Friday, December 11, 2009

Enam tempat mengambil foto terbaik di KLCC


PENGUNJUNG Kuala Lumpur City Centre (KLCC) kini tidak perlu lagi pening kepala mencari lokasi terbaik untuk merakamkan gambar kenangan mereka.

Ini kerana pihak KLCC Holdings Sdn. Bhd dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah pun memperkenalkan enam tempat mengambil foto terbaik di KLCC.

Bagi mengetahui sendiri di manakah letaknya enam lokasi tersebut, saya telah meluangkan masa lebih sejam petang semalam untuk menjejakinya.

Rajah di bawah ini menunjukkan enam lokasi tersebut:



Lokasi 1 terletak berdekatan lampu isyarat simpang empat antara Jalan Ampang, Jalan P. Ramlee dan Jalan Yap Kwan Seng




Baki lima lagi lokasi kesemuanya terletak di Taman KLCC.

Lokasi 2 terletak bertentangan dengan Tasik Simfoni dan gambar yang diambil adalah seperti di bawah ini.


Lokasi 3 dan 4 pula terletak berhampiran dengan Masjid As-Syakirin.

Manakala Lokasi 5 dan 6 terletak berdekatan dengan Menara ExxonMobil dan contoh gambar yang diambil boleh dilihat seperti di bawah ini.




Pelancaran enam tempat mengambil gambar terbaik KLCC itu telah berlangsung petang kelmarin dan disempurnakan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Fuad Ismail yang berada di tengah-tengah dalam gambar di bawah ini.



Dengan adanya enam tempat ini, diharap tidak lagi kelihatan pengunjung-pengunjung KLCC yang membahayakan diri mengambil gambar di tepi jalan.

Ini kerana, enam tempat mengambil gambar yang disediakan itu boleh dianggap 'port' terbaik kerana penetapan lokasi tersebut dibuat berdasarkan input diperolehi menerusi gambar-gambar yang pernah diambil oleh para pengunjung sebelum ini.



Biarpun sudah lebih 10 tahun diduduki, KLCC masih menjadi tumpuan utama pengunjung tidak kira sama ada warga Malaysia sendiri mahu pun pelancong-pelancong asing.

Pembangunan KLCC dibuat di atas tapak bekas gelanggang lumba kuda seluas kira-kira 40 hektar dan terletak di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur.

KLCC mula dibina pada tahun 1992 dan siap pada 1998 sekali gus menjadi bangunan tertinggi di dunia pada ketika itu dengan ketinggian 452 meter dan mempunyai jumlah 88 tingkat.




Biarpun bukan lagi bergelar bangunan tertinggi di dunia pada waktu ini, Menara Kembar Petronas masih kekal memegang rekod sebagai bangunan berkembar tertinggi dunia.



Pembangunan KLCC bukan saja Menara Kembar Petronas semata-mata tetapi ia turut merangkumi Menara Maxis, Menara ExxonMobil, Hotel Mandarin Oriental, Hotel Traders, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, The Binjai On The Park, Masjid As-Syakirin dan Taman KLCC.



Antara tarikan lain di KLCC termasuklah Suria KLCC, Dewan Filharmonik Petronas, Galeri Petronas, Petrosains dan Aquaria KLCC.

Jadi, apa tunggu lagi. Jom kita ke KLCC untuk bergambar dan jangan lupa pergi ke enam lokasi mengambil gambar terbaik yang saya nyatakan di atas tadi.


2 comments:

n@m@n said...

wah..kerabat wan jugok ni

December 12, 2009 at 2:54 PM
skamals said...

kene ade camera mahal...baru best menembak...hehehe...

December 12, 2009 at 9:53 PM