Friday, July 8, 2011

10 senior dipanggil berdepan Chelsea

JURULATIH skuad Olimpik kebangsaan, Ong Kim Swee menyenaraikan 10 pemain senior untuk memperkuatkan barisan Pilihan Malaysia bagi menghadapi Chelsea di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 21 Julai depan.

Kim Swee diberi tugas mengemudi pasukan Pilihan Malaysia setelah skuad kebangsaan bimbingan Datuk K. Rajagobal tidak dapat beraksi menentang Chelsea.

Ini kerana skuad Rajagobal itu akan menghadapi Singapura pada aksi pertama pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 di Stadium Jalan Besar dua hari kemudian.

Justeru bagi menampung kekuatan 16 pemain utamanya dari skuad Harimau Muda A, Kim Swee telah memanggil 23 pemain luar termasuk 10 pemain berstatus senior dalam kancah bola sepak negara untuk bertemu Chelsea.

Mereka ialah Badhri Radzi, Daudsu Jamaluddin, Rizal Fahmi Ab. Rosid, S. Subramaniam (Kelantan), Joseph Kalang Tie, Ismail Faruqi Ashari (Terengganu), Hairuddin Omar, Farizal Marlias (Negeri Sembilan), Shahrulnizam Mustapa (Perak) dan Amri Yahyah (Selangor).

"10 pemain ini cukup berpengalaman dan mereka telah membuktikan dalam saingan liga yang mereka ini layak untuk dipanggil bertemu Chelsea," kata Kim Swee.

Selain itu, baki 13 lagi pemain luar yang dipanggil Kim Swee adalah berusia bawah 23 tahun, iaitu mereka yang sama ada layak untuk beraksi pada Kelayakan Olimpik 2012 atau Sukan SEA 2011.

Mereka ialah Izuan Solahuddin (Kelantan), Zubir Azmi (Terengganu), Faizal Abu Bakar (Kedah), Syazwan Roslan (Perak), Rozaimi Abd. Rahman (Sabah), Syazwan Zainon, Azrul Azmi (Felda), Hazwan Bakri (KL), Famirul Asraf Sayuti (Pahang), Azrif Nasrulhaq, Khairul Akhyar (PKNS) serta Nazmi Faiz, Syazwan Tajuddin (H.Muda B).

"13 pemain ini saya panggil bagi pemilihan bersama-sama 16 pemain Harimau Muda A lain untuk saya menamakan barisan 25 pemain yang akan ke Slovakia pada 23 Julai depan.

"Saya perlu panggil lebih pemain di barisan pertahanan kerana saya tak dapat membawa Muslim Ahmad, Mahali Jasuli, Fadhli Shas serta Khairul Fahmi Che Mat, K. Gurusamy dan Ahmad Fakri Saarani ke Slovakia kerana mereka mempunyai program bersama skuad kebangsaan," jelas Kim Swee.

Namun Kim Swee tidak dapat menyenaraikan Faizal Muhammad yang kembali mengalami kecederaan selepas baru saja pulih daripada kecederaan panjang.

Kesemua 39 pelatih bagi menghadapi perlawanan menentang Chelsea serta pemilihan ke Slovakia itu akan mula berkumpul menjalani latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Isnin ini.

0 comments: