Pavilion KL seperti di Anfield
PUSAT beli-belah terkemuka, Pavilion yang terletak di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur petang semalam seolah-olah bertukar menjadi Anfield, stadium kelab bola sepak terkemuka England, Liverpool.
Ini kerana, kira-kira 3,000 peminat setia Liverpool memenuhi ruang legar serta koridor kelima-lima tingkat pusat beli-belah berkenaan bagi menyambut kehadiran pemain-pemain skuad The Reds itu.
Akhirnya sorakan gemuruh bergema sebaik enam pemain Liverpool iaitu Andy Carroll, Christian Poulsen, Raul Meireles, Jamie Carragher, Sotiros Kyrgiakos dan John Flanagan melalui pintu masuk Pavilion KL yang dihiasi replika Shankly Gates.
Mereka seterusnya dibawa ke pentas utama untuk melancarkan kad debit Standard Chartered Liverpool FC dan meluangkan sedikit masa berinteraksi bersama para peminat.
Terdahulu, Carroll, Poulsen, Meireles, Carragher dan Kyrgiakos turut singgah ke ruang lobi Menara Standard Chartered yang terletak bersebelahan dengan Pavilion KL untuk beramah mesra dengan kakitangan bank berkenaan serta kira-kira 200 peminat The Reds.
Standard Chartered merupakan penaja utama Liverpool bermula musim lalu.
Pada majlis tersebut, Carroll, 22, yang beraksi di posisi serangan meluahkan rasa terujanya selepas melihat kehadiran ribuan penyokong The Reds pada sesi latihan pasukan itu di Stadium Nasional, Bukit Jalil petang kelmarin.
"Satu suasana menakjubkan pada sesi latihan tersebut. Saya berasa terharu kerana ramai yang sanggup datang dari jauh untuk melihat kami berlatih di sini.
"Saya menjangkakan satu suasana yang meriah serta perlawanan yang menarik esok (hari ini)," kata Carroll yang memiliki ketinggian 191 sentimeter.
Sementara itu, pemain tengah, Poulsen, 31, berharap kehadiran penyokong ke stadium pada perlawanan petang ini semeriah suasana di Pavilion KL semalam.
"Kami sudah bersiap sedia untuk turun beraksi esok (hari ini). Kami menang 4-3 di Guangzhou pada Rabu lalu dan harap dapat mencatat satu lagi kemenangan di sini," ujar Poulsen.
0 comments:
Post a Comment