebaik mendengar kata-kata Che Mat itu, terus terlintas di fikiran saya yang ia sesuatu yang menarik kerana Kuala Lumpur tidak pernah beraksi dalam Liga Super sejak ia diperkenalkan pada 2004.

Sepanjang musim 2004, 2005, 2006, 2007, 2008 dan 2009, Kuala Lumpur hanya beraksi dalam Liga Perdana dan gagal untuk menduduki kedudukan teratas untuk layak ke Liga Super.

Jadi peluang beraksi dalam Liga Super 2010 itu pastinya sesuatu yang tidak akan dilepaskan oleh Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) untuk menerima tawaran yang diberikan FAM itu.

Bagi saya, ia sememangnya peluang terbaik untuk Kuala Lumpur kembali bangkit sebagai antara pasukan yang digeruni lawan seperti pada era 1980-an dan 1990-an.

Kuala Lumpur dahulu bukan calang-calang pasukan. Rekod kejuaraan mereka boleh dikatakan cukup baik.

Piala Malaysia telah dimenangi sebanyak tiga kali (1987, 1988 dan 1989), kejuaraan liga utama sebanyak dua kali (1986 dan 1988), Piala FA sebanyak tiga kali (1993, 1994 dan 1999) serta Piala Sumbangsih (1988, 1995 dan 2000).



Musim paling gemilang buat Kuala Lumpur pastinya pada 1988 apabila mereka memenangi tiga piala dalam semusim iaitu juara liga, juara Piala Malaysia dan juara Piala Sumbangsih.

Namun selepas menjuarai Piala Sumbangsih pada musim 2000, Kuala Lumpur terus mengalami kemarau kejuaraan apabila sembilan musim berikutnya pulang tanpa sebarang piala.

Ramai bintang-bintang bola sepak tempatan pernah menyarung jersi Kuala Lumpur antaranya Khalid Ali, Serbegeth Singh, Lim Teong Kim, Subadron Aziz, Azman Adnan, Zaid Jamil, Yap Wai Loon, Razip Ismail, Mat Zan Mat Aris, Rashid Hassan, M. Pavalamani, V. Murugan, T. Gopinath Naidu, Shahrin Majid, S. Paidiya Rau, Farid Dewan, Azrul Amri Burhan, Ghani Malik, Azmin Azram Abdul Aziz, Nizaruddin Yusof, Yap Kam Choon dan Safee Sali.

Tidak kurang juga pemain-pemain import seperti Fandi Ahmad (1986-1990), Malek Awab (1988-1989), K. Kannan (1989-1991), Zoran Nikolic (1991-1994), Seslija Milomir (1992) dan Emile Mbouh Mbouh (1997).

Namun Kuala Lumpur yang sinonim disifatkan sebagai kilang melahirkan pemain-pemain bintang mengalami zaman kemerosotan sejak era milenium ini setelah pemain berbakat mereka dipancing oleh pasukan-pasukan besar yang lain.

Untuk musim 2009, Kuala Lumpur dilatih Razip Ismail yang merupakan bekas pemain Kuala Lumpur yang mencipta gemilang pasukan itu pada lewat 1990-an.

Kuala Lumpur berjaya menduduki tangga keempat dalam Liga Perdana 2009, kandas di pusingan kedua Piala FA setelah tewas kepada Selangor manakala kandas di peringkat kumpulan dalam saingan Piala Malaysia.

Menjelang musim baru 2010, Kuala Lumpur dikatakan bakal dibarisi beberapa pemain baru antaranya bekas penjaga gol Pahang, Remezey Che Ros bagi menggantikan Saiful Amar Sudar yang berhijrah ke PKNS, Durahim Jamaluddin dan Azralan Azmi, kedua-duanya beraksi dengan Proton FC musim 2009.

Namun tonggak pertahanan, Khairi Zainudin berhijrah ke PKNS manakala penyerang Abdul Hadi Yahya ke T-Team.

Bagaimanapun beberapa tonggak utama musim 2009 masih kekal setia bersama Kuala Lumpur seperti Azidan Sarudin dan Azwan Abd. Malek untuk membentuk gandingan mantap bersama pemain-pemain muda yang lain.

Mungkin selepas berita mereka dinaikkan beraksi ke Liga Super 2010, KLFA akan memanggil beberapa lagi pemain baru bagi memantapkan pasukan untuk bersaing pada liga tertinggi kebangsaan itu.

Semoga musim 2010 bakal menjadi musim kebangkitan skuad Kuala Lumpur untuk kembali digeruni lawan seperti era 1980-an dan 1990-an.

Ayuh warga kota semua, kita penuhi Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras untuk musim 2010 yang akan bermula 9 Januari depan.

Anda patut berasa teruja kerana setelah masuk edisi ketujuh Liga Super, inilah kali pertama Kuala Lumpur dapat merasai peluang beraksi!

INFO:

REKOD KEJUARAAN PASUKAN KUALA LUMPUR:

1982 - Naib juara liga
1985 - Naib juara Piala Malaysia
1986 - Juara liga
1987 - Juara Piala Malaysia, naib juara liga, naib juara Piala Sumbangsih
1988 - Juara Piala Malaysia, juara liga, juara Piala Sumbangsih
1989 - Juara Piala Malaysia, naib juara liga, naib juara Piala Sumbangsih
1990 - Naib juara Piala Sumbangsih
1992 - Naib juara Piala FA
1993 - Juara Piala FA
1994 - Juara Piala FA, naib juara Piala Sumbangsih
1995 - Juara Piala Sumbangsih
1999 - Juara Piala FA
2000 - Juara Piala Sumbangsih

SENARAI JURULATIH-JURULATIH PASUKAN KUALA LUMPUR:

2008-2009 Razip Ismail
2007-2008 Heinz-Juergen Geode
2004-2007 Mat Zan Mat Aris
2003 Igor Novak
2001-2002 Wathiq Naji Jasim/ Lim Kin Lian
2000 Lim Kin Lian
1998-2000 Mat Zan Mat Aris
1995-1998 Chow Kwai Lam
1994 Ken Shellito
1993 S. Subramaniam
1992 Chow Kwai Lam
1991 Milous Kvacek
1990 Jozef Jankech
1987-1989 Chow Kwai Lam
1985-1986 Josef Venglos
1982-1984 S. Subramaniam
1979-1981 Yunus Tasman

Read More

Sukan SEA: Malaysia (11) Timor Leste (0)


SKUAD bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan tampil garang pada aksi sulung dalam acara bola sepak Sukan SEA 2009 apabila membelasah Timor Leste 11-0 di Stadium Nasional Laos di Vientiane petang semalam.

Nyata penundaan 24 jam penerbangan skuad negara ke Laos tidak menjejaskan rentak anak-anak buah K. Rajagobal itu, malah mereka mungkin mahu melepaskan geram dengan Timor Leste menjadi mangsa pertama mereka.

Malaysia selesa mendahului 6-0 pada separuh masa pertama sebelum menambah lima lagi gol pada babak kedua.

Ahmad Fakri Saarani menjaringkan hatrik, Norshahrul Idlan Talaha meledak dua gol manakala Baddrol Bakhtiar, Zaquan Adha Radzak, Safiq Rahim, Aidil Zafuan Radzak, Amirulhadi Zainal dan Amar Rohidan masing-masing menyumbang satu gol.

Norshahrul membuka tirai jaringan seawal minit ketiga sebelum Baddrol merembat gol kedua pada minit ke-11 diikuti jaringan Zaquan pada minit ke-14.

Safiq menjadikan kedudukan 4-0 pada minit ke-28 dan Malaysia menambah dua lagi gol sebelum waktu rehat menerusi jaringan kedua peribadi Norshahrul (30) dan Fakri (42).

Sebaik babak kedua bermula, Aidil tampil menjaringkan gol ketujuh Malaysia pada minit ke-57 sebelum Fakri melengkapkan hatriknya menerusi dua jaringan berturut pada minit ke-70 dan 77.

Baki dua gol Malaysia dijaringkan dua pemain gantian, Amirulhadi pada minit ke-80 dan Amar pada minit ke-90.

Malaysia selepas ini akan berdepan ujian sebenar menentang Vietnam pada perlawanan kedua Ahad ini.

Sementara itu, pada satu lagi perlawanan Kumpulan A semalam, juara bertahan Thailand sekadar seri 1-1 dengan Vietnam.

Thailand mendahului pada minit ke-70 menerusi Kirati Keawsombut sebelum Vietnam menyamakan kedudukan pada minit ke-89 hasil jaringan Nguyen Quy Suu.

Jumaat ini, Thailand akan bertemu Kemboja manakala Vietnam bertemu Timor Leste sementara Malaysia diberi rehat.

MALAYSIA: 1-Farizal Marlias, 6-Nasriq Baharom, 7-Aidil Zafuan Radzak (c), 24-Muslim Ahmad, 2-Sabre Mat Abu, 13-Ahmad Fakri Saarani, 10-Safiq Rahim (12-Amar Rohidan), 15-K.Gurusamy, 23-Baddrol Bakhtiar (16-S.Kunanlan), 9-Norshahrul Idlan Talaha (21-Amirulhadi Zainal), 8-Zaquan Adha Radzak.
Read More

Barisan pemain skuad Selangor 2010

Barisan skuad Selangor untuk musim 2009. Tujuh pemain diketepikan bagi memberi laluan kepada enam pemain baru untuk saingan musim 2010.

SKUAD Selangor untuk musim 2010 telah diumumkan FAS pada malam Isnin lalu. Berikut ialah senarai 23 pemain dan pegawai skuad Selangor 2010:

Pengurus/Ketua jurulatih: K. Devan
Penolong jurulatih/Koordinator: Mohd. Rosedy Mohd. Nadzir
Penolong jurulatih: P. Maniam
Jurulatih penjaga gol: Azmin Azram Abdul Aziz
Jurulatih kecergasan: M. Dharmendra
Fisioterapis: Zainuddin Zakaria
Masseur/Kitman: Othman Saad
Kitman: Rahim Mohamad

Pemain-pemain (no jersi dalam kurungan):
1. Fairul Azwan Shahrullai (1)
2. Razman Roslan (3)
3. Asraruddin Putra Omar (4)
4. Khairul Anuar Baharum (5)
5. Nasriq Baharom (6)
6. Farderin Kadir (7)
7. Safiq Rahim (8)
8. Rudie Ramli (9)
9. Safee Sali (10)
10. Zaiza Zainal Abidin (11)
11. Bunyamin Umar (12)
12. Hardi Jaafar (14)
13. P. Gunalan (15)
14. Azrine Efendy Saduddin (16)
15. Amri Yahyah (17)
16.Liew Kit Kong (18)
17. D. Surendran (19)
18. Amirulhadi Zainal (20)
19. Hamsani Ahmad (21)
20. Iqbal Suhaimi (22)
21. R. Surendren (23)
22. Fitri Shazwan Raduwan (24)
23. Fazilidin Khalid (25)

Enam pemain baru, nama mereka diboldkan. Tujuh pemain lama yang diketepikan ialah K. Nanthakumar, S. Sritharan, Sanjos Sundawat, Nasril Nourdin, Fazli Baharudin, Fadzirul Zakaria dan Fauzan Dzulkifli.
Read More

Senarai akhir 20 pemain skuad B-23 Malaysia ke Sukan SEA 2009 Laos


SENARAI 20 pemain yang dipilih jurulatih bola sepak kebangsaan, K. Rajagobal untuk beraksi dalam saingan Sukan SEA 2009 di Vientiane, Laos bermula Rabu ini telah pun diumumkan selepas sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya petang tadi.

Daripada 25 orang pelatih, lima nama yang tidak berada dalam senarai akhir itu ialah Syed Adney Syed Hussein, Razali Umar Kandasamy, Farderin Kadir, Ahmad Shakir Mohd. Ali dan Faizal Muhamad.

Berikut ialah senarai 20 pemain yang terpilih:

(Jersi) (Nama) (Umur) (Posisi)

1 Farizal Marlias 23 Penjaga gol
28 Sharbinee Allawee Ramli 23 Penjaga gol

2 Sabre Mat Abu 22 Pertahanan
4 Asraruddin Putra Omar 21 Pertahanan
6 Nasriq Baharom 22 Pertahanan
7 Aidil Zafuan Abd. Razak 22 Pertahanan
11 Azmi Muslim 23 Pertahanan
18 Mazlizam Mohamad 23 Pertahanan
24 Muslim Ahmad 20 Pertahanan

3 Mahali Jasuli 20 Tengah
10 Safiq Rahim 22 Tengah
12 Amar Rohidan 22 Tengah
15 K. Gurusamy 20 Tengah
16 S. Kunanlan 23 Tengah
21 Amirulhadi Zainal 23 Tengah
23 Baddrol Bakhtiar 21 Tengah

8 Zaquan Adha Abd. Razak 22 Penyerang
9 Norshahrul Idlan Talaha 23 Penyerang
13 Ahmad Fakri Saarani 20 Penyerang
14 Abdul Manaf Mamat 22 Penyerang
Read More

KL 1990... KL 2009...


Penulis (kiri) bergambar bersama abangnya, Wan Faizul di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad pada 30 Disember 1990, iaitu kira-kira 19 tahun yang lalu.


Gambar yang diambil sendiri oleh penulis pada 5 November lalu di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad.

KATA orang, gambar saja sudah cukup untuk menceritakan sesuatu peristiwa itu. Sama jugalah dengan dua keping gambar di atas ini.

Gambar pertama diambil pada 30 Disember 1990 manakala gambar kedua diambil pada 5 November 2009.

Lokasi kedua-dua gambar ini sama iaitu di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad yang terletak bertentangan dengan Dataran Merdeka, simbol utama bandar raya Kuala Lumpur.

Perbezaan tarikh kedua-dua gambar ini diambil ialah 19 tahun tetapi yang sama rupa bentuknya adalah Bangunan Sultan Abdul Samad, cuma pemandangan belakangnya saja yang berubah apabila lahirnya beberapa bangunan baru.

Gambar tahun 1990 itu hanya menampakkan bangunan Wisma Lee Rubber di sebelah kanan, Bank Bumiputra di tengah serta Bank of Commerce dan Semua House di sebelah kirinya.

Manakala gambar tahun 2009 pula masih menampakkan (dari kanan) bangunan Wisma Lee Rubber yang di belakangnya sudah kelihatan Menara Kuala Lumpur, bangunan Bank Bumiputra yang sudah ditukar nama kepada Bank Muamalat dengan di hadapannya sudah dilindungi bangunan OCBC Bank, bangunan Bank of Commerce yang sudah ditukar nama CIMB Bank serta bangunan Semua House yang sudah bertukar kepada warna gelap.

Cukuplah sekadar perbezaan di dalam dua gambar ini menceritakan tentang betapa pesatnya pembangunan dan perubahan yang berlaku di bandar raya Kuala Lumpur dalam tempoh 19 tahun saja iaitu dari 1990 hingga 2009 ini.

Apa yang membuatkan saya berasa bangga, bangunan sejarah seperti Bangunan Sultan Abdul Samad ini masih lagi terpelihara keaslian dan keunikannya biarpun semakin dimamah usia dari hari ke hari sekali gus kekal menjadi tarikan utama pelancong ke Kuala Lumpur.

Tentu anda akan bertanya, kenapa gambar saya hanya terdapat pada gambar pertama tahun 1990 itu tetapi tiada pula dalam gambar kedua yang diambil pada tahun 2009 itu, sekadar gambar kosong saja.

Nah, lihat di bawah ini. Dengan dibantu seorang pelancong warga emas dari Jepun untuk mengambil gambar, maka dapatlah saya merakamkan semula gambar saya berdiri di lokasi yang sama selepas 19 tahun berlalu.


Read More

Malaysia (0) Maldives (1)

SKUAD bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan yang menggunakan jersi di atas ini telah tewas 0-1 pada perlawanan ujian menentang skuad kebangsaan Maldives di Stadium UiTM, Shah Alam petang tadi.

Perlawanan bermula pukul 4.40 petang dengan cuaca yang panas terik.

Jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal meletakkan kesebelasan utama seperti berikut:

-------------------------------- 22-Sharbinee --------------------------
2-Sabre ------ 7-Aidil (c) ------------- 24-Muslim ------------- 11-Azmi
13-Fakri ----- 10-Safiq ------------- 12-Amar ------------ 21-Baddrol
--------------- 9-Norshahrul -------- 8-Zaquan ----------------------

Skuad B-23 negara jelas menguasai permainan dengan memperolehi beberapa peluang terbaik menerusi percubaan Safiq Rahim, Baddrol Bakhtiar dan Zaquan Adha Radzak.

Pada masa rehat, Rajagobal menukar kesemua pemain dan memasukkan kesebelasan utama yang baru untuk memulakan separuh masa kedua seperti berikut:

-------------------------------- 1-Adney -----------------------------
18-Nasriq ------ 15-Faizal --------- 17-Mazlizam ------- 3-Asraruddin
5-Amirulhadi (c) ----- 14-Gurusamy ----- 4-Mahali ------16-Kunanlan
--------------- 20-Shakir -------- 23-Razali -----------------------

Baru lima minit babak kedua bermula, Maldives dihadiahkan sepakan penalti setelah bola lambungan dari sebelah kiri oleh pemain Maldives terkena tangan pemain pertahanan skuad B-23 negara, Faizal Muhammad di dalam kotak penalti.

Kapten Maldives, Ali Asafaq mudah menyempurkan sepakan penalti itu menewaskan Syed Adney.

Selepas gol itu, skuad B-23 negara memiliki deretan peluang keemasan yang sepatutnya menghasilkan gol menerusi percubaan S. Kunanlan, Razali Umar Kandasamy dan Amirulhadi Zainal, namun semuanya tidak menepati sasaran.

Selepas menggunakan 22 pemain, Rajagobal memasukkan pemain ke-23 iaitu Farderin Kadir menggantikan Mahali Jasuli pada minit ke-70.

Pada minit ke-80, Rajagobal memasukkan semula dua pemain yang beraksi pada babak pertama iaitu Norshahrul Idlan Talaha dan Baddrol Bakhtiar bagi menggantikan K. Gurusamy dan S. Kunanlan.

Daripada senarai 25 orang pelatih skuad negara ketika ini, 23 daripadanya beraksi pada perlawanan petang tadi kecuali Farizal Marlias yang direhatkan dan Abd. Manaf Mamat yang mengalami demam panas.

Rajagobal hanya akan mengumumkan senarai terakhir 20 pemain untuk ke Sukan SEA di Laos selepas sesi latihan terakhir pada Ahad ini sebelum mereka berlepas ke Vientiane pada Isnin.

Mengikut ramalan peribadi penulis, lima pemain yang bakal diketepikan daripada senarai 20 pemain itu ialah Sharbinee Allawee Ramli, K. Gurusamy, Faizal Muhammad, Farderin Kadir dan Abd. Manaf Mamat.

Sekadar ramalan saja.......
Read More

Kosmo! FC beraksi di kejohanan bola sepak lima sebelah sempena Sukan MSN-Media 2009


INILAH barisan pemain-pemain skuad Kosmo! FC yang telah turun beraksi pada kejohanan bola sepak lima sebelah bersempena Sukan MSN-Media 2009 yang berlangsung di Padang Astroturf, MSN Bukit Jalil pada Ahad lalu.

Daripada 14 pasukan yang bertanding, kami satu-satunya pasukan yang tidak mempunyai jersi sendiri lantas menggunakan baju free yang diberikan MSN pada hari kejohanan sebagai jersi rasmi pasukan kami.

Hasilnya, tampil secara underdog, Kosmo! FC berjaya juga menampilkan persembahan cemerlang dan mengejutkan banyak pihak meskipun pada akhirnya gagal menduduki dua tangga teratas Kumpulan A untuk layak ke separuh akhir.

Kosmo! FC seri 1-1 dengan RTM pada aksi pertama diikuti aksi mantap menewaskan Harian Metro 3-1.

Pada perlawanan ketiga, biarpun seketika mendahului MSN dengan 3-1, Kosmo! FC hilang fokus dan akhirnya tewas 3-4 kepada MSN.


Bangkit pada perlawanan keempat, Kosmo! FC berjaya membelasah Malay Mail & Bloggers 6-1 sebelum meneruskan rentak cemerlang menewaskan Astro Awani-ESPN 4-1.

Hanya perlu menewaskan TV3 pada aksi terakhir kumpulan untuk mara ke separuh akhir, hajat Kosmo! FC tidak kesampaian apabila kami tewas 3-5 kepada TV3.

Juara menjadi milik MSN, naib juara TV3 manakala pasukan Penaja di tempat ketiga setelah menewaskan The Star pada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat.

Read More

Malaysia (2) Kuala Lumpur (1)


PETANG tadi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras berlangsung perlawanan bola sepak persahabatan antara skuad kebangsaan bimbingan K. Rajagobal dan skuad Kuala Lumpur bimbingan Razip Ismail.

Perlawanan berkesudahan dengan skuad kebangsaan yang dibarisi pemain-pemain B-23 kecuali kapten, Norhafiz Zamani Misbah dan Amri Yahyah berjaya menewaskan Kuala Lumpur 2-1.

Kuala Lumpur mendahului 1-0 seawal minit ke-5 menerusi penyudah kemas penyerang berjersi No.17, Shahrudin Yaakob menewaskan penjaga gol, Sharbinee Allawee Ramli setelah menerima hantaran dari sebelah kiri.

Skuad kebangsaan menyamakan kedudukan pada minit ke-28 apabila penyerang, Norshahrul Idlan Talaha bijak merembat kemas dari tengah luar kotak penalti setelah menerima tolakan tepat dari kanan oleh Ahmad Fakri Saarani.

Dua minit kemudian, skuad kebangsaan berpeluang menambah jaringan apabila Amri Yahyah berjaya melepasi pertahanan terakhir lawan tetapi dia dijatuhkan dari belakang oleh pemain Kuala Lumpur berjersi No.3 itu betul-betul di luar kotak penalti.

Pengadil tidak teragak-agak melayangkan kad merah kepada pemain pertahanan tersebut yang difahamkan antara pemain yang hadir mencuba nasib untuk menyarung jersi Kuala Lumpur musim depan.

Kesempatan menentang lawan yang beraksi dengan 10 pemain digunakan sepenuhnya skuad kebangsaan untuk mendapatkan tambahan gol.

Hasilnya pada minit ke-36, skuad kebangsaan memperolehi gol kedua hasil penyudah tepat pemain tengah, Safiq Rahim yang menerima hantaran Baddrol Bakhtiar dari sebelah kiri.

Bermula babak kedua, setelah perbincangan dibuat, Kuala Lumpur dibenarkan memasukkan semula seorang pemain tambahan untuk memastikan permainan seimbang 11 lawan 11.

Aksi babak kedua dilihat lebih menarik dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.

Namun tiada jaringan berjaya dihasilkan biarpun penyerang gantian, Razali Umar Kandasamy hampir menggegar jaring sebelum rembatannya ditepis cantik penjaga gol Kuala Lumpur dan tandukan Amri seminit kemudian sekadar menuju palang gol lawan.

Skuad kebangsaan akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang Indonesia di Palembang pada Isnin ini sebelum menghadapi dua perlawanan pusingan kelayakan Piala Asia 2011 bertemu Uzbekistan pada 14 November di tempat lawan dan 18 November di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Berikut ialah barisan pemain yang diturunkan Rajagobal pada perlawanan petang tadi.

28-Sharbinee

12-Mazlizam 8-Zamani (c) 24-Muslim 2-Sabree

13-Fakri 3-Mahali 10-Safiq 11-Baddrol

9-Norshahrul 17-Amri
Pemain gantian:
minit 38: 6-Nasriq IN, 12-Mazlizam OUT
minit 45: 22-Adney IN, 28-Sharbinee OUT
minit 57: 15-Gurusamy IN, 3-Mahali OUT
minit 62: 23-Razali IN, 9-Norshahrul OUT
minit 64: 21-Amirul IN, 13-Fakri OUT
minit 67: 14-Manaf IN, 10-Safiq OUT
minit 67: 4-Faizal IN, 24-Muslim OUT
minit 72: 18-Farderin IN, 11-Baddrol OUT

Pemain-pemain lain yang cedera turut hadir menyaksikan perlawanan petang tadi iaitu Asraruddin, Azmi Muslim, Shakir, Amar Rohidan, Bunyamin dan Khyril Muhymeen.

Sementara penjaga gol utama, Farizal Marlias tidak menyertai perlawanan tadi kerana melakukan pemeriksaan di IJN setelah mengadu sakit dada.

SENARAI PELATIH SKUAD KEBANGSAAN:

PENJAGA GOL:
1- Farizal Marlias (Perlis)
2- Sharbinee Allawee Ramli (Terengganu)
3- Syed Adney Syed Hussein (MyTeam)

PERTAHANAN:
4- Norhafiz Zamani Misbah (KL Plus)
5- Muslim Ahmad (Harimau Muda)
6- Mazlizam Mohamad (Perlis)
7- Mat Sabree Abu (Kedah)
8- Nasriq Baharom (Selangor)
9- Faizal Muhammad (Harimau Muda)
10- Azmi Muslim (MyTeam)
11- Asraruddin Putra Omar (Selangor)
12- Aidil Zafuan Radzak (N.Sembilan)

TENGAH:
13- Safiq Rahim (KL Plus)
14- K. Gurusamy (Harimau Muda)
15- Amar Rohidan (Perlis)
16- Bunyamin Umar (MyTeam)
17- Mahali Jasuli (Harimau Muda)

SAYAP:
18- Ahmad Fakri Saarani (Perlis)
19- Baddrol Bakhtiar (Kedah)
20- Amirulhadi Zainal (Selangor)
21- Farderin Kadir (KM Naza)
22- S. Kunalan (N.Sembilan)
23-Khyril Muhymeen Zambri (Kedah)

PENYERANG
24- Amri Yahyah (Selangor)
25- Norshahrul Idlan Talaha (MyTeam)
26- Zaquan Adha Radzak (N.Sembilan)
27- Razali Umar Kandasamy (Perak)
28- Abd. Manaf Mamat (Terengganu)
29- Ahmad Shakir Md. Ali (Harimau Muda)

* Semua pemain berusia 23 tahun dan ke bawah kecuali Zamani dan Amri.

* Aidil Zafuan, Zaquan Adha dan Kunalan akan menyertai skuad selepas final Piala Malaysia Sabtu ini.
Read More

Nombor plat KL terlaris!




JANGAN salah anggap. Ini bukan nombor ekor. Tapi nombor di atas ini merupakan nombor pendaftaran kenderaan atau lebih dikenali nombor plat yang terkini yang didaftarkan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur setakat petang semalam.

Nampaknya, nombor plat Kuala Lumpur yang menggunakan pangkal huruf 'W' masih kekal paling popular berbanding nombor plat dari negeri-negeri lain di Malaysia.

Jika dibandingkan dengan nombor plat lain setakat petang semalam, nombor plat WTE 5936 bagi Kuala Lumpur itu diekori oleh nombor plat Johor (JLV 7436), Selangor (BKN 7695), Pulau Pinang (PJJ 9063), Perak (AGY 1615), Kedah (KCP 4491), Pahang (CCM 6590), Negeri Sembilan (NCG 6771), Melaka (MBV 677), Kelantan (DBN 3550), Terengganu (TAW 7139) dan Perlis (RH 9145).

Bagi Sabah dan Sarawak pula, nombor plat terkini di Kuching ialah QAR 6140 dan di Kota Kinabalu ialah SAB 731 A manakala di Langkawi ialah KV 7810 C dan di Wilayah Persekutuan Labuan ialah LD 1824.

Jelas nombor plat di Kuala Lumpur paling laris kerana ia sudah mencapai abjad tengah 'T' iaitu WTE sedangkan pencabar terdekat iaitu Johor baru mencecah abjad tengah 'L' iaitu JLV.

Ini kerana, kepesatan penduduk di Kuala Lumpur menyebabkan ramai warga ibu kota termasuk mereka yang berasal dari negeri luar memilih untuk mendaftar di Kuala Lumpur kerana tertarik dengan pangkal abjad 'W' yang dianggap menarik dan 'cantik'.

Namun jika diimbas kembali pada era awal 1990-an, ketika itu nombor plat Selangor dengan pangkal huruf 'B' lebih popular dengan mendahului nombor plat Kuala Lumpur.

Saya gemar mengikuti perkembangan tentang nombor plat terkini ini kerana di akhbar Harian Metro ketika itu ada menyiarkan nombor-nombor terkini kenderaan semua negeri pada setiap hari.

Saya masih ingat, pada satu ketika Selangor sudah mencapai nombor plat BDA sedangkan ketika itu Kuala Lumpur baru mencapai nombor plat WCA, ketinggalan kira-kira satu abjad tengah itu.

Tapi kini, Kuala Lumpur sudah jauh mengatasi Selangor. WTE dibandingkan dengan BKN. Jauh bezanya.

Justeru, selepas ini Kuala Lumpur akan terus mengorak langkah dengan WTE diakhiri WTY disusuli WUA hingga WUY, WVA hingga WVY dan WWA hinggalah nombor plat yang ditunggu-tunggu iaitu WWW.

Berdasarkan kepantasan pendaftaran nombor plat di Kuala Lumpur ketika ini, dijangkakan nombor plat WWW itu akan berada di atas jalan raya pada tahun 2012.

Saya sendiri pasti tidak melepaskan peluang untuk membida salah satu nombor plat WWW itu untuk disematkan di kereta baru yang berkemungkinan akan dibeli sekitar 2012 nanti. Insyaallah.

Pastinya nombor plat idaman saya ialah WWW 1234 (sama seperti nombor plat kereta saya ketika ini yang dibida dengan harga RM400 pada 2006) atau WWW 1982 (sama seperti nombor plat motosikal saya ketika ini bersempena tahun kelahiran saya yang dibida dengan harga RM220 pada 2005).
Read More

Kuala Lumpur: Aku, rumah & stadium




INILAH kisah mengenai aku, rumah dan stadium. Sejak kecil lagi, aku begitu gilakan bola sepak bermula ketika aku berusia sembilan tahun (darjah 3) pada tahun 1991 sehinggalah ke hari ini apabila usiaku sudah mencecah 27 tahun.

Namun ketika itu, tiada siapa yang mahu membawa aku menonton perlawanan bola sepak di stadium. Jadi aku hanya mampu menonton perlawanan bola sepak jika ada siaran langsung di kaca televisyen.

Jika tiada siaran langsung, hanya radio menjadi peneman aku untuk mendapatkan keputusan perlawanan Liga Malaysia dengan rancangan Arena Sukan setiap pukul 10 malam di Radio 1 (kini dikenali sebagai Klasik Nasional) menjadi segmen yang pasti ditunggu aku pada setiap malam berlangsungnya perlawanan.

Hanya pada tahun 1997, ketika aku di tingkatan 4 barulah dapat merasai nikmat menonton perlawanan bola sepak di stadium dengan perlawanan sulungku itu melibatkan pasukan Selangor bertemu pasukan Olimpik 2000 di Stadium Shah Alam yang berkesudahan seri 3-3.

Selepas itu, barulah aku kerap pergi menonton aksi bola sepak di stadium dan kini hampir semua stadium di Semenanjung Malaysia sudah pun aku jejaki termasuklah Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur yang terletak di Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur.


Mereka yang tidak meminati bola sepak pun pasti tahu lokasi Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur ini jika mereka pernah menikmati hidangan ayam goreng di Restoran KFC ini.

Stadium ini juga dikenali dengan pelbagai nama seperti Stadium Cheras, Stadium KLFA, Stadium PBKL dan Stadium KL. Hakikatnya, nama yang tertera di stadium itu sendiri menunjukkan nama rasminya ialah Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Uniknya, stadium ini merupakan satu-satunya stadium di Malaysia yang mempunyai Restoran KFC di dalam bangunannya selain Stadium Darul Aman, Alor Setar yang turut mempunyai Restoran KFC tetapi di bangunan berlainan yang terletak berhampiran stadiumnya.

Jadi dengan lokasinya yang begitu strategik, terletak di tepi jalan utama ditambah pula kemudahan Restoran KFC dan berhadapan saja dengan Pusat Perubatan UKM, pastinya Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur ini bolehlah disifatkan sebagai kompleks sukan yang mesra pengguna.

Pemain import MPPJ Selangor, Sasa Brenezac (kiri) sedang bersaing dengan kapten Norwich City pada aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada 2004.

Bagi aku sendiri, aku tidak berkesempatan untuk menonton perlawanan bola sepak di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur 'versi lama' kerana aku hanya pertama kali menjejakkan kaki ke stadium ini pada 14 Julai 2004 iaitu ketika perlawanan persahabatan antara MPPJ Selangor menentang kelab Liga Perdana England, Norwich City. MPPJ tewas tipis 2-3.

Ketika itu seingat aku, stadium ini baru saja selesai proses pengubahsuaian dan penambahbaikan. Kagum, itulah perkataan pertama yang dapat aku katakan selepas melihat fasiliti dan keadaan padang di stadium ini yang boleh disifatkan sebagai terbaik di Malaysia.


Struktur luaran bangunan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur yang kelihatan cukup kemas dan menarik.

Kini selepas lima tahun berlalu, aku masih berasakan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur sebagai yang terbaik dari segi kemudahan, fasiliti, persekitaran dan paling utama keadaan padangnya.

Maka tidak mustahil stadium ini terus menjadi tumpuan untuk diadakan perlawanan-perlawanan antarabangsa.

Termasuklah bagi tahun ini yang menyaksikan perlawanan Malaysia bertemu UAE pada aksi kelayakan Piala Asia 2011 pada 21 Januari lalu (Malaysia dibelasah 5-0), skuad B-23 kebangsaan bertemu Indonesia B-23 pada 13 Jun lalu (Malaysia menang 1-0) dan skuad B-23 kebangsaan bertemu Zimbabwe (Malaysia menang 4-0) pada 12 Julai lalu. Aku hadir menyaksikan ketiga-tiga perlawanan tersebut.

Lihat di bahagian atas bumbung di penjuru kanan gambar di atas ini. Kelihatan sedikit struktur bangunan. Itulah rumah aku iaitu Lumayan Apartment yang terletak bersebelahan Wisma Zelan.

Lantas aku berasa sangat bertuah kerana unit rumah yang aku beli di Lumayan Apartment, Bandar Sri Permaisuri awal tahun ini betul-betul terletak di belakang Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Semasa kecil, memang aku mengimpikan untuk membeli rumah di sebelah atau berdekatan stadium supaya senang aku pergi menonton perlawanan bola sepak di stadium. Nah, sekarang memang rumah aku terletak di belakang stadium pun.

Sejak berpindah ke Lumayan Apartment pada Januari lalu, aku tidak melepaskan peluang untuk pergi menonton perlawanan-perlawanan bola sepak di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur terutama apabila berlangsungnya perlawanan Liga Super dan Liga Perdana.

Musim 2009 ini, Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur menjadi gelanggang tuan rumah buat pasukan KL Plus bagi Liga Super serta dua pasukan Liga Perdana iaitu Kuala Lumpur dan Felda United.

Jadi setiap Isnin, Selasa, Jumaat dan Sabtu pasti nyalaan lampu limpah stadium akan jelas kelihatan dari tingkat rumah aku menandakan terdapat perlawanan Liga Malaysia berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Inilah padangan dari tingkat 15 (paling atas) di Lumayan Apartment yang jelas boleh melihat keseluruhan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur. Kawasan berpokok itu merupakan Taman Tasik Permaisuri.

Akhir sekali, yang membezakan stadium ini berbanding stadium-stadium lain di negara ini, jarak di antara tempat duduk penonton dengan padang yang cukup dekat. Ini kerana struktur binaan tempat duduk penontonnya dibina betul-betul pada penghujung trek. Jadi kepuasan menonton di stadium ini lebih jika dibandingkan dengan stadium-stadium lain.

Kedudukan tempat duduk penonton dan padangnya agak dekat membolehkan para penonton berasa selesa dan seronok ketika menyaksikan perlawanan bola sepak di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur yang berkapasiti 18,000 tempat duduk sebenarnya turut menjadi tumpuan pihak sekolah sekitar di ibu negara untuk mengadakan acara olahraga sukan sekolah mereka.

Difahamkan, kadar sewanya yang lebih murah berbanding stadium-stadium lain di ibu negara menjadikan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur ini tumpuan kerana kadar sewa kepada pihak sekolah hanya RM500 selama lima jam pertama berbanding RM1,000 di stadium-stadium lain.

Pendek kata, Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur walaupun nampak ringkas dan kecil, tapi ia tetap terbaik bukan saja di Wilayah Persekutuan, malah di Malaysia.

Read More