Thursday, July 21, 2011

Norshahrul tak ke Singapura


PENYERANG Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha terpaksa digugurkan daripada senarai akhir 24 pemain yang akan terbang ke Singapura pada pagi ini.

Tiga lagi pemain yang turut tidak tersenarai ialah penyerang Johor FC, Shahrizal Saad serta dua lagi pemain Kelantan, S. Chanthuru dan Farisham Ismail.

Menurut jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal, Norshahrul diketepikan akibat kecederaan hamstring berulang dialaminya ketika bertemu Arsenal minggu lalu masih belum pulih.

"Tiga lagi pemain, saya tak mahu guna istilah digugurkan. Cuma saya hanya boleh senaraikan 23 pemain bagi perlawanan menentang Singapura pada Sabtu ini.

"Selepas pulang dari Singapura nanti, saya masih perlukan pemain-pemain ini dan bakal melakukan beberapa pertukaran.

"Saya bawa 24 pemain ke Singapura sebagai langkah berjaga-jaga.

"Ini kerana Aidil Zafuan Radzak dan Amar Rohidan masih perlu dinilai tahap kecederaan mereka dalam sehari dua ini," kata Rajagobal ketika ditemui selepas sesi latihan terakhir di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.

Setibanya di Singapura tengah hari ini, skuad kebangsaan mempunyai dua hari untuk menjalani latihan di sana sebelum aksi pertama pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Singapura di Stadium Jalan Besar pada Sabtu ini.

Ditanya tentang pasukan lawan itu, Rajagobal berkata: "Kita sudah tahu posisi dan cara permainan mereka. Tak banyak berbeza seperti sebelum ini. Tapi pasukan tuan rumah selalunya akan beraksi agresif."

SKUAD 24 PEMAIN KE SINGAPURA: Sharbinee Allawee Ramli, Khairul Fahmi Che Mat, Nasril Nourdin, Mahali Jasuli, Helmi Remeli, Muslim Ahmad, Fadhli Shas, Aidil Zafuan Radzak, Rizal Fahmi Rosid, Asraruddin Putra Omar, Azmi Muslim, Amirulhadi Zainal, Baddrol Bakhtiar, Safiq Rahim, Amar Rohidan, Shakir Shaari, Ismail Faruqi Ashari, K. Gurusamy, S. Kunanlan, Ashari Samsudin, Ahmad Fakri Saarani, Abdul Hadi Yahaya, Izzaq Faris Ramlan dan Safee Sali.

0 comments: