Wednesday, July 6, 2011

Skuad Olimpik menanti penuh debar

PASUKAN mana yang akan diletakkan satu kumpulan dengan Malaysia pada pusingan akhir bola sepak Kelayakan Olimpik 2012 bagi Zon Asia bakal terjawab esok.

Majlis undian yang akan berlangsung di Ibu Pejabat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu turut boleh ditonton di laman web www.the-AFC.com bermula pukul 3 petang esok.

Skuad Olimpik negara bimbingan jurulatih Ong Kim Swee mara ke pusingan ketiga itu setelah menyingkirkan Lebanon menerusi agregat 2-1.

Terdahulu, pada pusingan pertama, Malaysia mengatasi Pakistan dengan agregat 2-0.

Ia meletakkan Malaysia dalam kelompok 12 pasukan terbaik Asia bersama-sama Australia, Bahrain, Iraq, Jepun, Korea Selatan, Oman, Qatar, Arab Saudi, Syria, UAE dan Uzbekistan.

12 pasukan ini akan dibahagi ke dalam tiga kumpulan dengan juara setiap kumpulan itu bakal layak secara automatik ke Sukan Olimpik 2012 di London.

Manakala tiga pasukan naib juara kumpulan bakal bersaing sesama sendiri pada 25 hingga 29 Mac 2012 untuk merebut satu slot perlawanan playoff menentang wakil Zon Afrika untuk satu lagi slot ke London.

Mengikut ketetapan yang dibuat, Malaysia akan diletakkan dalam Balang 4 pada majlis undian esok bersama-sama Oman dan UAE.

Ini bermakna Malaysia tidak akan diletakkan satu kumpulan dengan Oman dan UAE.

Balang 1 bakal menampilkan tiga gergasi Asia iaitu Korea Selatan, Jepun dan Australia, Balang 2 menampilkan Iraq, Qatar dan Bahrain manakala Balang 3 menampilkan Arab Saudi, Syria dan Uzbekistan.

Enam perlawanan peringkat kumpulan ini akan berlangsung pada 21 September, 23 dan 27 November, 5 dan 22 Februari 2012 serta 14 Mac 2012.

0 comments: