Sesi taklimat Liga M 2010
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) akan membatalkan serta-merta penyertaan sesebuah pasukan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) 2010 jika mereka didapati berhutang biarpun untuk hanya tempoh sebulan.
Penolong Setiausaha Agung FAM, Ahmad Fuad Daud berkata, tindakan itu akan diambil sekira- nya terdapat aduan terhadap pasukan yang gagal membayar sama ada gaji pemain, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) atau Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
"Jika kita mendapat aduan mereka gagal membayarnya selepas tamat sesatu bulan itu, maka penyertaan pasukan tersebut dalam Liga M 2010 akan terbatal serta- merta dan pemain mereka dibenarkan untuk pendaftaran khas dengan pasukan lain.
"Selain itu, pasukan boleh dikenakan tindakan penggantungan selama tiga musim, dilucut- kan deposit, diminta membayar kos pengelolaan dan didenda maksimum RM100,000," kata Ahmad Fuad pada Majlis Taklimat Liga M 2010 di Wisma FAM, Kelana Jaya pagi semalam.
Liga Super 2010 bakal disertai 14 pasukan iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Terengganu, Pahang, Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Kelantan, T-Team, Johor FC, Johor, KL Plus, Kuala Lumpur dan Perak.
Liga Perdana 2010 pula menampilkan 12 pasukan iaitu PKNS, Sabah, Harimau Muda B-19, Pos Malaysia, Staf USM, Melaka, Felda United, Sarawak, PDRM, ATM, Majlis Perbandaran Muar dan Shahzan Muda.
Jelas Ahmad Fuad, saingan Liga FAM 2010 pula kini baru mempunyai lima pasukan dari saingan musim lalu iaitu Tambun Tulang, UiTM FC, Ban Hoe Leong, Penjara Melaka dan Melodi Jaya.
"Liga FAM 2010 dikhaskan kepada pemain berusia 28 tahun (lahir 1982) dan ke bawah. Pemain lebih usia 28 tahun hanya dibenarkan jika dia merupakan pemain profesional yang diberi kontrak.
"Negeri-negeri juga diingatkan untk menyenaraikan pasukan untuk Liga FAM ini sebelum 11 Januari depan. Kita memerlukan minimum lapan pasukan dan jika gagal mencapai jumlah itu, Liga FAM 2010 akan dibatalkan," ujarnya.
Sementara itu, pendaftaran kedua untuk Liga Super dan Liga Perdana hanya akan dibuka dari 5 hingga 18 Mei depan manakala pendaftaran pemain pinjaman untuk saingan Piala Malaysia akan dibuka dari 26 Julai hingga 9 Ogos.
Menyentuh soal disiplin penonton, Ahmad Fuad berkata, tinda- kan tegas akan dikenakan terhadap pasukan yang para penyokongnya didapati bertindak liar.
"Pasukan boleh dikenakan denda maksimum RM100,000, potong mata kemenangan, beraksi di stadium kosong dan juga stadium akan ditutup untuk beberapa perlawanan," katanya.
Liga M 2010 juga akan disiarkan secara langsung setiap Jumaat di Astro dan setiap Sabtu di RTM bagi perlawanan-perlawanan pilihan.
0 comments:
Post a Comment