Tuesday, December 15, 2009

Malaysia 3 Laos 1... Kita ke final bola sepak Sukan SEA!



MALAYSIA hanya selangkah untuk menamatkan kemarau 20 tahun pingat emas acara bola sepak Sukan SEA.

Pada aksi separuh akhir di Stadium Utama, Kompleks Sukan Negara di Vientiane, Laos malam tadi, dua jaringan Baddrol Bakhtiar dan satu jaringan Safiq Rahim membolehkan Malaysia menundukkan tuan rumah, Laos 3-1 untuk menempah tiket ke perlawanan akhir Khamis ini.

Mereka akan membuat perhitungan dengan Vietnam setelah juara Kumpulan A itu mudah menewaskan Singapura 4-1 pada satu lagi perlawanan separuh akhir semalam.

Kali terakhir Malaysia berjaya memenangi pingat emas acara bola sepak ialah pada Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur apabila berjaya menewaskan Singapura 3-1 pada perlawanan akhir.

Pada Sukan SEA 2001 di Kuala Lumpur, Malaysia terpaksa berpuas hati dengan pingat perak apabila tewas 0-1 kepada Thailand dan perlawanan itu merupakan kali terakhir Malaysia mara ke akhir.


Pada perlawanan malam tadi, Malaysia berjaya mendiamkan kira-kira 20,000 penyokong tuan rumah apabila pemain sayap, Baddrol Bakhtiar menjaringkan gol pertama seawal minit ke-12.

Gol tersebut berpunca daripada hantaran silang Abdul Manaf Mamat dari sebelah kanan yang disudahkan dengan baik oleh Baddrol menerusi sepakan gunting yang gagal diselamatkan penjaga gol Laos, Souvanpheng Phanthavong.

Biarpun kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dalam suasana perlawanan yang begitu rancak, kedudukan 1-0 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bermula babak kedua, Laos dilihat lebih banyak mengasak kubu Malaysia kerana terdesak untuk mencari gol penyamaan.

Mereka hampir berjaya membolosi pintu gol Malaysia pada minit ke-64 tetapi rembatan Kanlaya Sysomvang dari luar kotak penalti berjaya ditepis keluar penjaga gol Malaysia, Sharbinee Allawee Ramli.

Dua minit kemudian, Sharbinee sekali lagi bertindak cemerlang apabila berjaya menghalang tolakan Khampheng Sayyavuthi ketika berlaku keadaan kelam kabut di hadapan pintu gol Malaysia.

Dalam keadaan bertahan, Malaysia tetap berpeluang menambah jaringan menerusi satu serangan balas pada minit ke-69 tetapi Norshahrul Idlan Talaha yang dijatuhkan pertahanan Laos di dalam kotak penalti gagal meraih simpati pengadil.

Laos akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Kanlaya pada minit ke-72 setelah sepakan kaki kirinya dari luar kotak penalti gagal dibaca dengan baik oleh Sharbinee untuk mengikat kedudukan 1-1.


Anak-anak buah K. Rajagobal bagaimanapun tidak hilang punca dengan jaringan tersebut dan tetap tenang untuk mencari semula gol pendahuluan.

Hasilnya pada minit ke-78, Baddrol berjaya merembat masuk gol kedua dengan menyambut baik bola muntah selepas lambungan awal S. Kunanlan dari sebelah kiri terkena palang gol Laos.


Sisa harapan Laos untuk mengikat kedudukan sekali lagi tidak kesampaian apabila Safiq Rahim menjaringkan gol ketiga Malaysia pada minit ke-84 selepas menyambut baik hantaran Norshahrul dari sebelah kiri.

MALAYSIA: 28-Sharbinee Allawee Ramli, 6-Nasriq Baharom, 7-Aidil Zafuan Abd. Radzak (c), 24-Muslim Ahmad, 2-Sabre Mat Abu (11-Azmi Muslim), 16-S.Kunanlan, 10-Safiq Rahim, 15-K.Gurusamy, 23-Baddrol Bakhtiar, 14-Abdul Manaf Mamat (12-Amar Rohidan), 9-Norshahrul Idlan Talaha (4-Asraruddin Putra Omar).







0 comments: