Friday, September 17, 2010

Futsal: KL Figos RSA digantung



IBARAT kata pepatah, "Menang sorak kampung tergadai".

Itulah nasib dialami juara Liga Futsal Kebangsaan Felda/FAM 2009, KL Figos RSA yang digantung dua tahun daripada menyertai kejohanan itu.

Terdahulu, KL Figos RSA berjaya mengharumkan nama Malaysia apabila muncul juara Kejohanan Futsal Jemputan Antarabangsa Piala City 2010 di Taipei City, Taiwan pada 9 Ogos lalu.

Begitupun, kejayaan mereka itu 'dinafikan' Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang bertindak menghukum mereka dengan penggantungan tersebut.

Alasan FAM - kejohanan disertai mereka itu tidak diiktiraf Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) atau Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Ketika diminta mengulas perkara itu, Penolong Setiausaha Agung FAM, Ahmad Fuad Daud berkata, hukuman penggantungan tersebut turut melibatkan pasukan wanita KL Figos RSA yang beraksi sama pada Liga Futsal Kebangsaan Felda/FAM.

"KL Figos RSA telah melakukan dua kesalahan iaitu menyertai kejohanan yang tidak diiktiraf AFC dan FIFA serta tidak memaklumkan penyertaan mereka itu kepada Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) dan FAM.

"Jadi keputusan pada dua perlawanan terdahulu pasukan lelaki dan wanita KL Figos RSA dalam Pusingan 1 dan Pusingan 2 sebelum ini telah dibatalkan.

"Dua perlawanan pasukan wanita pada Pusingan 3 hujung minggu ini dan pasukan lelaki pada Pusingan 4 hujung minggu depan juga akan dikeluarkan daripada jadual," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

KL Figos RSA dikatakan sudah membuat rayuan minggu lalu tetapi sehingga kini FAM masih belum bertindak menimbang sebarang keputusan sebelum saingan Pusingan 3 berlangsung esok dan Ahad.

Jelas Ahmad Fuad: "Kita tidak dapat buat keputusan lagi berhubung rayuan mereka itu kerana Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM yang baru masih belum bersidang."

Penggantungan dua tahun itu sebenarnya bukan sahaja melibatkan kelab tersebut, malah para pemain serta jurulatihnya.

Ini bermakna, skuad futsal kebangsaan yang akan berjuang mempertahankan pingat perak pada Sukan SEA 2011 di Indonesia tahun depan pasti pincang kerana lima pemain mereka kini beraksi untuk KL Figos RSA.

Mereka ialah S. Devandran, Khairul Effendy Bahrin, Qaiser Heshaam Abdul Kadir, Muizzudin Harris dan Fadzil Ab. Karnim.

Justeru pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai yang baru, Datuk Seri Abdullah Hishan Mohd. Hashim yang juga Naib Presiden FAM diharap dapat menyelesaikan segera masalah itu kerana yang rugi nanti pastinya skuad futsal kebangsaan sendiri.

0 comments: