Tuesday, December 8, 2009

Lotto taja tiga pemain Liga M


JENAMA sukan terkenal, Lotto telah memilih tiga pemain bola sepak profesional tempatan untuk mendapat penajaan peribadi bagi saingan Liga Malaysia 2010.

Mereka ialah penyerang Angkatan Tentera Malaysia (ATM), V. Saravanan, penjaga gol Selangor, Hamsani Ahmad dan penjaga gol Harimau Muda, Zamir Selamat.

Ketiga-tiga mereka hadir pada majlis perasmian kedai konsep Lotto yang pertama di negara ini di Aras 2, Berjaya Times Square, Kuala Lumpur petang Sabtu lalu.

Menurut Saravanan, 31, penajaan itu bakal membakar semangatnya untuk menjadi penjaring terbanyak Liga Perdana 2010 bersama gandingannya dalam pasukan ATM iaitu Khalid Jamlus.

"Saya dan Khalid kali terakhir berganding ketika Piala Tiger 2004. Lima tahun tidak bersama, sejak latihan minggu lalu kami masih ada naluri persefahaman tetapi perlu ditajamkan lagi," katanya ketika ditemui pada majlis itu.

Hamsani, 33, pula memberitahu, dia menerima tawaran penajaan daripada Lotto itu kerana selesa menggunakan kasut bola jenama berkenaan.

"Walaupun tidak pernah ditaja Lotto sebelum ini, saya memang sudah biasa pakai kasut bola jenama ini. Saya juga berharap dapat mengekalkan prestasi untuk membawa Selangor menjulang Piala Malaysia 2010," ujar Hamsani.

Bagi Zamir, 20, dia cukup berbangga kerana bakatnya turut dihargai Lotto dan berazam membuktikan kemampuannya bersama skuad Harimau Muda yang beraksi buat kali pertama dalam saingan Liga Super 2010.

Majlis perasmian itu disempurnakan Pengarah Lotto Malaysia, Udo Eimer dan turut disaksikan Pengurus Besar Lotto Malaysia, Ng Yew Toh dan pemilik kedai konsep berkenaan, Kong Chiang Phang.

0 comments: