Saturday, December 5, 2009

Parlimen Malaysia tetap gah selepas 46 tahun



BARANGKALI ramai di antara kita yang sekadar pernah melihat saja bangunan Parlimen Malaysia ini setiap kali melalui Lebuhraya Mahameru atau pun Jalan Duta setiap hari.

Bangunan yang dirasmikan pada 21 November 1963 oleh Yang Dipertuan Agong ke-3, Tuanku Syed Putra Jamalullail ini dilihat hanya sebagai sebuah bangunan 'klasik' yang sudah mencapai usia 46 tahun.

Malah jika ada pun terdetik untuk memperkatakan tentang bangunan Parlimen Malaysia ini hanyalah tentang betapa utuhnya bangunan ini kekal beroperasi di lokasi asalnya.

Sedangkan hampir keseluruhan jabatan kerajaan lain sudah pun dipindahkan ke Pusat Pentadbiran Kerajaan yang baru di Putrajaya.

Inilah suasana di dalam Dewan Rakyat

Setiap Ahli Parlimen perlu mengangkat sumpah terlebih dahulu sebelum layak bergelar Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara

Inilah pula wajah Dewan Negara

Apa uniknya sangat bangunan Parlimen Malaysia yang berketinggian 17 tingkat pada bahagian menaranya ini hinggakan ia masih gah bertapak di tengah-tengah ibu negara?

Saya sendiri hanya mula mengenali Parlimen Malaysia ini dengan lebih rapat dan mendalam sejak ditugaskan untuk membuat liputan Persidangan Parlimen bagi dimuatkan laporannya dalam akhbar Kosmo! sepanjang tahun 2008.

Setiap sesi mesyuarat Persidangan Parlimen berlangsung, saya dan para pengamal media lain akan berkampung saban minggu dari Isnin hingga Khamis, kecuali satu hari saja pada hari Jumaat iaitu ketika Perdana Menteri membentangkan Bajet.

Yang Dipertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong ketika merasmikan pembukaan sidang Parlimen

Suasana di dalam Dewan Rakyat. Di sebelah kiri adalah pihak kerajaan dan di sebelah kanan ialah pihak pembangkang

Parlimen Malaysia terdiri daripada dua dewan iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Apa bezanya?

Dewan Rakyat dibarisi oleh 222 orang ahli yang mewakili setiap kawasan Parlimen di seluruh negara yang dipilih oleh rakyat iaitu menerusi Pilihanraya Umum.

Dewan Negara pula terdiri daripada 70 orang ahli iaitu 26 ahli dipilih oleh Dewan Undangan Negeri (dua wakil setiap negeri daripada 13 negeri) dan baki 44 ahli lagi dilantik oleh Yang Dipertuan Agong.

Parlimen Malaysia adalah badan perundangan bagi kerajaan persekutuan untuk membuat undang-undang yang boleh dikuatkuasakan di seluruh negara.

Parlimen Malaysia berperanan meluluskan undang-undang persekutuan, membuat pindaan kepada undang-undang persekutuan yang ada, memeriksa dasar-dasar kerajaan, meluluskan perbelanjaan kerajaan dan meluluskan hasil-hasil cukai yang baru.

Parlimen Malaysia juga menjadi forum kritikan dan fokus pendapat awam mengenai perkara-perkara nasional.

Di dalam dewan saja wakil kerajaan dan pembangkang saling berdebat tetapi di kafeteria Ahli Parlimen ini, mereka masih boleh minum semeja

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melangkah menuju ke Dewan Rakyat

Apa yang pasti, sidang Dewan Rakyat bagi Parlimen Ke-12 selepas berakhirnya Pilihanraya Umum 2008 menjadi penggal yang paling hangat dalam sejarah.

Ini kerana buat pertama kalinya barisan pembangkang memperolehi jumlah kerusi yang cukup besar iaitu 82 kerusi berbanding 140 kerusi yang masih dibarisi penyokong kerajaan bagi membolehkan barisan kerajaan kekal mengusai majoriti dewan.

Inilah wajah Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia
Nampak seperti seorang yang garang, Pandikar sebenarnya memiliki sifat humor yang sering menceriakan suasana dalam Dewan Rakyat

Secara ringkasnya, perjalanan sidang Parlimen pada sesuatu hari itu bermula pada pukul 10 pagi apabila loceng dibunyikan untuk memanggil para Ahli Parlimen masuk ke dalam dewan.

Setelah doa dibacakan, maka bermulalah sesi soal jawab selama satu jam setengah iaitu sehingga pukul 11.30 pagi.

Sesi ini yang biasanya dapat dilihat menerusi siaran langsung di TV1 pada pukul 10 pagi.

Sesi soal jawab merupakan sesi yang mana seseorang Ahli Parlimen itu menyoal satu soalan kepada sesebuah kementerian yang dijawab oleh menteri atau timbalan menterinya disusuli dua soalan tambahan.

Purata soalan yang dapat disoal dari 10 pagi hingga 11.30 pagi setiap hari ialah sekitar 10 hingga 15 soalan manakala baki soalan yang tidak sempat dijawab akan dijadikan soalan yang dijawab secara bertulis.

Selesai sesi soal jawab, tiba pula sesi perbahasan yang berlangsung dari 11.30 pagi hingga 1 petang dan disambung semula dari 2 petang hingga 5.30 petang bagi membahaskan rang undang-undang yang dibentangkan.

Sesi ini yang selalunya menghadirkan suasana panas di dalam dewan.

Suasana malam di pekarangan bangunan Parlimen Malaysia. Siapa sangka, pada pukul 8 malam, 9 malam atau 12 tengah malam, persidangan masih berlangsung di dalam Dewan Rakyat



Pemandangan Kuala Lumpur yang diambil dari bangunan Parlimen Malaysia


Namun sidang Parlimen tidak semestinya berakhir pada pukul 5.30 petang dan kadang kala ia boleh berlanjutan sehingga pukul 8 malam, 9 malam atau boleh mencecah sehingga 12 tengah malam, bergantung kepada keperluan.

Selain dewan, lobi Parlimen juga menjadi lokasi tumpuan apabila Ahli Parlimen mengadakan sidang media tidak kira masa, kadang kala hanya dengan notis ringkas menyebabkan para pengamal media sentiasa perlu bergegas sama ada dari galeri awam di dalam Dewan Rakyat mahu pun dari Pusat Media.

Namun pengalaman yang pastinya dapat dirasai oleh orang awam yang berkunjung ke Parlimen Malaysia ialah ketika mereka menikmati juadah di Kafe Parlimen apabila tanpa disangka individu yang berada di meja sebelah kita adalah Ahli Parlimen.

Ramai sebenarnya Ahli Parlimen yang gemar melepak dan berjumpa dengan rakan-rakan luar mereka di Kafe Parlimen ini biarpun mereka sebenarnya disediakan kafe khas untuk Ahli Parlimen.


Terdapat sebuah kedai cenderamata yang menjual pelbagai jenis barangan untuk menjadi kenang- kenangan para pengunjung Parlimen Malaysia

Namun harus diingat, jika anda berasakan dengan berpakaian kemas bertali leher dan berkemeja lengan panjang ia sudah cukup untuk menggambarkan anda telah berpakaian kemas dan hebat, ia pasti silap.

Sebaliknya anda akan berasa janggal apabila berpakaian sedemikian kerana majoriti individu-individu yang berlegar dalam bangunan Parlimen itu pasti akan berpakaian lebih lengkap iaitu dengan sut jaket atau baju kot.

Gambar bangunan Parlimen Malaysia turut diabadikan di mula belakang wang syiling RM1 pada suatu ketika dahulu

Sidang Parlimen turut dibuat dalam versi kanak-kanak dengan dikenali sebagai Mini Parlimen yang disiarkan tahun 1980-an dan 1990-an.


Kini saya sudah tidak lagi membuat liputan Persidangan Parlimen kerana bukan lagi bergelar wartawan di meja berita setelah ditugaskan pula untuk menjadi wartawan di meja sukan sejak Januari 2009.

Namun pengalaman selama setahun membuat liputan di Parlimen Malaysia telah mematangkan saya untuk menilai sesuatu perkara itu dengan lebih realistik selain dapat melihat sendiri gelagat pelbagai jenis individu dan para pemimpin negara.

Yang nyata, hanya dengan berada dalam bangunan Parlimen Malaysia, anda pasti akan dapat cukup merasai konsep 1Malaysia dengan kesatuan kaum dapat dilihat di sini apabila seluruh warga Malaysia dari pelosok negara berkumpul dengan satu tujuan iaitu mendaulatkan sistem demokrasi negara.

Keratan muka depan akhbar Utusan Malaysia pada 29 Ogos 2008 yang turut menyelitkan wajah saya. Lihat gambar di bawah, saya di bulatan merah di sebelah kanan

0 comments: