Thursday, December 17, 2009

Malaysia (1) Vietnam (0)... Pingat emas milik kita!

BERKAT malam Tahun Baru 1431 Hijrah atau Awal Muharam, skuad bola sepak B-23 Malaysia berjaya menamatkan kemarau 20 tahun pingat emas apabila berjaya menewaskan Vietnam 1-0 pada final Sukan SEA 2009 di Vientiane, Laos sebentar tadi.

Gol tunggal Malaysia berjaya diperolehi pada minit ke-83 setelah sepakan Safiq Rahim dari sebelah kiri tertolak masuk ke gawang sendiri oleh pemain pertahanan Vietnam, Mai Xuan Hop (Jersi No.15).

Nama jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal, penolong jurulatih, Tan Cheng Hoe dan jurulatih penjaga gol, Faozi Mukhlas bersama-sama 20 pemain skuad B-23 kebangsaan pasti akan terpahat dalam sejarah Sukan SEA.

Kesebelasan utama Malaysia pada aksi final sebentar tadi dibarisi oleh Sharbinee Allawee Ramli (penjaga gol), Nasriq Baharom, Aidil Zafuan Radzak (c), Muslim Ahmad, Sabre Mat Abu (pertahanan), S. Kunanlan, Safiq Rahim, K. Gurusamy, Baddrol Bakhtiar (tengah), Ahmad Fakri Saarani, Norshahrul Idlan Talaha (penyerang).

Masuk sebagai pemain gantian, Zaquan Adha Radzak (menggantikan Fakri minit ke-69), Azmi Muslim (menggantikan Baddrol minit ke-79) dan Amar Rohidan (menggantikan Norshahrul minit ke-87).

Baki 6 pemain yang turut berada dalam skuad ini ialah Farizal Marlias, Abdul Manaf Mamat, Asraruddin Putra Omar, Amirulhadi Zainal, Mazlizam Mohamad dan Mahali Jasuli.

Tahniah kepada wira-wira negara ini yang berjaya menamatkan kemarau 20 tahun pingat emas yang dimenangi kali terakhir pada Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur setelah Malaysia menewaskan Singapura 3-1 pada perlawanan akhir di Stadium Merdeka.

Kini Malaysia berdepan cabaran baru untuk mempertahankan pingat emas ini apabila turun beraksi pada Sukan SEA 2011 di Indonesia.

Menariknya, enam daripada 20 pemain skuad 2009 ini masih layak untuk beraksi pada Sukan SEA 2011 iaitu Muslim Ahmad, K. Gurusamy, Baddrol Bakhtiar, Ahmad Fakri Saarani, Asraruddin Putra Omar dan Mahali Jasuli.


0 comments: