Wednesday, December 9, 2009

KL ambil 6 pemain baru


SKUAD Liga Super Kuala Lumpur akan diperkuatkan oleh enam muka baru bagi menghadapi saingan musim 2010.

Mereka terdiri daripada tiga pemain Johor FC, Fahruzzahar Ali, Farid Ramli dan See Kok Luen, bekas penjaga gol Pahang, Remezey Che Ros, bekas pemain UPB-MyTeam, Jeremy Danker dan bekas pemain KL Plus, Raimi Mohd. Nor.

Jurulatih Kuala Lumpur, Razip Ismail berkata, enam pemain baru itu telah menandatangani kontrak kelmarin dan akan menyertai barisan pemain sedia ada antaranya Azidan Sarudin, Azwan Abd. Malek, Badrul Hisyam Azmi dan Kamarulzaman Mahamud.

“Bagaimanapun tiga pemain lama kita telah berhijrah iaitu Saiful Amar Sudar dan Khairi Zainudin ke PKNS manakala Abdul Hadi Yahya menyertai T-Team.

“Kita juga telah menggugurkan beberapa pemain bagi memberi laluan kepada enam pemain baru tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kuala Lumpur sepatutnya kekal beraksi pada Liga Perdana 2010 selepas menduduki tangga keempat Liga Perdana 2009 di belakang Harimau Muda, T-Team dan Johor.

Namun penarikan diri pasukan Liga Super, KM Naza memaksa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menawarkan slot kepada Kuala Lumpur untuk beraksi dalam Liga Super musim depan.

Jelas Razip, secara kebetulan keenam-enam pemain baru yang dibawa masuk itu mempunyai pengalaman beraksi dalam saingan Liga Super bersama Johor FC, Pahang dan UPB-MyTeam.

“Memandangkan berita kemasukan Kuala Lumpur ke Liga Super itu agak lewat kerana tarikh tutup pendaftaran adalah esok (hari ini), kami tidak sempat untuk mencari pemain lain yang lebih berkualiti.

“Tapi kita tetap bersemangat menghadapi Liga Super dan akan mula mencari rentak dengan mengadakan perlawanan persahabatan bertemu Negeri Sembilan di Paroi Sabtu ini, Kedah (15 Disember), Pos Malaysia (17 Disember) dan Selangor (19 Disember),” ujarnya.

0 comments: