FAM pinda jadual suku akhir Piala Malaysia


DEMI memberi ruang buat skuad kebangsaan menentang Australia pada aksi persahabatan antarabangsa di Sydney 7 Oktober depan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam bersetuju meminda jadual suku akhir pertama dan kedua serta separuh akhir pertama saingan Piala Malaysia musim ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, jadual baru suku akhir pertama ialah pada 10 Oktober, suku akhir kedua (14 Oktober), separuh akhir pertama (18 Oktober).

Saingan separuh akhir kedua yang ditetapkan 22 Oktober dan final pada 29 Oktober kekal tidak berubah.

"Jadual diubah bagi membolehkan pemain kebangsaan ke Sydney dari 4 hingga 8 Oktober, sekali gus tidak menjejaskan pasukan negeri masing-masing untuk saingan suku akhir tetapi bagi pemain pemain skuad Skuad SEA yang terpilih ke kejohanan jemputan B-23 Piala VFF (Persekutuan Bola Sepak Vietnam) di Hanoi yang turut disertai Vietnam, Thailand dan Kemboja (17-24 Oktober), mereka tidak dapat beraksi untuk separuh akhir pertama dan kedua Piala Malaysia.

"Bagi suku akhir pertama dan kedua, pemain skuad Sukan SEA hanya diberi pelepasan dua hari sebelum perlawanan terbabit," kata Hamidin selepas mesyuarat tiga jam di Wisma FAM, Kelana Jaya, petang semalam.

Antara pemain yang bakal terlepas kedua-dua aksi separuh akhir Piala Malaysia andai negeri mereka layak ialah Khairul Fahmi Che Mat, Izuan Salahuddin (Kelantan), Faizal Abu Bakar, Baddrol Bakhtiar (Kedah), Asraruddin Putra Omar, Bunyamin Umar (Selangor), Zubir Azmi (Terengganu), Ahmad Hazwan Bakri (Kuala Lumpur), Ahmad Fakri Saarani (Negeri Sembilan) dan Azrif Nasrulhaq Badrul (PKNS).

Hamidin turut menegaskan mana-mana pasukan yang tidak dapat menyelesaikan tunggakan hutang pada tarikh akhir pendaftaran pasukan 31 Oktober depan, tidak akan dibenar menyertai saingan Liga Malaysia 2012.

Aksi pembuka tirai musim 2012, Piala Sumbangsih dijadual 7 Januari di antara juara Liga Super, Kelantan bertemu juara Piala Malaysia, disusuli aksi sulung Liga Super pada 10 Januari dan Liga Perdana pada 13 Januari manakala final Piala FA dijangka 21 April manakala final Piala Malaysia pada 3 November.
Read More

'Panggilan Cardiff'


PELUANG kini terbuka luas buat penyerang sensasi negara, Mohd Safee Mohd Sali mengembangkan kerjaya ke pentas bola sepak Eropah apabila secara rasmi ditawarkan menjalani ujian percubaan bersama kelab Liga Kejuaraan England, Cardiff City, 12 hingga 27 September ini.

Selain itu, penyerang sensasi berusia 27 tahun turut dikhabarkan mendapat tawaran ujian percubaan bersama kelab Liga Perdana Inggeris, Queens Park Rangers (QPR) serta lima kelab dari Jerman, tetapi tiada tawaran rasmi diterima setakat ini.

"Semalam (kelmarin) saya mengadakan perbincangan dengan pemilik Cardiff City (Datuk Chan Tien Ghee) dan alhamdulillah mereka bersetuju untuk menjemput Safee hadir latihan ujian selama dua minggu di sana bermula Isnin ini. "Safee akan menjalani latihan bersama pasukan utama Cardiff City di bawah pengawasan pengurus pasukan, Malky Mackay.

"Jika berjaya, Safee berpeluang beraksi terus dengan Cardiff City secara pinjaman dan tak perlu menunggu pintu perpindahan Januari depan," kata pengurus peribadi Safee, Zakaria Rahim ketika dihubungi, semalam.

Namun segalanya bergantung kepada pelepasan majikan Safee ketika ini, Pelita Jaya yang kini dalam persiapan menghadapi menghadapi saingan musim baru Liga Super Indonesia (ISL) bermula 8 Oktober ini.

Safee yang nyata teruja dengan tawaran ujian berkenaan berkata: "Sejak kecil saya sentiasa mengimpikan untuk beraksi di England. Kini saya mendapat peluang menjalani ujian. Ia umpama peluang sekali seumur hidup dan saya akan cuba membuktikan kemampuan diri."

Dua minggu lalu, kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim terlebih dahulu mendapat tawaran ujian percubaan bersama Cardiff City.
Read More

Match report pertamaku di Berita Harian, hari ini


JUARA Piala FA dan naib juara Liga Super, Terengganu memulakan kempen Piala Malaysia dengan garang apabila mudah membenam Sime Darby 3-0 pada aksi Kumpulan B di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.

Terengganu tampil dengan lima pemain kebangsaan - Sharbinee Allawee Ramli, Helmi Remeli, Joseph Kalang Tie, Ashari Samsudin dan Abdul Hadi Yahaya manakala ketiadaan bek kiri skuad Olimpik negara, Zubir Azmi ditampung Ronny Harun.

Hanya lima minit diperlukan Terengganu untuk memperoleh gol pertama menerusi tandukan Joseph Kalang selepas dia pantas menyambung umpanan Reeshafiq Alwi hasil sepakan sudut Ashari.

Sime Darby sesekali mencuba tetapi ketumpulan sentuhan penyudah Faizal Esahar dan Mohd Faiz Isa memudahkan tugas Sharbinee mempertahankan gawang Terengganu.

Pada minit ke-32, Terengganu menambah gol kedua selepas rembatan kencang kaki kanan Reeshafiq dari luar kotak penalti berjaya melepasi jangkauan penjaga gol Sime Darby, Soffuan Tawil.

Bersambung babak kedua, Terengganu terus menampilkan penguasaan penuh tetapi Ashari, Hadi dan Abdul Manaf Mamat banyak mempersiakan peluang depan pintu gol Sime Darby.

Manaf akhirnya berjaya meledak gol ketiga Terengganu selepas menyudahkan lorongan cantik pemain gantian, Ailim Fahmi Kamaruddin pada minit ke-84.

Sementara itu, pada satu lagi aksi Kumpulan B malam tadi, naib juara musim lalu, Negeri Sembilan berjaya menewaskan juara Liga Perdana, PKNS 2-1 di Stadium Petaling Jaya, Kelana Jaya.






Read More

Artikel pertamaku di Berita Harian, hari ini



DETIK ditunggu sudah tiba dan hari ini, 16 pasukan akan turun ke gelanggang untuk memburu satu trofi yang dilabel antara tertua di Asia iaitu Piala Malaysia.


Pada firasat jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal dia melihat empat pasukan - Kelantan, Selangor, Terengganu dan Kedah - memiliki segala ramuan mengejar pengiktirafan itu tapi tidak menolak kemungkinan skuad kerdil mampu membuat kejutan dalam kejohanan yang sentiasa memiliki unsur tradisi dan klasik.


"Bagi saya, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Kedah tetap menjadi pilihan dan mereka cuma kena jaga prestasi dan mempamerkan persembahan baik. Tapi Piala Malaysia sentiasa dengan kejutan dan mana-mana pasukan perlu terima hakikat jika tersingkir awal kerana ini saingan kalah mati.


"Negeri Sembilan juga saya fikir tak harus dipandang rendah. Dua musim berturut mereka beraksi di pentas final. Untuk pasukan dari Liga Perdana saya tak boleh komen banyak. Hanya boleh mengatakan mereka mampu memberi rintangan," kata Rajagobal ketika dihubungi, semalam.


Keempat-empat pasukan yang dinilai Rajagobal itu akan beraksi di gelanggang lawan dan perwatakan mereka bakal diuji, malam ini sama ada menepati ciri-ciri selaku juara dalam pembikinan, musim ini.


Rajagobal turut menjangkakan saingan Piala Malaysia kali ini lebih meriah dibantu dengan keghairahan peminat yang kembali teruja dengan kebangkitan skuad kebangsaan dan skuad Olimpik serta masih ‘panas’ dengan kehadiran tiga kelab Liga Perdana Inggeris, Arsenal, Liverpool dan Chelsea Julai lalu.


Read More

Selamat Hari Raya Aidilfitri & Selamat Tinggal Kosmo!


SELAMAT Hari Raya Aidilfitri kepada semua pembaca blog ini. Segala salah dan silap harap dimaafkan sempena hari yang mulia ini.

Semalam, 29 Ogos 2011 merupakan hari terakhir saya bertugas sebagai wartawan akhbar Kosmo! dan hari ini, 30 Ogos 2011 tersiar artikel terakhir tulisan saya di akhbar Kosmo!.

Sila klik link di bawah ini.. Laporan Khas dua muka surat tentang perkembangan skuad Olimpik negara kendalian Ong Kim Swee.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0830&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0830&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm

Turut tersiar dalam akhbar Kosmo! hari ini, kisah penjelasan penjaga gol utama skuad kebangsaan yang juga kapten skuad Olimpik, Khairul Fahmi Che Mat atau Apek tentang perihal luar padangnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0830&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_05.htm

Semoga tiga artikel terakhir ini kekal dalam ingatan semua sebagai penampilan terakhir saya di akhbar Kosmo! selepas 5 tahun 6 bulan berkhidmat di akhbar kompak yang hari ini genap berusia 7 tahun.

Sampai di sini saja khidmat saya sebagai wartawan di akhbar Kosmo! yang bermula sejak 16 Februari 2006.

Saya akan bercuti selama seminggu sebelum memulakan tugas sebagai wartawan sukan di sebuah akhbar lain pada 5 September 2011. Tunggu.....

Sekian, Maaf Zahir dan Batin dan Selamat Hari Kebangsaan Ke-54.

WAN MOHD FAKHRUL ANWAR BIN WAN BAKAR
1 Syawal 1432 H bersamaan Selasa, 30 Ogos 2011
12.30 tengah hari @ Bandar Baru Bangi.


Read More

Pilihan Malaysia 0 Chelsea 1


SKUAD Pilihan Malaysia sekadar tewas 0-1 kepada Chelsea pada aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi yang disaksikan 84,980 penonton.

Itupun jaringan tunggal tersebut menerusi gol kontroversi Didier Drogba pada minit ke-78.

Sepakan percuma Drogba melencong terkena tiang gol sebelum melantun belakang badan penjaga gol gantian Pilihan Malaysia, Izham Tarmizi Roslan dan bola ditangkap di atas garisan gol.

Namun penjaga garisan, Basith Abd. Hamid mengangkat benderanya tanda jaringan disahkan sekali gus mendorong pengadil perlawanan, Subkhiddin Mohd. Salleh membenarkan gol tersebut.

Ulang tayang video jelas menunjukkan bola belum melepasi garisan gol.

Terdahulu, Ong Kim Swee yang diberi tugas mengendalikan skuad Pilihan Malaysia meletakkan sembilan pemain senior dalam kesebelasan utamanya dibantu dua pemain skuad Olimpik, Zubir Azmi dan Wan Zack Haikal Wan Nor.

Pengurus Chelsea, Andre Villas-Boas pula mempertaruhkan beberapa pemain bintang antaranya Frank Lampard, Fernando Torres, Florent Malouda, Salomon Kalou dan Yossi Benayoun pada aksi babak pertama.

Namun beberapa peluang terhidang gagal disudahkan dengan baik pemain-pemain Chelsea sambil penjaga gol Pilihan Malaysia, Farizal Marlias turut beraksi cemerlang menyelamatkan gawangnya.

Kim Swee melakukan dua pertukaran pada babak pertama memasukkan Fandi Othman menggantikan Daudsu Jamaluddin untuk posisi bek kanan pada minit ke-33 dan memasukkan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria menggantikan Wan Zack Haikal Wan Nor yang cedera di posisi sayap kanan pada minit ke-38.

Chelsea pula hanya melakukan satu pertukaran iaitu memasukkan Patrick Van Aanholt menggantikan Ryan Bertrand pada minit ke-37.

Bersambung babak kedua, Chelsea memasukkan sekali gus 11 pemain baru termasuk John Terry, Ashley Cole, John Obi Mikel, Nicolas Anelka dan Didier Drogba manakala tiada pertukaran buat Pilihan Malaysia.

Hanya bermula minit ke-52, Kim Swee melakukan beberapa pertukaran berturut dengan memasukkan pemain-pemain skuad Olimpik iaitu Gary Steven Robbat, Irfan Fazail, Syahrul Azwari Ibrahim dan A. Thamil Arasu bagi memberi kesegaran.

Pada minit ke-67, Syahrul Azwari melakukan larian deras ke dalam kotak penalti selepas menerima lorongan Irfan tetapi rembatannya sedikit tinggi melepasi gawang Chelsea.

Farizal pula membuktikan dirinya masih layak untuk bergelar penjaga gol kebangsaan apabila menyelamatkan lagi beberapa percubaan berbahaya Chelsea pada babak kedua.

Namun Kim Swee membuat tindakan berani dengan mengeluarkan Farizal, 25, pada minit ke-71 bagi memberi pengalaman kepada penjaga gol skuad Olimpik negara, Izham Tarmizi, 20.

Hanya enam minit gawang Izham Tarmizi berjaya dipertahankan sebelum Drogba menjaringkan gol kemenangan Chelsea pada minit ke-78 biarpun pada hakikatnya bola belum melepasi garisan gol.

Pada minit ke-84, Pilihan Malaysia berpeluang menyamakan kedudukan tetapi percubaan Thamil Arasu yang hanya berdepan Ross Turnbull selepas menerima lorongan cantik Irfan sekadar sipi ke sebelah kiri pintu gol Chelsea.

Daripada 21 pemain Pilihan Malaysia, hanya pemain pertahanan tengah, S. Subramaniam beraksi sepenuh masa dengan pemain Kelantan itu tampil dengan aksi cukup tenang dan kemas.

Barisan 12 pemain skuad Olimpik itu bersama-sama 11 lagi pemain yang tidak disenaraikan malam tadi akan berlepas ke Slovakia pada awal pagi Sabtu ini untuk siri latihan dan perlawanan persahabatan selama sebulan sebagai persiapan menghadapi pusingan akhir Kelayakan Olimpik Zon Asia yang akan bermula 21 September depan.

PILIHAN MALAYSIA: Farizal Marlias (Izham Tarmizi Roslan 71) Daudsu Jamaluddin (Fandi Othman 33), Norhafiz Zamani Misbah (c) (Amer Saidin 77), S. Subramaniam, Zubir Azmi (Affize Faisal Mamat 88), Wan Zack Haikal Wan Nor (Wan Zaharulnizam Wan Zakaria 38), Shahrulnizam Mustapa (Shukor Jusoh 82), Badhri Radzi (Gary Steven Robbat 52), Joseph Kalang Tie (Syahrul Azwari Ibrahim 57), Amri Yahyah (A. Thamil Arasu 64), Hairuddin Omar (Irfan Fazail 52).

CHELSEA: Henrique Hilario (Ross Turnbull 45), Jose Bosingwa (Paulo Ferreira 45), Branislav Ivanovic (John Terry 45), Slobodan Rajkovic (Nathaniel Chalobah 45), Ryan Bertrand (Patrick Van Aanholt 37) (Ashley Cole 45), Yossi Benayoun (Daniel Sturridge 45), Joshua McEachran (Billy Clifford 45), Frank Lampard (c) (John Obi Mikel 45), Salomon Kalou (Yury Zhirkov 45), Florent Malouda (Nicolas Anelka 45), Fernando Torres (Didier Drogba 45).

Pengadil: Subkhiddin Mohd Salleh.





Read More

Ismail Faruqi jadi senjata sulit


PEMAIN tengah Terengganu, Ismail Faruqi Ashari tersenarai dalam skuad 24 pemain terakhir yang dibawa Datuk K. Rajagobal ke Singapura semalam.

Biarpun baru dipanggil sehari selepas skuad kebangsaan tewas 0-4 kepada Arsenal pada 13 Julai lalu, Ismail, 25, pantas memikat hati Rajagobal menerusi aksi meyakinkan ketika menentang Liverpool, Sabtu lalu.

Pada perlawanan yang menyaksikan skuad kebangsaan tewas 3-6 itu, Ismail dimasukkan pada minit ke-62 menggantikan Safiq Rahim dan dilihat berjaya melakukan beberapa gerakan menarik meskipun hanya bertubuh kecil.

"Saya dipanggil pertama kali pada Mei lalu untuk perlawanan menentang Hong Kong (3 Jun lalu). Biarpun dibawa ke Hong Kong, saya tidak diturunkan.

"Jadi apabila diberi peluang masuk pada babak kedua ketika bertemu Liverpool, saya bertekad menggunakan sepenuhnya peluang itu untuk menarik perhatian jurulatih.

"Memang sudah lama saya nak sarung jersi kebangsaan dan apabila peluang diberi, saya cuba untuk memanfaatkannya sebaik mungkin," kata Ismail ketika ditemui pada sesi latihan terakhir di Wisma FAM, Kelana Jaya petang kelmarin.

Skuad negara berlepas ke Singapura pagi semalam tanpa Norshahrul Idlan Talaha, S. Chanthuru, Farisham Ismail dan Shahrizal Saad.

Ismail hanya dipanggil untuk bersama skuad Pilihan Malaysia kendalian Ong Kim Swee bagi menghadapi Chelsea malam tadi tetapi aksi cemerlangnya ketika bertemu Liverpool telah mengubah segalanya.

Bekas pemain T-Team musim lalu itu kini sedang mengintai peluang untuk diturunkan pada aksi pertama pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Singapura di Stadium Jalan Besar malam esok.

"Keyakinan dan semangat saya semakin memuncak selepas beraksi menentang Liverpool. Jika diberi peluang beraksi menentang Singapura, saya akan gunakannya sebaik mungkin untuk mempamerkan aksi terbaik.

"Sudah tentu saya mahu membantu pasukan mencatat kemenangan pada aksi pertama di tempat lawan untuk mencari bekalan selesa," jelas Ismail yang perlu bersaing posisi tengah dengan Safiq, Amar Rohidan, K. Gurusamy dan Shakir Shaari.
Read More

Farizal kawal benteng terakhir Pilihan Malaysia


TUGAS mengawal benteng terakhir skuad Pilihan Malaysia berdepan Chelsea di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini pasti digalas bekas penjaga gol kebangsaan, Farizal Marlias.

Penjaga gol berusia 25 tahun yang berasal dari Pahang itu merupakan dua penjaga gol yang disenaraikan jurulatih Pilihan Malaysia, Ong Kim Swee selain penjaga gol simpanan skuad Olimpik, Izham Tarmizi Roslan, 20.

Dua lagi penjaga gol Harimau Muda A iaitu Zamir Selamat dan K. Sasikumar tidak berada dalam senarai 21 pemain pilihan Kim Swee untuk aksi malam ini.

Farizal yang beraksi untuk Negeri Sembilan musim ini berkata, dia akan berusaha untuk mengembalikan sentuhan cemerlangnya ketika beraksi 180 minit menentang Manchester United pada 2009.

"Memang saya harap dapat mempamerkan persembahan terbaik bagi menghalang dan menangkis serangan pasukan lawan.

"Sebagai persiapan awal, saya sudah mengkaji corak permainan Chelsea terutama barisan serangan mereka.

"Bagi saya, Didier Drogba, Fernando Torres, Nicolas Anelka dan Florent Malouda perlu diberi lebih perhatian," katanya kepada Kosmo! selepas sesi latihan petang semalam.

Biarpun tewas 2-3 dan 0-2 kepada United pada 2009 itu, Farizal telah beraksi cemerlang pada sepenuh masa kedua-dua perlawanan.

"Insyaallah saya akan cuba ulangi persembahan baik ketika bertemu United. Harap persembahan saya kali ini menjadi.

"Saya memang mahu kembali ke skuad kebangsaan. Tapi prestasi penjaga gol sedia ada (Sharbinee Allawee Ramli, Khairul Fahmi Che Mat dan Nasril Nourdin) cukup konsisten.

"Jadi saya perlu berusaha keras dan menjadikan perlawanan menentang Chelsea ini sebagai batu loncatan," jelas Farizal.

Farizal mula diketepikan setelah mengalami kecederaan patah tulang pipi ketika sesi latihan skuad kebangsaan - lima hari menjelang aksi persahabatan menentang Korea Selatan pada 25 Julai 2010.

SKUAD 21 PEMAIN PILIHAN MALAYSIA BERTEMU CHELSEA: Farizal Marlias, Izham Tarmizi Roslan, Daudsu Jamaluddin, Affize Faisal Mamat, Norhafiz Zamani Misbah, S. Subramaniam, Amer Saidin, Zubir Azmi, Fandi Othman, Wan Zack Haikal Wan Nor, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Badhri Radzi, Shahrulnizam Mustapa, Gary Steven Robbat, Shukor Jusoh, Joseph Kalang Tie, Irfan Fazail, Hairuddin Omar, Amri Yahyah, A. Thamil Arasu, Syahrul Azwari Ibrahim.
Read More

Norshahrul tak ke Singapura


PENYERANG Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha terpaksa digugurkan daripada senarai akhir 24 pemain yang akan terbang ke Singapura pada pagi ini.

Tiga lagi pemain yang turut tidak tersenarai ialah penyerang Johor FC, Shahrizal Saad serta dua lagi pemain Kelantan, S. Chanthuru dan Farisham Ismail.

Menurut jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal, Norshahrul diketepikan akibat kecederaan hamstring berulang dialaminya ketika bertemu Arsenal minggu lalu masih belum pulih.

"Tiga lagi pemain, saya tak mahu guna istilah digugurkan. Cuma saya hanya boleh senaraikan 23 pemain bagi perlawanan menentang Singapura pada Sabtu ini.

"Selepas pulang dari Singapura nanti, saya masih perlukan pemain-pemain ini dan bakal melakukan beberapa pertukaran.

"Saya bawa 24 pemain ke Singapura sebagai langkah berjaga-jaga.

"Ini kerana Aidil Zafuan Radzak dan Amar Rohidan masih perlu dinilai tahap kecederaan mereka dalam sehari dua ini," kata Rajagobal ketika ditemui selepas sesi latihan terakhir di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.

Setibanya di Singapura tengah hari ini, skuad kebangsaan mempunyai dua hari untuk menjalani latihan di sana sebelum aksi pertama pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Singapura di Stadium Jalan Besar pada Sabtu ini.

Ditanya tentang pasukan lawan itu, Rajagobal berkata: "Kita sudah tahu posisi dan cara permainan mereka. Tak banyak berbeza seperti sebelum ini. Tapi pasukan tuan rumah selalunya akan beraksi agresif."

SKUAD 24 PEMAIN KE SINGAPURA: Sharbinee Allawee Ramli, Khairul Fahmi Che Mat, Nasril Nourdin, Mahali Jasuli, Helmi Remeli, Muslim Ahmad, Fadhli Shas, Aidil Zafuan Radzak, Rizal Fahmi Rosid, Asraruddin Putra Omar, Azmi Muslim, Amirulhadi Zainal, Baddrol Bakhtiar, Safiq Rahim, Amar Rohidan, Shakir Shaari, Ismail Faruqi Ashari, K. Gurusamy, S. Kunanlan, Ashari Samsudin, Ahmad Fakri Saarani, Abdul Hadi Yahaya, Izzaq Faris Ramlan dan Safee Sali.
Read More

Singapura ampuh sebab 'import'


SINGAPURA hanya mencatat kemenangan tipis 3-2 ke atas Taiwan pada aksi per- sahabatan di Stadium Jalan Besar, Singapura malam kelmarin.

Ia persiapan terakhir skuad kendalian Ra- dojko Avramovic itu menjelang aksi pertama pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Malaysia di gelanggang sama, Sabtu ini.

Apa yang jelas, Singapura masih bergan- tung harap kepada penyerang 'import' vete- ran berusia 41 tahun, Aleksandar Duric dari Bosnia sebagai peledak utama mereka.

Pada aksi persahabatan pertama menentang Maldives pada 7 Jun lalu, Singapura menang 4-0 menerusi satu jaringan Duric dan Shi Jiayi serta dua ledakan Qiu Li.

Kemudian pada 30 Jun lalu, Singapura menang tipis 2-1 ke atas kelab Perancis, Etoile FC 2-1 juga hasil jaringan Diruc dan Qiu Li.

Pada aksi menentang Taiwan malam kelmarin, Duric terus menjadi harapan apabila meledak dua gol buat Singapura, manakala satu lagi gol disumbang Fazrul Nawaz.

Seperti Duric, Qiu Li dan Jiayi juga pemain 'import' yang berasal dari China selain Daniel Bennett (England) dan Mustafic Fahrudin (Serbia).

Biarpun sekadar menang tipis, Avramovic tetap berpuas hati dengan keputusan tersebut dan juga persembahan anak-anak buahnya.

"Masih terdapat beberapa aspek yang perlu kami tingkatkan, tetapi terdapat bebe- rapa aspek positif dapat dilihat. Kami berjaya cipta banyak peluang dan melakukan hantaran dengan baik.

"Saya tetap puas hati dengan persemba- han pasukan dan perlawanan ini memberi ruang kepada pemain memperbaiki kesilapan sebelum bertemu Malaysia," kata Avramovic pada sidang media selepas perla- wanan.

Taiwan merupakan pasukan yang berjaya disingkirkan skuad kebangsaan bimbingan Datuk K. Rajagobal pada pusingan pertama, manakala Singapura pula mendapat bye.

Namun jurulatih baru Taiwan, Tee Tae Ho seakan-akan cuba memperlekehkan kemampuan skuad Harimau Malaya dengan berkata: "Singapura lebih stabil dan matang, manakala Malaysia agak kurang stabil dan tidak matang."
Read More

Kombinasi 4 kapten


BEKAS kapten skuad kebangsaan, Norhafiz Zamani Misbah bakal menge- tuai barisan skuad Pilihan Malaysia bagi menghadapi Chelsea pada aksi persa- habatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok.

Namun Zamani, 30, tidak menanggung beban itu keseorangan kerana turut akan 'disokong' tiga lagi kapten berpengalaman iaitu Amri Yahyah (Selangor), Badhri Radzi (Kelantan) dan Shahrulnizam Mustapa (Perak).

Gabungan empat kapten terbabit pasti memberikan satu persembahan mantap apabila mereka diperkuatkan dengan lima lagi pemain senior iaitu Hairuddin Omar, Daudsu Jamaluddin, S. Subramaniam, Joseph Kalang Tie dan penjaga gol, Farizal Marlias.

Seandainya usia mungkin membatas- kan pergerakan dan kelajuan sembilan senior ini, mereka akan ditampung keghairahan baki 13 pemain muda berusia 22 tahun ke bawah yang merupakan tonggak skuad Olimpik negara, Harimau Muda A.

Bagi Amri, 30, beraksi bersama pemain-pemain muda sedikit sebanyak telah menjadikan para pemain senior terpaksa mengikut 'rentak' dan kepantasan mereka, sekali gus bakal menjadikan corak permainan skuad Pilihan Malaysia lebih menarik.

"Kami akan ikut corak permainan yang diterapkan jurulatih Ong Kim Swee. Saya sendiri akan cuba memberi- kan komitmen tinggi berdasarkan pengalaman yang dimiliki.

"Bagi kami kapten-kapten skuad negeri ini, gabungan untuk perlawanan menentang Chelsea ini merupakan satu pengalaman yang cukup bermakna untuk kami memberikan satu persemba- han terbaik.

"Ini pertama kali saya bergandingan dengan Hairuddin di barisan serangan. Saya harap dapat membantunya menjaringkan gol dan saya sendiri juga akan cuba menggegarkan gawang Chelsea," kata Amri ketika ditemui pada sesi latihan di Padang MSN, Bukit Jalil pe- tang semalam.

Nama Amri pasti dikenang sebagai penjaring dua gol skuad kebangsaan ketika tewas tipis 2-3 kepada Manches- ter United di Stadium Nasional pada 2009.

Berbeza pula dengan Badhri, 29, yang lebih dikenali sebagai Piya, ini merupakan aksi sulungnya di pentas antara- bangsa biarpun pada hakikatnya jersi Malaysia berwarna kuning hitam yang bakal disarungnya malam esok bukanlah untuk skuad kebangsaan, sebaliknya Pilihan Malaysia.

"Rasa bangga dipanggil menyertai pa- sukan ini. Ini pertama kali saya menyarung jersi Malaysia sepanjang 29 tahun. Saya akan cuba mempamerkan aksi terbaik, jika ada rezeki mana tahu dapat memikat jurulatih kebangsaan (Datuk K. Rajagobal).

"Apa pun saya akan menggunakan peluang bertemu Chelsea ini dengan sebaik mungkin. Ia satu gabungan skuad yang cukup mantap dengan bebe- rapa kapten dan pemain senior dibantu pemain-pemain muda.

"Sepanjang seminggu ini, saya sudah mula menunjukkan keserasian dengan Shahrulnizam untuk mengemudi jentera tengah. Walaupun gandingan kami tidak berapa mantap lagi tetapi serba sedikit kami dapat memahami permainan masing-masing.

"Secara peribadi pula, insya-Allah kalau boleh, saya hendak menjaringkan satu gol," ujar Badhri.
Read More

Hairuddin diberi kepercayaan


PENYERANG Negeri Sembilan, Hairuddin Omar bakal diberi kepercayaan mengetuai jentera serangan skuad Pilihan Malaysia yang akan menentang kelab Liga Perdana England, Chelsea di Stadium Nasional, Bukit Jalil Khamis ini.

Biarpun menjadi pemain paling veteran dalam skuad gabungan pemain skuad Olimpik negara dan 'bintang' senior Liga Super itu, sumbangan Hairuddin masih ditagih untuk menembusi gawang Chelsea yang dikawal Petr Cech, Ross Turnbull atau Henrique Hilario.

Dari segi usia, Hairuddin kini sudah mencecah 32 tahun, hanya dua tahun lebih muda daripada pengurus Chelsea, Andre Villas- Boas.

Namun pemain kelahiran Setiu, Terengganu itu mempunyai sejarah unik apabila muncul satu-satu- nya pemain Malaysia yang pernah menembusi gawang Chelsea ketika skuad negara tewas 1-4 pada 2003.

Menurut jurulatih skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee yang diberi tugas mengendalikan skuad Pilihan Malaysia itu, khidmat Hairuddin akan digunakan untuk merobek kubu Chelsea pada aksi Khamis ini.

"Bagi posisi serangan, saya akan meletakkan sama ada Hairuddin atau dua lagi penyerang skuad Olimpik negara iaitu A. Thamil Arasu dan Syahrul Azwari Ibra- him.

"Selain sembilan pemain senior yang sedang menjalani latihan bersama kami ketika ini, saya mungkin akan menyenaraikan pemain skuad kebangsaan yang tidak terpilih dalam senarai 23 pemain terakhir untuk menentang Singapura.

"Daripada senarai pelatih yang ada ketika ini, saya hanya akan menyenaraikan 20 atau 21 pemain saja untuk perlawanan menentang Chelsea ini," katanya ketika ditemui selepas sidang media di Hotel One World, Bandar Utama, Damansara petang semalam.

Selain Hairuddin, lapan pemain senior lain yang turut disenaraikan dalam skuad kendalian Kim Swee itu adalah Norhafiz Zamani Misbah, Amri Yahyah, Badhri Radzi, Daudsu Jamaluddin, S. Subramaniam, Shahrulnizam Mustapa, Joseph Kalang Tie serta penjaga gol, Farizal Marlias.

Mereka bakal digabung bersama beberapa lagi tonggak utama skuad Olimpik negara seperti Irfan Fazail, Gary Steven Robbat, Wan Zack Haikal Wan Nor, Fandi Othman dan Zubir Azmi.

"Saya akan memberi peluang kepada semua pemain beraksi. Bagi pemain skuad Olimpik, ini peluang buat mereka menimba pengalaman selepas berhempas pulas layak ke pusingan akhir Kela- yakan Zon Asia.

"Bagi pemain senior pula, saya berharap mereka dapat mempamerkan persembahan terbaik kerana terdapat dua atau tiga pemain yang saya rasa masih layak diserapkan ke skuad kebangsaan," jelas Kim Swee.

Dalam pada itu, Kim Swee turut memberitahu bahawa para pemain skuad Olimpik negara akan berlepas ke Slovakia, Sabtu ini.
Read More

9 senior taruhan Pilihan Malaysia


JURULATIH skuad Pilihan Malaysia, Ong Kim Swee mempertaruhkan sembilan pemain senior untuk menghadapi Chelsea pada aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Khamis ini.

Pilihan Malaysia merupakan gabungan pemain-pemain skuad Olimpik negara serta beberapa pemain senior yang tidak terpilih menyarung jersi skuad kebangsaan kendalian Datuk K. Rajagobal menghadapi Singapura pada Sabtu ini.

Sembilan pemain senior itu ialah Norhafiz Zamani Misbah, 30, Amri Yahyah, 30, Hairuddin Omar, 32, Badhri Radzi, 29, Daudsu Jamaluddin, 26, S. Subramaniam, 26, Shahrulnizam Mustapa, 30, Joseph Kalang Tie, 24, dan penjaga gol, Farizal Marlias, 25.

Mereka bakal digabung bersama pemain-pemain berusia bawah 22 tahun yang menjadi tonggak skuad Olimpik negara seperti Irfan Fazail, Gary Steven Robbat, Wan Zack Haikal Wan Nor, Fandi Othman dan Zubir Azmi.

Menurut Kim Swee, 41, kesemua tonggak senior tersebut telah menunjukkan sikap yang positif sepanjang seminggu sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya bermula Isnin lalu.

"Kesemua pemain senior ini nampak sudah mula membentuk keserasian dengan pemain-pemain muda sedia ada dalam skuad Olimpik ini.

"Bertemu Chelsea ini merupakan satu perlawanan bagi pemain-pemain merasai pengalaman menentang bintang-bintang dunia.

"Mungkin bagi pemain-pemain senior ini, ia merupakan pentas untuk membuktikan bahawa mereka masih layak dipanggil menyarung jersi skuad kebangsaan," kata Kim Swee kepada Kosmo! semalam.

Skuad Pilihan Malaysia itu memulakan sesi latihan di Padang Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil petang semalam setelah mendaftar masuk di hotel penginapan pasukan, Palace Of The Golden Horses di Seri Kembangan.

Kim Swee turut mengingatkan para pemainnya supaya tetap mengambil serius perlawanan menentang Chelsea itu bagi menjaga maruah dan nama Malaysia.

"Kita dapat lihat pada dua aksi skuad kebangsaan menentang Arsenal dan Liverpool, gol yang dilepaskan cukup mudah. Jadi para pemain perlu berhati-hati mengelak daripada melakukan kesilapan mudah," ujarnya.

Kim Swee turut menamakan Norhafiz Zamani sebagai kapten skuad Pilihan Malaysia bagi menghadapi Chelsea yang tiba di Kuala Lumpur pada tengah hari ini.
Read More

Malaysia 3 Liverpool 6


SKUAD bola sepak kebangsaan tewas 3-6 kepada Liverpool pada aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil petang semalam.

Begitupun, aksi melawan anak-anak buah Datuk K. Rajagobal itu wajar dipuji apabila mereka tampil lebih agresif berbanding ketika tewas 0-4 kepada Arsenal pada Rabu lalu.

Keenam-enam gol Liverpool dijaringkan oleh Charlie Adam, David Ngog (2), Maxi Rodriguez (2) dan Dirk Kuyt.

Manakala skuad kebangsaan membalas tiga gol menerusi kapten, Safiq Rahim dan dua jaringan penyerang sensasi, Safee Sali.

Rajagobal melakukan empat perubahan pada kesebelasan utamanya dengan menyenaraikan Sharbinee Allawee Ramli, Muslim Ahmad, Baddrol Bakhtiar dan Abdul Hadi Yahaya.

Liverpool pula yang dikemudikan oleh penolong pengurusnya, Steve Clarke selepas Kenny Dalglish terpaksa pulang awal ke England, membuat enam perubahan berbanding kesebelasan ketika menewaskan Guangdong Sunray Cave 4-3.

Kedudukan babak pertama terikat 1-1 setelah sepakan penalti Adam pada minit ke-25 berpunca Andy Carroll dijatuhkan Asraruddin Putra Omar berjaya dipadam oleh sepakan percuma cantik Safiq yang menewaskan Brad Jones minit ke-42.

Skuad kebangsaan bermula baik pada babak kedua tetapi kelalaian benteng pertahanan membenarkan Ngog mudah meledak dua gol pada minit ke-67 dan ke-68 menewaskan penjaga gol gantian, Khairul Fahmi Che Mat.

Ketinggalan 1-3, Rajagobal memasukkan Safee pada minit ke-69 dan percaturan itu ternyata berhasil apabila penyerang Pelita Jaya itu berjaya meledak dua gol.

Terdahulu Liverpool berjaya menambah gol keempat menerusi sentuhan Rodriguez pada minit ke-74.

Bagaimanapun semangat para pemain negara kembali melonjak apabila Safee menjaringkan gol kedua pada minit ke-78.

Ia berpunca daripada kegagalan penjaga gol gantian Liverpool, Martin Hansen menangkap kemas bola rembatan Amirulhadi Zainal.

Tiga minit kemudian, Safee merapatkan kedudukan 3-4 apabila pantas menyudahkan hantaran leret Rizal Fahmi Ab. Rosid untuk menewaskan Hansen buat kali kedua.

Namun harapan untuk melihat Harimau Malaya bangkit menyamakan kedudukan tidak kesampaian apabila kelekaan barisan pertahanan sekali lagi dihukum pada masa kecederaan.

Rodriguez menjaringkan gol kelima Liverpool pada minit ke-90, manakala Dirk Kuyt melengkapkan gol keenam minit ke-93.

MALAYSIA: Sharbinee Allawee Ramli (Khairul Fahmi Che Mat 45), Mahali Jasuli (Helmi Remeli 45), Fadhli Shas (Rizal Fahmi Ab. Rosid 68), Muslim Ahmad (Farisham Ismail 71), Asraruddin Putra Omar (Azmi Muslim 45), Baddrol Bakhtiar (S. Chanthuru 45) (Amirulhadi Zainal 76), Amar Rohidan (K. Gurusamy 40) (Shakir Shaari 76), Safiq Rahim (c) (Ismail Faruqi Ashari 62), S. Kunanlan (Ashari Samsudin 45), Ahmad Fakri Saarani (Shahrizal Saad 62), Abdul Hadi Yahaya (Izzaq Faris Ramlan 38) (Safee Sali 68).

LIVERPOOL: Brad Jones (Peter Gulacsi 45) (Martin Hansen 69), Jonathon Flanagan (Martin Kelly 45), Daniel Agger (Sotirios Kyrgiakos 45), Jamie Carragher (c) (Dany Wilson 45), Jack Robinson (Emiliano Insua 45), Raul Meireles (Dirk Kuyt 45), Jay Spearing (Christian Poulsen 45), Conor Coady (Jonjo Shelvey 45), Charlie Adam (Alberto Aqualini 45), Joe Cole (Maxi Rodriguez 45), Andy Carroll (David Ngog 45).

Pengadil: Nagor Amir Noor Mohamed
Read More

Harimau Malaya tagih sokongan peminat hadapi Liverpool


NADA kecewa disuarakan jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Datuk K. Rajagobal menjelang aksi persahabatan menentang Liverpool di Stadium Nasional, Bukit Jalil petang ini.

Bukan kerana pengurus Liverpool, Kenny Dalglish sudah pulang awal ke England tetapi Rajagobal jelas berasa kecewa dengan sikap peminat yang hadir ketika Harimau Malaya tewas 0-4 kepada Arsenal, Rabu lalu.

"Saya tak faham apa yang mereka (peminat) mahu. Saya fikirkan mereka sudah cukup bijak. Mereka tak boleh samakan skuad kebangsaan dengan kelab Liga Perdana England.

"Kita amat memerlukan sokongan peminat pada saat genting menghadapi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Singapura.

"Sebagai rakyat Malaysia dan menetap di Malaysia, bukan saya nak kata kita tak boleh sokong kelab Liga Perdana England.

"Tetapi kenapa tak boleh sehari sahaja datang ke stadium pakai jersi Malaysia? Saya harap esok (hari ini) ramai yang datang dengan jersi Malaysia, terutamanya warna biru," kata Rajagobal ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Nasional petang semalam.

Pada aksi bertemu Arsenal Rabu lalu, majoriti stadium dipenuhi peminat yang hadir dengan jersi merah dan tambah mengecewakan Rajagobal, anak-anak buahnya diejek setiap kali melakukan kesilapan.

"Bila Arsenal terlepas peluang, mereka tidak diejek tetapi bila kita buat silap, kena ejek. Mereka tak boleh nak banding pemain kita dengan pemain lawan. Arsenal pun mampu tewaskan pasu- kan sehebat Barcelona.

"Jadi saya sangat berharap warga Malaysia yang hadir ke stadium esok (hari ini) memberi sokongan padu kepada skuad negara sendiri," tegas Rajagobal.

Selepas sesi latihan petang semalam, Rajagobal mengesahkan dua pemainnya, Aidil Zafuan Radzak dan Norshahrul Idlan Talaha tidak dapat diturunkan akibat kecederaan buku lali dan hamstring.

"Saya sudah panggil dua pengganti iaitu Ismail Faruqi Ashari dan Izzaq Faris Ramlan semalam (kelmarin) dan akan mencuba mereka. Jika memuaskan, mereka mungkin diselit untuk skuad ke Singapura," ujarnya.
Read More

Pavilion KL seperti di Anfield


PUSAT beli-belah terkemuka, Pavilion yang terletak di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur petang semalam seolah-olah bertukar menjadi Anfield, stadium kelab bola sepak terkemuka England, Liverpool.

Ini kerana, kira-kira 3,000 peminat setia Liverpool memenuhi ruang legar serta koridor kelima-lima tingkat pusat beli-belah berkenaan bagi menyambut kehadiran pemain-pemain skuad The Reds itu.

Akhirnya sorakan gemuruh bergema sebaik enam pemain Liverpool iaitu Andy Carroll, Christian Poulsen, Raul Meireles, Jamie Carragher, Sotiros Kyrgiakos dan John Flanagan melalui pintu masuk Pavilion KL yang dihiasi replika Shankly Gates.

Mereka seterusnya dibawa ke pentas utama untuk melancarkan kad debit Standard Chartered Liverpool FC dan meluangkan sedikit masa berinteraksi bersama para peminat.

Terdahulu, Carroll, Poulsen, Meireles, Carragher dan Kyrgiakos turut singgah ke ruang lobi Menara Standard Chartered yang terletak bersebelahan dengan Pavilion KL untuk beramah mesra dengan kakitangan bank berkenaan serta kira-kira 200 peminat The Reds.

Standard Chartered merupakan penaja utama Liverpool bermula musim lalu.

Pada majlis tersebut, Carroll, 22, yang beraksi di posisi serangan meluahkan rasa terujanya selepas melihat kehadiran ribuan penyokong The Reds pada sesi latihan pasukan itu di Stadium Nasional, Bukit Jalil petang kelmarin.

"Satu suasana menakjubkan pada sesi latihan tersebut. Saya berasa terharu kerana ramai yang sanggup datang dari jauh untuk melihat kami berlatih di sini.

"Saya menjangkakan satu suasana yang meriah serta perlawanan yang menarik esok (hari ini)," kata Carroll yang memiliki ketinggian 191 sentimeter.

Sementara itu, pemain tengah, Poulsen, 31, berharap kehadiran penyokong ke stadium pada perlawanan petang ini semeriah suasana di Pavilion KL semalam.

"Kami sudah bersiap sedia untuk turun beraksi esok (hari ini). Kami menang 4-3 di Guangzhou pada Rabu lalu dan harap dapat mencatat satu lagi kemenangan di sini," ujar Poulsen.
Read More

Harimau Malaya dituntut pamer taring sebenar


SETELAH melihat anak-anak buahnya gagal mempamerkan aksi sebenar ketika tewas 0-4 kepada Arsenal malam kelmarin, jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal mengharapkan 'sesuatu' ketika menentang Liverpool petang esok.

Bagi Rajagobal, beliau mahu para pemainnya bangkit mempamerkan kemampuan sebenar sebelum memilih mereka yang benar-benar layak untuk beraksi menentang Singapura pada 23 dan 28 Julai ini.

"Memang ada beberapa pemain yang tidak beraksi pada prestasi sebenar. Saya tidak mahu dedahkan nama mereka tetapi dalam mesyuarat pasukan, saya telah beritahu pemain-pemain terbabit.

"Saya akan terus mencuba para pemain ketika berdepan Liverpool ini. Saya mahu lihat siapa yang benar-benar memiliki karakter. Kita kena main dengan tempo yang laju. Jangan ulangi kesilapan ketika bertemu Arsenal.

"Kita bolos pun bukan menerusi jaringan bertaraf dunia tetapi kita sendiri yang beri gol kepada lawan," kata Rajagobal ketika ditemui Kosmo! pada sesi latihan di Stadium Nasional, Bukit Jalil petang semalam.

Beliau mengesahkan dua pemainnya, Aidil Zafuan Radzak dan Norshahrul Idlan Talaha tidak akan beraksi esok, sekali gus tempat mereka akan digantikan oleh dua pemain baharu, Ismail Faruqi (Terengganu) dan Izzaq Faris Ramlan (Harimau Muda A).

"Aidil mengalami kecederaan buku lali, manakala Norshahrul kembali mengalami kesakitan hamstring dan saya tidak mahu kecederaannya kembali teruk kerana aksi bertemu Singapura lebih penting.

"Tetapi apabila perlawanan menentang Liverpool ini berlangsung pada 5.45 petang, ia sedikit kelebihan buat kita. Cuma kita perlu mendapat rentak dengan cepat pada awal permainan," jelasnya.

Dalam pada itu, Rajagobal turut menegaskan bahawa skuad Harimau Malaya akan kembali memakai jersi biru petang esok setelah ternyata jersi kuning berterusan tidak membawa tuah.

"Lawan Indonesia, Taiwan dan Arsenal kita tewas dengan jersi kuning. Kita pun tak pernah menang dengan jersi kuning dan kamu boleh lihat bagaimana pemain kita tak bertenaga semalam (kelmarin).

"Tetapi ini bukan satu kepercayaan. Ia lebih kepada psikologi. Rio Ferdinand (pemain Manchester United) akan melompat di terowong masuk padang setiap kali beraksi. Pemain lain pun ada cara mereka.

"Begitu juga dengan saya. Apabila kita pakai jersi biru, lihatlah kita beraksi begitu yakin dan garang sehingga menjuarai Sukan SEA 2009 dan Piala Suzuki AFF 2010," jelas Rajagobal.

Difahamkan, skuad kebangsaan terpaksa memakai jersi kuning malam kelmarin kerana Arsenal hanya membawa jersi kedua mereka berwarna biru untuk aksi tersebut.
Read More

Liverpool ikrar pukau peminat tempatan


SEJAK ditubuhkan pada 1892, skuad Liverpool akhirnya menjejakkan kaki di Malaysia semalam untuk aksi persahabatan menentang skuad kebangsaan di Stadium Nasional, Bukit Jalil petang esok.

Ia kunjungan pertama Liverpool selepas kelab itu tidak lagi menjadikan syarikat arak sebagai penaja utama. Ia kini ditaja Standard Chartered dan ini sekali gus menamatkan penantian panjang penyokong The Reds di negara ini.

Pengarah Urusan Liverpool, Ian Ayre berkata, beliau teruja melihat kehangatan sambutan penyokong Liverpool di China dan Malaysia pada kunjungan kali ini.

"Penyokong The Reds cukup ramai di sini dan kami akan cuba memberikan sesuatu yang terbaik pada perlawanan Sabtu ini (esok) bagi memastikan kunjungan kami diingati sampai bila-bila.

"Biarpun kami mengambil masa cukup lama untuk hadir ke Malaysia tetapi kami berharap dapat kembali semula ke sini pada siri jelajah akan datang," kata Ayre pada sidang media di Hotel One World, Bandar Utama, Damansara petang semalam.

Sementara itu, pengurus Liverpool, Kenny Dalglish pada sidang media yang sama turut memberi amaran bahawa tiada laluan mudah buat skuad kebangsaan pada aksi petang esok.

"Aksi pramusim ini merupakan peluang terbaik untuk pemain-pemain mencari semula tahap kecergasan. Buat masa ini, saya berpuas hati dengan siri jelajah ini.

"Cuma ketika bertemu Guangdong Sunray Cave, kita telah mendahului 4-1 tetapi membuat kesilapan mudah melepaskan dua gol pada lima minit terakhir.

"Saya mahu para pemain memperbaiki segera kesilapan dan gunakan sebaik mungkin siri jelajah ini sebagai persiapan menghadapi musim depan.

"Biarpun susah untuk meraih trofi kejuaraan tetapi kita akan berusaha memulakan saingan musim depan dengan langkah kanan," kata Dalglish.

Tidak sampai 24 jam menjejakkan kaki ke negara ini, anak-anak buah Dalglish telah menjalani latihan di Stadium Nasional, Bukit Jalil bermula 7 malam sebagai persediaan menentang skuad Harimau Malaya.

Penampilan kali pertama barisan The Reds ternyata telah memukau kira-kira 7,000 penonton yang hadir ke stadium semalam bagi menyaksikan sesi latihan pemain-pemain pujaan mereka itu.
Read More

Malaysia 0 Arsenal 4


SKUAD bola sepak kebangsaan gagal mencipta kejutan apabila tewas 0-4 kepada kelab Liga Perdana England, Arsenal pada aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.

Di hadapan 65,000 penonton yang majoritinya berjersi merah sambil dicelah-celah mereka terselit penyokong berjersi kuning, empat jaringan skuad The Gunners itu dijaringkan Aaron Ramsey, Theo Walcott, Carlos Vela dan Tomas Rosicky.

Tiada kelibat Robin van Persie, Samir Nasri, Bacary Sagna dan Andrei Arshavin dalam kesebelasan Arsenal, sebaliknya pengurus The Gunners, Arsene Wenger membariskan Ryo Miyaichi, Carl Jenkinson, Thomas Vermaelen dan Marouane Chamakh.

Jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal pula meletakkan penjaga gol ketiga, Nasril Nourdin dalam kesebelasan utama dan hanya memasukkan Khairul Fahmi Che Mat selepas rehat.

Menerusi serangan pertama ke arah pintu gol Malaysia pada minit keempat, Arsenal berjaya memperoleh sepakan penalti setelah Aidil Zafuan Radzak menjatuhkan Jack Wilshere.

Ramsey yang mengambil sepakan penalti itu mudah menewaskan Nasril untuk gol pertama Arsenal.

Malaysia hanya melakukan serangan sulung pada minit kelapan, tetapi hantaran lintang Asraruddin Putra Omar mudah ditanduk Alex Song ke arah penjaga golnya, Wojciech Szczesny.

Pada minit ke-24, stadium bergema seketika apabila sepakan percuma kapten Malaysia, Safiq Rahim dari sebelah kanan hampir memerangkap Szczesny yang terpaksa melompat untuk menepis bola ke belakang.

Namun kelekaan pertahanan Malaysia dihukum pada minit ke-36 apabila hantaran Wilshere berjaya disudahkan dengan lambungan kemas oleh Walcott untuk kedudukan 2-0.

Bermula babak kedua, Wenger melakukan lapan pertukaran sementara Rajagobal hanya memasukkan Khairul Fahmi dan Abdul Hadi Yahaya menggantikan Nasril dan Ahmad Fakri Saarani.

Kehebatan Arsenal ternyata sukar dibendung apabila mereka berjaya memperoleh gol ketiga hasil penyudah kemas penyerang gantian, Vela pada minit ke-58.

Pada minit ke-67, Wenger melakukan empat pertukaran serentak memasukkan Van Persie, Nasri, Sagna dan Arshavin.

Arsenal melengkapkan malam gemilang mereka dengan gol keempat menerusi Rosicky pada minit ke-90.

MALAYSIA: Nasril Nourdin (Khairul Fahmi Che Mat '45), Mahalli Jasuli (Helmi Remeli '61), Aidil Zafuan Radzak (Muslim Ahmad '42), Fadhli Shas (Farisham Ismail '74), Asraruddin Putra Omar (Azmi Muslim '58), Amirulhadi Zainal (Baddrol Bakhtiar '35) (Ashari Samsudin '74), Amar Rohidan (Shakir Shaari '68), Safiq Rahim (c) (K. Gurusamy '74), S. Kunanlan (S. Chanthuru '68), Ahmad Fakri Saarani (Abdul Hadi Yahaya '45), Norshahrul Idlan Talaha (Shahrizal Saad '63).

ARSENAL: Wojciech Szczesny (Vito Mannone '45), Carl Jenkinson (Bacary Sagna '67), Laurent Koscielny (Sebastien Squillaci '45), Thomas Vermaelen (c) (Johan Djourou '45), Kieran Gibbs (Armand Traore '45), Theo Walcott (Tomas Rosicky '45), Alex Song (Emmanuel Frimpong '45), Jack Wilshere (Denilson '45) (Robin van Persie '67), Ryo Miyaichi (Andrey Arshavin '67), Aaron Ramsey (Samir Nasri '67), Marouane Chamakh (Carlos Vela '45).

PENGADIL: Yusof Mat Karim (Malaysia)
Read More

Malaysia tidak gentar berdepan Arsenal malam ini


BERDEPAN bintang-bintang Arsenal bertaraf dunia bukan bermakna para pemain skuad bola sepak kebangsaan tidak berupaya untuk menandingi kehebatan mereka di atas padang.

Kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim melaungkan keyakinan untuk memastikan tentangan hebat diberi kepada kelab Liga Perdana England, Arsenal pada aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.

"Walaupun mereka (pemain Arsenal) semuanya berstatus bintang dunia tetapi itu tidak bermakna kita tak mampu menandingi mereka.

"Apa yang diharapkan esok (hari ini) ialah supaya kami dapat mencipta satu kejutan.

"Peluang ini bukan senang nak dapat. Tak semua pemain dapat peluang seperti ini dan harap rakan-rakan sepasukan memanfaatkannya," kata Safiq ketika ditemui selepas sesi latihan di Stadium Nasional petang semalam.

Safiq, 24, yang bakal mengemudi jentera tengah skuad kebangsaan sama ada bersama Amar Rohidan atau Shakir Shaari, kini berada pada prestasi terbaik.

Pada dua aksi terakhir bersama skuad kebangsaan iaitu bertemu Taiwan pada pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2014, Safiq telah menjaringkan satu gol pada aksi pertama di Bukit Jalil dan aksi kedua di Taipei.

"Saya berharap dapat belajar sesuatu apabila berdepan lawan kuat seperti Arsenal ini. Kami akan cuba yang terbaik dan kalau ada rezeki saya mahu menjaringkan gol," jelas pemain tengah Selangor itu.

Sementara itu, jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal terpaksa menyimpan suaranya untuk memberi arahan sepanjang 90 minit perlawanan malam ini setelah mengalami masalah sakit tekak semalam.

"Tak kisahlah (jika Arsenal memandang rendah). Yang penting saya mahu pemain beraksi dengan baik dan dari situ nanti barulah kita akan mendapat pengiktirafan daripada Arsene Wenger (pengurus Arsenal).

"Buat para penyokong yang akan ke stadium, harap semua rakyat Malaysia memberikan sokongan padu sambil hadir dengan memakai jersi Malaysia sama ada kuning atau biru," kata Rajagobal.
Read More

Liga-M 2012: Import kembali, format kekal


FORMAT Liga Malaysia (Liga M) 2012 kekal sebagaimana yang berlangsung musim ini. Ini bermakna 14 pasukan akan bersaing dalam kempen Liga Super, manakala 12 pasukan berentap pada saingan Liga Premier.

Namun pembaharuan yang bakal berlaku pada saingan Liga M musim depan apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membenarkan khidmat dua pemain import bagi setiap pasukan.

Perkara tersebut diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM yang dipengerusikan Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Menurut Tengku Abdullah, sebarang perubahan format Liga M hanya akan dibuat pada musim 2013 dan keputusan mengenainya bakal dimuktamadkan Disember depan iaitu sebelum sepak mula musim 2012.

"Jawatankuasa (Eksekutif FAM) telah memutuskan untuk kekal dengan format 14 pasukan (Liga Super).

"Menjelang Disember depan, kita akan tetapkan pula format bagi musim 2013 sama ada terus kekal 14 pasukan atau dikurangkan kepada 12 atau 10 pasukan.

"Kita perlu lihat dari semua aspek seperti infrastruktur dan kewangan setiap pasukan. Kalau boleh, kita nak banyak pasukan tetapi mereka ini perlu serius dalam pengendalian pasukan," kata Tengku Abdullah pada sidang media selepas mesyuarat itu.

Dengan pengekalan format tersebut, dua pasukan teratas Liga Premier musim ini, PKNS dan Sarawak akan beraksi pada Liga Super 2012, manakala dua pasukan tercorot Liga Super, Pahang dan Perlis bakal turun ke Liga Premier 2012.

Ia pasti sejarah buat Pahang yang akhirnya turun ke Liga Divisyen Dua buat pertama kali sejak 1989 setelah beberapa kali ‘diselamatkan’ oleh perubahan format oleh FAM dan penarikan diri pasukan lain.

Sementara itu, Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) menjelaskan bahawa pemain-pemain import yang kini beraksi di liga sekitar Asia Tenggara perlu beraksi dua musim di luar sebelum boleh menyertai Liga M.

"Syarat dua pemain import ini juga bukan wajib untuk setiap pasukan tetapi hanya kepada pasukan yang berkemampuan serta tidak mempunyai tunggakan gaji atau caruman KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja).

"Kriteria pemain import pula, pemain dari Asia Tenggara perlulah seorang pemain kebangsaan, pemain dari Asia perlulah yang beraksi dalam Liga Divisyen Satu, manakala pemain dari Eropah, Afrika atau Amerika Selatan perlulah yang beraksi sekurang-kurangnya di Liga Divisyen Dua," jelas Hamidin.

Kali terakhir khidmat pemain import dibenarkan dalam saingan Liga M ialah pada 2008 dan sepanjang tiga musim lalu iaitu 2009, 2010 dan 2011, Liga M berlangsung dengan seratus peratus pemain tempatan.

Hamidin turut memberitahu bahawa skuad Harimau Muda A sah menarik diri untuk saingan Piala Malaysia musim ini dan tempat mereka bakal digantikan sama ada Pahang atau Sime Darby yang akan bertemu pada aksi playoff, 19 dan 22 Julai ini.

"Undian Piala Malaysia akan diadakan pada 3 Ogos depan, manakala saingan akan bermula pada September iaitu selepas Hari Raya Aidilfitri," ujar Hamidin.
Read More

Pentas uji barisan Malaysia


BIARPUN mungkin dianggap bukan perlawanan penting bagi Arsenal, jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal tetap menagih aksi terbaik dan menghiburkan daripada anak-anak buahnya.

Arsenal yang baharu seminggu menjalani latihan pramusim di London tiba di ibu negara tengah hari semalam bagi program Jelajah Asia 2011 ke Malaysia dan China.

Tatkala skuad bimbingan Arsene Wenger itu mungkin belum mencapai momentum terbaik, Rajagobal mahu menjadikan pertemuan dengan Arsenal di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok sebagai pentas menilai para pemainnya.

Ia bagi membolehkan Rajagobal mendapat bayangan kesebelasan terbaik untuk diturunkan pada aksi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Singapura pada 23 dan 28 Julai ini.

"Saya cukup teruja dapat berdepan Arsenal. Begitu juga para pemain kebangsaan. Kita akan gunakan sebaik mungkin peluang ini untuk persiapan menghadapi Singapura.

"Saya harap para pemain tidak gentar berdepan Arsenal kerana inilah masa yang sesuai untuk saya menilai mana pemain yang layak untuk beraksi menentang Singapura.

"Sama seperti ketika kita bertemu Manchester United pada 2009, saya mahu pemain beraksi lebih baik daripada itu dan menghiburkan para penyokong," kata Rajagobal pada sidang media di Hotel Saujana, Subang petang semalam.

Pada Julai 2009, skuad kebangsaan yang ketika itu baru tiga bulan dibimbing Rajagobal tewas tipis 2-3 kepada United pada aksi pertama dan tewas 0-2 pada aksi kedua.

Kali terakhir Arsenal berkunjung ke Malaysia adalah pada 1999 yang mana mereka menewaskan skuad kebangsaan 2-0 hasil jaringan Nicolas Anelka dan Emmanueal Petit.

Rajagobal turut mengesahkan bahawa penyerang utama skuad kebangsaan, Safee Sali tidak akan beraksi malam esok kerana belum pulih sepenuhnya tetapi penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat sedia untuk diturunkan selepas pulih dari- pada kecederaan bahu.
Read More

Arsenal pandang rendah?


"SAYA tak pernah menonton (rakaman video aksi skuad kebangsaan Malaysia). Jadi ia akan menjadi satu pengalaman baru buat saya."

Demikian pengakuan jujur pengurus Arsenal, Arsene Wenger ketika diajukan soalan itu pada sidang media di Hotel Saujana, Subang petang semalam.

Malah dua pemain Arsenal, Robin van Persie dan Bacary Sagna yang dibawakan khas untuk ditemu bual media tempatan turut menyatakan mereka langsung tidak mengetahui latar belakang skuad kebangsaan kendalian Datuk K. Rajagobal.

"Saya tak tahu (tentang skuad Malaysia)," kata van Persie.

Sagna pula berkata: "Saya juga langsung tak tahu tetapi sudah tentu apabila ia sebuah skuad kebangsaan, para pemainnya adalah yang terbaik."

Situasi tersebut mengundang tanggapan bahawa Wenger dan anak-anak buahnya seolah-olah memandang rendah reputasi skuad kebangsaan yang kini merupakan 'Raja Asia Tenggara' setelah menjuarai Sukan SEA 2009 dan Piala Suzuki AFF 2010.

Ia pasti mampu membakar semangat para pemain kebangsaan untuk 'mengajar' keangkuhan Wenger itu dengan berusaha mencipta kejutan menewaskan Arsenal di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok.

Dalam pada itu, Wenger pada sidang media yang sama menyuarakan keyakinan bahawa Arsenal akan memastikan Cesc Fabregas dan Samir Nasri terus kekal bersama kelab itu meskipun diburu Barcelona, Manchester United dan Manchester City.

"Adakah Fabregas akan terus bersama Arsenal? Saya kata ya. Keduanya, adakah dia akan menandatangani kontrak baru? Saya harap ya tetapi bukan saya yang menentukannya.

"Saya rasa Fabregas cukup sayangkan kelab ini dan kami cukup berharap dia akan kekal. Nasri juga gembira bersama kami dan memberikan komitmen yang baik," ujar Wenger.

Jelas beliau lagi, Arsenal tidak bercadang untuk membeli pemain baru di posisi pertahanan kiri selepas Gael Clichy berhijrah ke Manchester City.

"Saya sudah memiliki Thomas Vermaelen, Armand Traore dan Kieran Gibbs. Jadi tiada keperluan untuk membeli pemain baru di posisi itu," katanya.
Read More

Safee tak beraksi lawan Arsenal


DEMI membantu Malaysia melangkah ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2014, penyerang berbisa, Safee Sali terpaksa melupakan hajat beraksi menentang Arsenal di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Rabu ini.

Safee, 27, masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan hamstring tendon di bahagian belakang lutut yang dialaminya ketika aksi pertama pusingan pertama menentang Taiwan pada 29 Jun lalu.

Menurut Safee, dia berharap kecederaannya itu dapat pulih dengan lebih cepat bagi membolehkannya turun beraksi ketika skuad kebangsaan bertemu pula Liverpool, Sabtu ini.

Namun fokus utamanya tetap untuk dapat tampil dengan aksi terbaik ketika skuad kebangsaan bertemu Singapura pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 pada 23 dan 28 Julai depan.

"Buat masa ini, saya baru pulih 70 peratus dan memang kemungkinan besar tidak dapat beraksi untuk perlawanan menentang Arsenal pada Rabu ini.

"Memang rasa kecewa tidak dapat berdepan pemain-pemain Arsenal, tetapi perlawanan yang lebih penting bagi skuad kebangsaan ialah bertemu Singapura.

"Saya tidak mahu kecederaan ini bertambah teruk semula kerana mahu betul-betul cergas menjelang pertemuan dengan Singapura," kata Safee ketika ditemui Kosmo! semalam.

Dengan ketiadaan Safee, jentera serangan skuad kebangsaan untuk membolosi gawang Arsenal yang dikawal Wojciech Szczesny bakal diketuai Norshahrul Idlan Talaha dan Abdul Hadi Yahaya.

Bagaimanapun, Safee tetap menyimpan hasrat untuk turun beraksi menentang Liverpool yang merupakan musuh tradisi pasukan kegemarannya, Manchester United.

"Mana tahu jika kecederaan saya ini pulih dengan lebih cepat, saya dapat berpeluang turun beraksi menentang Liverpool pada Sabtu ini.

"Sebelum ini pun saya hanya sekali bertemu kelab England iaitu Chelsea pada 2008 dan memang peluang keemasan seperti ini kalau boleh tidak dilepaskan," ujar pemain kelab Pelita Jaya itu.

Dalam pada itu, skuad Arsenal tiba di ibu negara pada hari ini tanpa kelibat kapten, Cesc Fabregas yang masih cedera serta penyerang Lille, Gervinho yang belum melengkapkan perpindahannya.
Read More

TM taja Harimau Malaya

SKUAD bola sepak kebangsaan mendapat suntikan terbesar apabila mendapat tajaan mencecah RM27.8 juta daripada Telekom Malaysia Berhad (TM) untuk tempoh empat tahun sehingga 30 Jun 2015.

Penajaan tahunan berjumlah RM6 juta untuk tahun pertama disusuli kenaikan 10 peratus untuk setiap tahun berikutnya itu membolehkan logo TM dipaparkan pada jersi latihan serta pelbagai barangan sukan, peralatan latihan dan pakaian rasmi skuad kebangsaan.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, penajaan tersebut merupakan satu sejarah baru dalam memasarkan skuad kebangsaan sebagai satu produk.

“TM akan menyalurkan peruntukan pertama pada 15 Julai ini. Malah insentif tambahan sebanyak RM1 juta juga akan diberi andai skuad kebangsaan muncul juara pada kejohanan di rantau ini (Piala Suzuki AFF).

“Tapi saya harap insentif kemenangan ini turut diberikan kepada skuad B-23 jika menjuarai Sukan SEA atau Sukan Asia kerana skuad kebangsaan hanya bersaing pada Piala Suzuki AFF, dua tahun sekali.

“Selain itu, TM juga akan menaja RM150,000 setahun untuk kelengkapan pakaian para pemain kebangsaan. Ini sudah cukup bagus untuk permulaan,” kata Tengku Abdullah pada majlis menandatangani perjanjian itu di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.

Namun bagi Tengku Abdullah, jumlah penajaan itu masih terlalu rendah jika hendak dibandingkan dengan perbelanjaan tahunan skuad kebangsaan Jepun berjumlah AS$40 juta (RM120 juta).

“Kalau nak berjaya seperti Jepun, kita perlu mempunyai dana yang cukup untuk program pembangunan dan skuad kebangsaan. Jadi harap TM dapat merealisasikan harapan itu pada masa akan datang,” jelasnya.

Bagi memastikan wang penajaan TM itu digunakan dengan betul, Tengku Abdullah mahu FAM menubuhkan satu unit khas supaya akaun skuad kebangsaan dapat diasingkan.

“Saya mahu diwujudkan satu unit khas untuk memantau pentadbiran skuad kebangsaan ini dalam semua aspek termasuk latihan gaji, staf dan pemasaran. Saya mahu ia diuruskan secara profesional,” ujarnya.

Dalam pada itu, Tengku Abdullah mencadangkan supaya diwujudkan yayasan bekas pemain bola sepak dalam masa terdekat ini bagi menjaga kebajikan para pemain yang pernah beraksi untuk skuad kebangsaan.
Read More