Isu ITC Balaban buat Selangor pening kepala


SELANGOR berdepan kemungkinan terpaksa mengharungi 10 lagi perlawanan dengan hanya bersandarkan penyerang tempatan andai Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) penyerang import dari Croatia, Bosko Balaban terus gagal diperoleh.
Read More

31 aksi siaran langsung Euro 2012 di Astro

SEMUA 31 perlawanan Euro 2012 di Poland dan Ukraine, 8 Jun hingga 1 Julai depan akan disiarkan secara langsung oleh Astro, penyiar rasmi kejohanan untuk Malaysia dengan 12 daripadanya adalah siaran langsung secara eksklusif.
Read More

Ujian Liga-S Harimau hari ini

SKUAD Harimau Muda A menghadapi Gombak United pada aksi sulung Liga Singapura 2012 di Stadium Jalan Besar, malam ini tanpa kelibat 'peledak baru' mereka, Ahmad Hazwan Bakri yang terpaksa diketepikan akibat kecederaan hamstring.
Read More

FAM dedah nama 12 individu rasuah

SEPERTI dijanjikan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam mengeluarkan senarai nama 12 individu dari skuad Piala Presiden Negeri Sembilan 2011 yang dikenakan hukuman penggantungan selepas mereka didapati terbabit dengan kegiatan rasuah dan mengatur perlawanan sepanjang musim lalu.
Read More

Safee selamat

TIADA sebarang larangan buat penyerang sensasi negara, Safee Sali untuk terus menyarung jersi skuad kebangsaan manakala Liga Super Indonesia (ISL) yang disertai kelabnya, Pelita Jaya, juga belum diharamkan.
Read More

Irfan ikat bekas peledak Croatia

BEKAS penyerang kebangsaan Croatia, Bosko Balaban, semalam sah menandatangani kontrak dengan skuad Liga Super Selangor, sekali gus dijangka dapat diturunkan bertemu Lions XII di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Rabu ini.
Read More

Kim Swee tarik nafas lega

SKUAD B-23 negara kini boleh fokus sepenuhnya terhadap baki tiga aksi Kumpulan C saingan Kelayakan Olimpik Zon Asia apabila hanya dua aksi Liga-S membabitkan mereka dijadualkan berlangsung sepanjang tempoh terbabit.
Read More

Selangor tidak gentar: Irfan

TIADA rasa gusar buat jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim apabila membimbing pasukan berdepan juara baru Piala Sultan Ahmad Shah 2012, Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada aksi sulung Liga Super, malam ini.
Read More

Peluang Brendan pikat Raja



HASRAT penyokong Harimau Malaya untuk melihat Brendan Gan menyarung jersi skuad kebangsaan mungkin tercapai andai dinilai kenyataan terbaru pemain berusia 24 tahun itu.

Read More

Muka belakang edisi sulung Berita Harian Edisi Sabah

"DALAM Akademi Fantasia (AF), peserta Sabah sering dapat nombor satu atau nombor dua. Pertandingan nasyid pun Sabah selalu nombor satu. Malah Kejohanan Bola Sepak Wanita Kebangsaan 2011 pun Sabah muncul juara."

"Jadi kalau semua pertandingan itu orang Sabah boleh capai kejayaan, mengapa tidak perkara sama dilakukan skuad Liga Super Sabah musim ini."

Demikian cabaran dilontarkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) pada majlis perjumpaan bersama para pemain di Kota Kinabalu, petang semalam.
Read More

Harimau Muda sedia pertahan mahkota Sukan SEA


KUMPULAN maut menunggu skuad bola sepak B-23 negara dalam misi mempertahankan pingat emas Sukan SEA 2011 di Jakarta, bulan depan apabila diundi bersama tuan rumah Indonesia, Thailand, Singapura dan Kemboha dalam Kumpulan A dalam satu majlis undian di Jakarta, semalam.

Read More

'Debaran 90 minit'

BAGI Terengganu dan Negeri Sembilan 'Debaran 90 minit' tetap menakutkan dan tidak mahu situasi selesa dinikmati mereka ketika ini diragut lawan masing-masing menjelang saingan separuh akhir kedua, Sabtu ini.

Read More

Maniam genggam bara api sampai jadi arang

ANDAI berpandukan statistik, Selangor sudah boleh melupakan Misi 33 serta hasrat beraksi di pentas final Piala Malaysia, 29 Oktober ini selepas tewas 0-2 kepada Terengganu pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam, kelmarin.

Read More

Separuh akhir pertama Piala Malaysia: Selangor 0 Terengganu 2


SEMANGAT membara Abdul Manaf Mamat untuk mendedikasikan trofi Piala Malaysia buat arwah bapanya yang meninggal dunia, Khamis lalu membawa Terengganu kini sebelah kaki ke final apabila dua jaringannya membenam Selangor 2-0 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Bagi Selangor, biarpun diiringi sokongan padu 30,000 penyokong sendiri, ketiadaan kapten, Amri Yahyah yang cedera begitu dirasai apabila sentuhan penyudah mereka tumpul dan kini berdepan kesukaran merealisasikan 'Misi 33' apabila bertandang ke Kuala Terengganu, Sabtu ini.

Gol pertama Terengganu hadir seawal minit pertama menerusi Manaf yang menguis cantik lambungan Ashari Samsudin untuk memperdayakan penjaga gol Selangor, G Jeevananthan.

Tersentak dengan jaringan itu, Selangor mula mengasak tetapi sentuhan Safiq Rahim tidak menjadi apabila dua sepakan percumanya pada minit ke-13 dan 16 sekadar melambung tinggi.

Sebaliknya Terengganu terus selesa dengan gol kedua pada minit ke-32 apabila Manaf sekali lagi bertindak bijak dengan melepaskan rembatan kencang dari luar kotak penalti selepas memperdayakan beberapa pemain Selangor.

Jurulatih Selangor, P Maniam segera membuat pertukaran drastik dengan membawa masuk Rudie Ramli pada minit ke-36, menggantikan Hardi Jaafar yang tampak kurang berkesan.

Lima minit babak kedua bersambung, Fadzli Saari pula dibawa masuk menggantikan Azidan Sarudin, namun serangan bertali arus Selangor ke kubu Terengganu yang dikawal Sharbinee Allawee Ramli terus buntu.

Ternyata taktikal disiplin yang diterapkan jurulatih Terengganu, Irfan Bakti berjaya menyekat Selangor daripada mendapatkan sebarang gol sehingga wisel penamat, sekali gus memberikan skuad Penyu dua gol yang cukup berharga di tempat lawan.

SELANGOR: G Jeevananthan, Razman Roslan, Nasriq Baharom, Asraruddin Putra Omar, P Gunalan (c), Amirulhadi Zainal, Bunyamin Umar, Hardi Jaafar (Rudie Ramli), Fitri Shazwan Raduwan ( D Surendran), Safiq Rahim, Azidan Sarudin (Fadzli Saari).

TERENGGANU: Sharbinee Allawee Ramli, Mazlizam Mohamad, Marzuki Yusof (c), Faizal Mohamad, Zubir Azmi, Joseph Kalang Tie, Ahmad Nordin Alias, Reeshafiq Alwi, Ashari Samsudin, Abdul Hadi Yahaya (Ismail Faruqi Ashari), Abdul Manaf Mamat.

Pengadil: Shokri Nor
Read More

'Selangor tempang tanpa sentuhan Amri'


SELANGOR berdepan Terengganu pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam ini tanpa kelibat kapten, Amri Yahyah yang mengalami kecederaan ligamen kolateral medial (MCL) pada lutut kanan.

Namun jurulatih Selangor, P Maniam tidak mahu ia dianggap kekurangan kerana yakin kehadiran puluhan ribu penyokong setia Merah Kuning mampu menyemarakkan lagi semangat pemain Selangor yang lain.

"Memang ketiadaan Amri dirasai kerana dia seorang pemain yang berkualiti dan penjaring utama. Rudie Ramli atau Azidan Sarudin akan isi tempat Amri. Jika saya tolak Azidan ke atas, tempatnya akan diisi Hardi Jaafar.

"Tapi apabila beraksi di tempat sendiri, dengan kehadiran sultan, menteri besar dan puluhan ribu penyokong, saya yakin ia akan membuatkan pemain lebih bersemangat, positif dan beraksi lebih baik.

"Saya sedar Terengganu pasukan mantap. Ia pasti bukan perlawanan mudah. Apa pun, sasaran kami adalah menang sekurang-kurangnya 1-0 untuk aksi pertama ini," kata Maniam ketika ditemui selepas sesi latihan di Padang SUK, Shah Alam, petang semalam.

Dalam pada itu, Amri masih mengharapkan ‘keajaiban’ mampu pulih segera bagi membantu rakan-rakan sepasukan merealisasikan ‘Misi 33’.

"Keputusan ujian MRI akan diperolehi esok (hari ini). Harap kecederaan MCL ini tidak serius kerana jiwa saya begitu bersemangat untuk kembali pada aksi kedua, Sabtu ini," kata Amri.
Read More

Skuad B-23 ke Piala VFF tanpa 10 tonggak


SKUAD B-23 negara berlepas ke Hanoi, Vietnam, hari ini untuk menyertai kejohanan jemputan Piala VFF 2011 dari Rabu hingga Ahad ini tanpa kelibat 10 tonggak utama dalam senarai 20 pemain diumumkan jurulatihnya, Ong Kim Swee, semalam.

Mereka ialah Mahali Jasuli, Wan Zaharulnizam Zakaria, Ahmad Hazwan Bakri, A Thamil Arasu, Ahmad Fakri Saarani, Zubir Azmi, Asraruddin Putra Omar, Fadhli Shas, Irfan Fazail dan Wan Zack Haikal Wan Nor.

"Mahali dan Zaharul cedera pangkal paha dan hamstring ketika beraksi menentang Nepal semalam (kelmarin) manakala Hazwan dan Thamil cedera hamstring dan buku lali minggu lalu.

"Fakri, Zubir dan Asra hanya akan bersama kita selepas selesai tugasan Piala Malaysia. Fadhli, Irfan dan Wan Zack pula akan pulang dari Slovakia, 24 Oktober ini.

"Tanpa 10 pemain utama, tiada sasaran dibuat untuk Piala VFF selain menguji pemain baru, strategi baru dan meningkatkan keserasian pemain," kata Kim Swee ketika dihubungi, semalam.

Tiga aksi di Hanoi itu menentang skuad B-23 Uzbekistan pada Rabu ini, Myanmar B-23, Jumaat dan Vietnam B-23, Ahad adalah ujian terakhir sebelum beraksi di Sukan SEA 2011 di Jakarta bermula 3 November ini dalam misi memperta hankan pingat emas.

SENARAI 20 PEMAIN KE PIALA VFF:

PENJAGA GOL: Khairul Fahmi Che Mat, Izham Tarmizi Roslan, Zamer Selamat.

PERTAHANAN: Muslim Ahmad, Amer Saidin, Syazwan Tajuddin, Fandi Othman, Nazirul Naim Che Hashim, K Reuben.

TENGAH: K Gurusamy, Gary Steven Robbat, Shukor Jusoh, Nazmi Faiz Mansor, See Kok Luen, Syahrul Azwari Ibrahim, Yong Kuong Yong.

PENYERANG: Baddrol Bakhtiar, Izzaq Faris Ramlan, D Saarvindran, Ferris Danial Mat Nasir.
Read More

Sultan Selangor tiup semangat jaya ‘Misi 33’

SKUAD Selangor mendapat motivasi terbaik menjelang pertemuan separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang Terengganu di Stadium Shah Alam, malam esok apabila bakal diiringi sokongan padu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, ia diharap mampu menyemarakkan semangat pemain Selangor serta menggamit kehadiran penyokong setia Red Giants bagi merealisasikan ‘Misi 33’.

“Tuanku Sultan bersetuju menyaksikan perlawanan. Begitu juga Tan Sri (Khalid) yang juga Presiden FAS turut mengesahkan kehadiran.

“Kehadiran dua individu penting ini menunjukkan betapa penting untuk Selangor merealisasikan sasaran menjuarai Piala Malaysia buat kali ke-33 musim ini,” kata Hamidin ketika dihubungi, semalam.

Bagi memastikan kehadiran ramai penyokong Selangor malam esok, Hamidin turut memberitahu, harga tiket untuk aksi separuh akhir pertama itu tidak akan dinaikkan, sebaliknya kekal RM15 dewasa dan RM5 kanak-kanak.

“Biarpun sudah memasuki saingan separuh akhir, FAS berpendapat adalah penting untuk kami mengekalkan harga ini. Tiket-tiket akan dijual di kaunter stadium bermula 9 pagi Selasa (esok) sehingga perlawanan bermula,” jelas Hamidin.

Dalam pada itu, jurulatih Selangor, P Maniam masih meletakkan peluang 50-50 untuk kaptennya, Amri Yahyah turun beraksi malam esok selepas mengalami kecederaan lutut di Ipoh, Jumaat lalu.

“Bergantung kepada keadaan Amri dalam tempoh sehari dua ini. Apapun, pemain lain boleh beraksi termasuk Bunyamin Umar yang tamat penggantungan satu perlawanan,” kata Maniam.
Read More

Safee hampiri impian besar


"SAYA beritahu supaya berikhtiar dan berusaha bersungguh-sungguh supaya dapat mencapai cita-citanya sewaktu kecil iaitu menjadi pemain bola sepak terkenal di England. Dia pernah kata mahu jadi seperti David Beckham."

Demikian didedahkan Mohd Sali Mian, bapa kepada penyerang bola sepak kebangsaan, Mohd Safee Sali.

Read More

Selangor harus buru mata penuh


HANYA jika Selangor dapat menewaskan Kuala Lumpur pada aksi ketiga Kumpulan D, Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam esok, baru jurulatihnya, K Devan menganggap juara 32 kali itu sudah kembali ke landasan sebenar.

"Kami belum lagi pada prestasi terbaik. Ini baru kemenangan pertama. Memang serangan kita masih lemah. Separuh masa pertama kita dapat enam peluang, tiada gol dan pada babak kedua kita dapat 10 peluang dan jaringkan dua gol.

"Apa pun saya puas hati dengan komitmen pemain. Cuma secara keseluruhan, banyak lagi yang boleh diperbaiki," kata Devan ketika ditemui selepas Selangor menewaskan Polis 2-0 di Stadium Shah Alam, malam kelmarin hasil dua jaringan Fadzli Saari pada minit ke-46 dan 59.

Selangor kini di tangga kedua Kumpulan D dengan berkongsi tiga mata bersama T-Team manakala Kuala Lumpur unggul di tangga teratas dengan enam mata dan Polis pula tercorot tanpa sebarang mata.

Devan kembali meletakkan Fadzli sebagai penyerang bersama Rudie Ramli manakala Amri Yahyah turun mengemudi jentera tengah bersama Hardi Jaafar. Kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim pula hanya dimasukkan pada babak kedua.

Ditanya tentang Amri yang masih belum menemui sentuhan gol, Devan berkata: "Selepas ketiadaan Safee Sali, kita harap Amri dapat mengulangi sentuhan gol sepanjang musim 2009. Tapi dia kini kemarau gol dan harap dia dapat kembali menemui sentuhan penyudah."
Read More

Di peta dunia


SAFEE Sali akan ke Cardiff City awal pagi esok - sekali gus membuka lebaran baru buat pemain bola sepak negara untuk meneroka semula saingan di pentas tertinggi.

Read More

Piala Malaysia: Kelantan kukuh kedudukan


KELANTAN, Terengganu dan Selangor - terus mengukuhkan kedudukan dalam kumpulan masing-masing apabila aksi Piala Malaysia bersambung malam tadi tetapi pasukan pilihan, Kedah tersembam di tangan Sabah di Stadium Likas.

Dalam saingan Kumpulan A, Sabah dan Perak berkongsi tangga teratas dengan jumlah mata dan jaringan sama selepas masing-masing merakam kemenangan 2-1 ke atas Kedah dan Johor malam tadi.

Di Stadium Likas, Sabah mengubati kekecewaan seri tanpa jaringan pada perlawanan pertama menentang Perak Selasa lalu dengan menundukkan Kedah 2-1, hasil jaringan Zainizam Marjan (m-27) dan pemain gantian, K Thanaraj (m-77) tatkala Azmi Muslim merapatkan kedudukan buat Kedah empat minit sebelum tamat.

Di Stadium Perak, tuan rumah yang turun tanpa lima tonggak digantung, membuka jaringan menerusi Failee Ghazali pada minit ke-29 diikuti sepakan penalti Shafiq Jamal (m-73) sebelum Azuwad Arip merapatkan jurang untuk Johor tiga minit sebelum tamat permainan.

Kumpulan B menyaksikan Negeri Sembilan mengukuhkan cengkaman apabila menjadikan Sime Darby FC sebagai belasahan dengan kemenangan besar 5-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.

Hairuddin Omar meletakkan skuad bimbingan Mohd Azraai Khor Abdullah di depan menerusi jaringan pada minit ke-33 selepas memanfaatkan bola muntah daripada tangkapan penjaga gol Sime Darby, Soffuan Tawil, sebelum Shahurain Abu Samah meledak gol kedua tiga minit kemudian.

Shukor Adan menambah derita Sime Darby dengan gol ketiga hasil sepakan bebas 20 meter pada minit ke-64 sebelum Hairuddin (m-72) dan Mohd Firdaus (m-79) melengkap pesta gol tuan rumah.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu yang mendahului seawal minit pertama menerusi Ashaari Samsudin, dipaksa bekerja keras juara Liga Perdana, PKNS yang dua kali menyamakan kedudukan sebelum Manaf Mamat mengesahkan kemenangan menerusi sepakan penalti pada minit ke-79.

PKNS yang dikejutkan dengan gol awal Ashaari dan hanya memerlukan lapan minit untuk mengikat kedudukan menerusi Fauzan Dzulkifli, sambil Zamri Hassan (m-62) memadam jaringan kedua Reeshafiq Alwi (m-54).

Saingan Kumpulan C menyaksikan FELDA United merampas tangga teratas selepas menang tipis 1-0 ke atas Sarawak di Stadium MBPJ Kelana Jaya, manakala Kelantan menundukkan Johor FC 2-1.

Skuad kendalian E Elavarasan merakam kemenangan kedua selepas menundukkan Johor FC 2-0 Selasa lalu, dan kali ini Nizam Abu Bakar menjadi wira apabila meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-68.

Di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kelantan memerlukan jaringan Ramzul Zahini Adnan, dua minit sebelum tamat untuk memastikan kemenangan 2-1 selepas Johor FC membuat kejutan menerusi gol Eddy Helmi Manan pada minit ke-11.

Shakir Shaari mengikat kedudukan sebelum Ramzul memberikan tiga mata buat juara bertahan itu pada minit ke-88.

Dalam saingan Kumpulan D, juara 32 kali, Selangor kembali menemui sentuhan apabila menewaskan Polis 2-0 di Stadium Shah Alam.

Tindakan penyerang Fadzli Saari menukar but sebaik babak kedua membawa tuah apabila menolak masuk lorongan Amirulhadi Zainal pada minit ke-46 untuk gol pertama tuan rumah sebelum meledak gol kedua pada minit ke-59 hasil hantaran Safiq Rahim yang baru seminit masuk menggantikan Fitri Shazwan Raduwan.

Di Stadium MP Selayang, Kuala Lumpur terus selesa di tangga teratas Kumpulan D apabila merakam kemenangan kedua dengan Yong Kuong Yong muncul wira meledak dua gol (m-26, 47) ketika menewaskan T-Team 2-1.
Read More

Pelita Jaya beri lampu hijau


PENYERANG kebangsaan, Mohd Safee Sali mendapat pelepasan daripada majikannya, Pelita Jaya FC semalam untuk menjalani ujian pemilihan dua minggu bersama kelab Liga Kejuaraan Inggeris, Cardiff City, bermula Isnin ini.

Ia pasti melonjak semangat pemain kelahiran Kajang berusia 27 tahun itu untuk berusaha mempamerkan aksi terbaik sepanjang tempoh ujian sehingga 27 September ini.

"Pengurus Pelita Jaya, Lalu Mara Satria Wangsa memberi lampu hijau kepada saya. Jadi saya akan pulang ke Kuala Lumpur pagi Ahad (esok) dan terus berlepas ke Cardiff awal pagi Isnin.

"Biarpun memberi pelepasan dan tidak berkata apa-apa, gaya percakapan Lalu Mara seolah-olah dia takut kehilangan saya. Apa pun, jurulatih (Misha Radovic) banyak beri sokongan dan nasihat untuk saya mencuba," kata Safee ketika dihubungi di Jakarta, semalam.

Namun timbul sedikit kebimbangan berhubung tahap kecergasan Safee kerana dia baru pulih daripada kecederaan berulang pada bahagian otot belakang lututnya.

"Saya sangat berharap kecederaan ini tidak menghalang saya untuk beraksi cemerlang di sana. Dengan doa semua peminat, saya harap dapat mengatasi semua cabaran di sana.

"Memang rasa tidak sabar menjalani ujian di Cardiff. Saya akan ikut segala arahan kelab itu dan berusaha memikat mereka dengan cara permainan saya. Harap semuanya berjalan lancar," kata bekas penyerang Selangor itu.

Dalam pada itu, Lalu Mara mendoakan kejayaan Safee dengan berkata: Kami berharap ia akan memberi kebaikan kepada Safee, Pelita Jaya dan seluruh peminatnya, sama ada di Malaysia atau Indonesia.
Read More

FAM pinda jadual suku akhir Piala Malaysia


DEMI memberi ruang buat skuad kebangsaan menentang Australia pada aksi persahabatan antarabangsa di Sydney 7 Oktober depan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam bersetuju meminda jadual suku akhir pertama dan kedua serta separuh akhir pertama saingan Piala Malaysia musim ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, jadual baru suku akhir pertama ialah pada 10 Oktober, suku akhir kedua (14 Oktober), separuh akhir pertama (18 Oktober).

Saingan separuh akhir kedua yang ditetapkan 22 Oktober dan final pada 29 Oktober kekal tidak berubah.

"Jadual diubah bagi membolehkan pemain kebangsaan ke Sydney dari 4 hingga 8 Oktober, sekali gus tidak menjejaskan pasukan negeri masing-masing untuk saingan suku akhir tetapi bagi pemain pemain skuad Skuad SEA yang terpilih ke kejohanan jemputan B-23 Piala VFF (Persekutuan Bola Sepak Vietnam) di Hanoi yang turut disertai Vietnam, Thailand dan Kemboja (17-24 Oktober), mereka tidak dapat beraksi untuk separuh akhir pertama dan kedua Piala Malaysia.

"Bagi suku akhir pertama dan kedua, pemain skuad Sukan SEA hanya diberi pelepasan dua hari sebelum perlawanan terbabit," kata Hamidin selepas mesyuarat tiga jam di Wisma FAM, Kelana Jaya, petang semalam.

Antara pemain yang bakal terlepas kedua-dua aksi separuh akhir Piala Malaysia andai negeri mereka layak ialah Khairul Fahmi Che Mat, Izuan Salahuddin (Kelantan), Faizal Abu Bakar, Baddrol Bakhtiar (Kedah), Asraruddin Putra Omar, Bunyamin Umar (Selangor), Zubir Azmi (Terengganu), Ahmad Hazwan Bakri (Kuala Lumpur), Ahmad Fakri Saarani (Negeri Sembilan) dan Azrif Nasrulhaq Badrul (PKNS).

Hamidin turut menegaskan mana-mana pasukan yang tidak dapat menyelesaikan tunggakan hutang pada tarikh akhir pendaftaran pasukan 31 Oktober depan, tidak akan dibenar menyertai saingan Liga Malaysia 2012.

Aksi pembuka tirai musim 2012, Piala Sumbangsih dijadual 7 Januari di antara juara Liga Super, Kelantan bertemu juara Piala Malaysia, disusuli aksi sulung Liga Super pada 10 Januari dan Liga Perdana pada 13 Januari manakala final Piala FA dijangka 21 April manakala final Piala Malaysia pada 3 November.
Read More

'Panggilan Cardiff'


PELUANG kini terbuka luas buat penyerang sensasi negara, Mohd Safee Mohd Sali mengembangkan kerjaya ke pentas bola sepak Eropah apabila secara rasmi ditawarkan menjalani ujian percubaan bersama kelab Liga Kejuaraan England, Cardiff City, 12 hingga 27 September ini.

Selain itu, penyerang sensasi berusia 27 tahun turut dikhabarkan mendapat tawaran ujian percubaan bersama kelab Liga Perdana Inggeris, Queens Park Rangers (QPR) serta lima kelab dari Jerman, tetapi tiada tawaran rasmi diterima setakat ini.

"Semalam (kelmarin) saya mengadakan perbincangan dengan pemilik Cardiff City (Datuk Chan Tien Ghee) dan alhamdulillah mereka bersetuju untuk menjemput Safee hadir latihan ujian selama dua minggu di sana bermula Isnin ini. "Safee akan menjalani latihan bersama pasukan utama Cardiff City di bawah pengawasan pengurus pasukan, Malky Mackay.

"Jika berjaya, Safee berpeluang beraksi terus dengan Cardiff City secara pinjaman dan tak perlu menunggu pintu perpindahan Januari depan," kata pengurus peribadi Safee, Zakaria Rahim ketika dihubungi, semalam.

Namun segalanya bergantung kepada pelepasan majikan Safee ketika ini, Pelita Jaya yang kini dalam persiapan menghadapi menghadapi saingan musim baru Liga Super Indonesia (ISL) bermula 8 Oktober ini.

Safee yang nyata teruja dengan tawaran ujian berkenaan berkata: "Sejak kecil saya sentiasa mengimpikan untuk beraksi di England. Kini saya mendapat peluang menjalani ujian. Ia umpama peluang sekali seumur hidup dan saya akan cuba membuktikan kemampuan diri."

Dua minggu lalu, kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim terlebih dahulu mendapat tawaran ujian percubaan bersama Cardiff City.
Read More

Match report pertamaku di Berita Harian, hari ini


JUARA Piala FA dan naib juara Liga Super, Terengganu memulakan kempen Piala Malaysia dengan garang apabila mudah membenam Sime Darby 3-0 pada aksi Kumpulan B di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.

Terengganu tampil dengan lima pemain kebangsaan - Sharbinee Allawee Ramli, Helmi Remeli, Joseph Kalang Tie, Ashari Samsudin dan Abdul Hadi Yahaya manakala ketiadaan bek kiri skuad Olimpik negara, Zubir Azmi ditampung Ronny Harun.

Hanya lima minit diperlukan Terengganu untuk memperoleh gol pertama menerusi tandukan Joseph Kalang selepas dia pantas menyambung umpanan Reeshafiq Alwi hasil sepakan sudut Ashari.

Sime Darby sesekali mencuba tetapi ketumpulan sentuhan penyudah Faizal Esahar dan Mohd Faiz Isa memudahkan tugas Sharbinee mempertahankan gawang Terengganu.

Pada minit ke-32, Terengganu menambah gol kedua selepas rembatan kencang kaki kanan Reeshafiq dari luar kotak penalti berjaya melepasi jangkauan penjaga gol Sime Darby, Soffuan Tawil.

Bersambung babak kedua, Terengganu terus menampilkan penguasaan penuh tetapi Ashari, Hadi dan Abdul Manaf Mamat banyak mempersiakan peluang depan pintu gol Sime Darby.

Manaf akhirnya berjaya meledak gol ketiga Terengganu selepas menyudahkan lorongan cantik pemain gantian, Ailim Fahmi Kamaruddin pada minit ke-84.

Sementara itu, pada satu lagi aksi Kumpulan B malam tadi, naib juara musim lalu, Negeri Sembilan berjaya menewaskan juara Liga Perdana, PKNS 2-1 di Stadium Petaling Jaya, Kelana Jaya.






Read More