Sunday, December 27, 2009

Harimau Muda ‘hijrah’ ke Melaka


SKUAD bawah 19 tahun (B-19) kebangsaan atau Harimau Muda tidak lagi menggunakan Stadium Nasional, Bukit Jalil sebagai gelanggang sendiri mereka seperti kebiasaannya pada dua musim sebelum ini.

Mengikut jadual Liga Perdana 2010 yang diemelkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kepada media semalam, pasukan juara bertahan itu akan menggunakan Stadium Hang Tuah, Melaka sebagai gelanggang tuan rumah mereka pada musim ini.

Jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee ketika dihubungi Kosmo! petang semalam mengesahkan yang pasukan bimbingannya itu bakal beraksi di Melaka.

“Stadium Nasional tidak dapat digunakan untuk kerja-kerja baik pulih dan kita telah berusaha mencari stadium lain di sekitar Lembah Klang tetapi semuanya sudah mempunyai dua pasukan menggunakannya sebagai gelanggang sendiri.

“Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pula digunakan oleh PDRM. Jadi akhirnya kami pilih Stadium Hang Tuah. Jika kami main bagus, mana tahu ramai peminat di Melaka akan memenuhi stadium itu nanti,” jelas Kim Swee.

Tambahnya lagi, skuad Harimau Muda juga sudah tidak berlatih di Wisma FAM, Kelana Jaya sebaliknya mereka telah mula berpusat di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil bermula minggu ini.

“Kami berlatih di Padang MSN, Bukit Jalil dan akan ke Melaka pada pagi perlawanan. Selepas perlawanan, kami tidur di Melaka dan hanya selepas latihan pemulihan pada keesokan paginya kami akan kembali ke Bukit Jalil,” kata Kim Swee.

Dalam pada itu, saingan hari pertama Liga Super 2010 pada 9 Januari depan bakal menyaksikan tujuh perlawanan berlangsung iaitu Negeri Sembilan bertemu Selangor, Kuala Lumpur bertemu T-Team, KL Plus bertemu Pulau Pinang, Pahang bertemu Perak, Terengganu bertemu Kelantan, Johor bertemu Kedah dan Perlis bertemu Johor FC.

Hari pertama saingan Liga Perdana pula yang berlangsung pada 11 Januari akan menampilkan enam perlawanan iaitu ATM bertemu Harimau Muda, MP Muar bertemu PKNS, Sabah bertemu Felda United, Sarawak bertemu PDRM, USM FC bertemu Pos Malaysia dan Melaka bertemu Shahzan Muda.

Saingan Liga Perdana dan Liga Super musim ini bakal berakhir pada 23 Julai dan 31 Julai depan sebelum disambung pula dengan saingan Piala Malaysia selepas berakhirnya bulan Ramadan.

0 comments: