Monday, October 17, 2011

Sultan Selangor tiup semangat jaya ‘Misi 33’

SKUAD Selangor mendapat motivasi terbaik menjelang pertemuan separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang Terengganu di Stadium Shah Alam, malam esok apabila bakal diiringi sokongan padu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, ia diharap mampu menyemarakkan semangat pemain Selangor serta menggamit kehadiran penyokong setia Red Giants bagi merealisasikan ‘Misi 33’.

“Tuanku Sultan bersetuju menyaksikan perlawanan. Begitu juga Tan Sri (Khalid) yang juga Presiden FAS turut mengesahkan kehadiran.

“Kehadiran dua individu penting ini menunjukkan betapa penting untuk Selangor merealisasikan sasaran menjuarai Piala Malaysia buat kali ke-33 musim ini,” kata Hamidin ketika dihubungi, semalam.

Bagi memastikan kehadiran ramai penyokong Selangor malam esok, Hamidin turut memberitahu, harga tiket untuk aksi separuh akhir pertama itu tidak akan dinaikkan, sebaliknya kekal RM15 dewasa dan RM5 kanak-kanak.

“Biarpun sudah memasuki saingan separuh akhir, FAS berpendapat adalah penting untuk kami mengekalkan harga ini. Tiket-tiket akan dijual di kaunter stadium bermula 9 pagi Selasa (esok) sehingga perlawanan bermula,” jelas Hamidin.

Dalam pada itu, jurulatih Selangor, P Maniam masih meletakkan peluang 50-50 untuk kaptennya, Amri Yahyah turun beraksi malam esok selepas mengalami kecederaan lutut di Ipoh, Jumaat lalu.

“Bergantung kepada keadaan Amri dalam tempoh sehari dua ini. Apapun, pemain lain boleh beraksi termasuk Bunyamin Umar yang tamat penggantungan satu perlawanan,” kata Maniam.

0 comments: