Skuad KL main Liga Super
TUAH Kuala Lumpur.
Itulah yang boleh disifatkan selepas berakhirnya mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM yang berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Saya yang membuat liputan mesyuarat itu menunggu di lobi Wisma FAM selama lebih dua jam.
Akhirnya pada pukul 2.15 petang, pengerusi jawatankuasa tersebut, Datuk Che Mat Jusoh yang juga Naib Presiden FAM keluar dari bilik mesyuarat dan terus mengadakan sidang media ringkas.
"Pasukan-pasukan yang akan beraksi dalam Liga Super 2010 ialah Selangor, Perlis, Kedah, Johor FC, Terengganu, Kelantan, KL Plus, Negeri Sembilan, Perak, Pulau Pinang, Harimau Muda A, T-Team dan Johor.
"Oleh kerana kita ada 13 pasukan saja (selepas UPB-MyTeam dan KM Naza menarik diri), kita masukkan Kuala Lumpur sebagai pasukan ke-14 untuk menggenapkan jumlah pasukan.
"Kuala Lumpur dipilih berdasarkan kedudukan mereka dalam Liga Perdana 2009 yang berada di belakang Harimau Muda, T-Team dan Johor. Mereka dikira paling layak," kata Che Mat.
Sebaik mendengar kata-kata Che Mat itu, terus terlintas di fikiran saya yang ia sesuatu yang menarik kerana Kuala Lumpur tidak pernah beraksi dalam Liga Super sejak ia diperkenalkan pada 2004.
Sepanjang musim 2004, 2005, 2006, 2007, 2008 dan 2009, Kuala Lumpur hanya beraksi dalam Liga Perdana dan gagal untuk menduduki kedudukan teratas untuk layak ke Liga Super.
Jadi peluang beraksi dalam Liga Super 2010 itu pastinya sesuatu yang tidak akan dilepaskan oleh Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) untuk menerima tawaran yang diberikan FAM itu.
Bagi saya, ia sememangnya peluang terbaik untuk Kuala Lumpur kembali bangkit sebagai antara pasukan yang digeruni lawan seperti pada era 1980-an dan 1990-an.
Kuala Lumpur dahulu bukan calang-calang pasukan. Rekod kejuaraan mereka boleh dikatakan cukup baik.
Piala Malaysia telah dimenangi sebanyak tiga kali (1987, 1988 dan 1989), kejuaraan liga utama sebanyak dua kali (1986 dan 1988), Piala FA sebanyak tiga kali (1993, 1994 dan 1999) serta Piala Sumbangsih (1988, 1995 dan 2000).
Musim paling gemilang buat Kuala Lumpur pastinya pada 1988 apabila mereka memenangi tiga piala dalam semusim iaitu juara liga, juara Piala Malaysia dan juara Piala Sumbangsih.
Namun selepas menjuarai Piala Sumbangsih pada musim 2000, Kuala Lumpur terus mengalami kemarau kejuaraan apabila sembilan musim berikutnya pulang tanpa sebarang piala.
Ramai bintang-bintang bola sepak tempatan pernah menyarung jersi Kuala Lumpur antaranya Khalid Ali, Serbegeth Singh, Lim Teong Kim, Subadron Aziz, Azman Adnan, Zaid Jamil, Yap Wai Loon, Razip Ismail, Mat Zan Mat Aris, Rashid Hassan, M. Pavalamani, V. Murugan, T. Gopinath Naidu, Shahrin Majid, S. Paidiya Rau, Farid Dewan, Azrul Amri Burhan, Ghani Malik, Azmin Azram Abdul Aziz, Nizaruddin Yusof, Yap Kam Choon dan Safee Sali.
Tidak kurang juga pemain-pemain import seperti Fandi Ahmad (1986-1990), Malek Awab (1988-1989), K. Kannan (1989-1991), Zoran Nikolic (1991-1994), Seslija Milomir (1992) dan Emile Mbouh Mbouh (1997).
Namun Kuala Lumpur yang sinonim disifatkan sebagai kilang melahirkan pemain-pemain bintang mengalami zaman kemerosotan sejak era milenium ini setelah pemain berbakat mereka dipancing oleh pasukan-pasukan besar yang lain.
Untuk musim 2009, Kuala Lumpur dilatih Razip Ismail yang merupakan bekas pemain Kuala Lumpur yang mencipta gemilang pasukan itu pada lewat 1990-an.
Kuala Lumpur berjaya menduduki tangga keempat dalam Liga Perdana 2009, kandas di pusingan kedua Piala FA setelah tewas kepada Selangor manakala kandas di peringkat kumpulan dalam saingan Piala Malaysia.
Menjelang musim baru 2010, Kuala Lumpur dikatakan bakal dibarisi beberapa pemain baru antaranya bekas penjaga gol Pahang, Remezey Che Ros bagi menggantikan Saiful Amar Sudar yang berhijrah ke PKNS, Durahim Jamaluddin dan Azralan Azmi, kedua-duanya beraksi dengan Proton FC musim 2009.
Namun tonggak pertahanan, Khairi Zainudin berhijrah ke PKNS manakala penyerang Abdul Hadi Yahya ke T-Team.
Bagaimanapun beberapa tonggak utama musim 2009 masih kekal setia bersama Kuala Lumpur seperti Azidan Sarudin dan Azwan Abd. Malek untuk membentuk gandingan mantap bersama pemain-pemain muda yang lain.
Mungkin selepas berita mereka dinaikkan beraksi ke Liga Super 2010, KLFA akan memanggil beberapa lagi pemain baru bagi memantapkan pasukan untuk bersaing pada liga tertinggi kebangsaan itu.
Semoga musim 2010 bakal menjadi musim kebangkitan skuad Kuala Lumpur untuk kembali digeruni lawan seperti era 1980-an dan 1990-an.
Ayuh warga kota semua, kita penuhi Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras untuk musim 2010 yang akan bermula 9 Januari depan.
Anda patut berasa teruja kerana setelah masuk edisi ketujuh Liga Super, inilah kali pertama Kuala Lumpur dapat merasai peluang beraksi!
INFO:
REKOD KEJUARAAN PASUKAN KUALA LUMPUR:
1982 - Naib juara liga
1985 - Naib juara Piala Malaysia
1986 - Juara liga
1987 - Juara Piala Malaysia, naib juara liga, naib juara Piala Sumbangsih
1988 - Juara Piala Malaysia, juara liga, juara Piala Sumbangsih
1989 - Juara Piala Malaysia, naib juara liga, naib juara Piala Sumbangsih
1990 - Naib juara Piala Sumbangsih
1992 - Naib juara Piala FA
1993 - Juara Piala FA
1994 - Juara Piala FA, naib juara Piala Sumbangsih
1995 - Juara Piala Sumbangsih
1999 - Juara Piala FA
2000 - Juara Piala Sumbangsih
SENARAI JURULATIH-JURULATIH PASUKAN KUALA LUMPUR:
2008-2009 Razip Ismail
2007-2008 Heinz-Juergen Geode
2004-2007 Mat Zan Mat Aris
2003 Igor Novak
2001-2002 Wathiq Naji Jasim/ Lim Kin Lian
2000 Lim Kin Lian
1998-2000 Mat Zan Mat Aris
1995-1998 Chow Kwai Lam
1994 Ken Shellito
1993 S. Subramaniam
1992 Chow Kwai Lam
1991 Milous Kvacek
1990 Jozef Jankech
1987-1989 Chow Kwai Lam
1985-1986 Josef Venglos
1982-1984 S. Subramaniam
1979-1981 Yunus Tasman
0 comments:
Post a Comment