Wednesday, July 6, 2011

Sabar sebelum serang Kota Singa

PARA penyokong Harimau Malaya perlu bersabar terlebih dahulu sebelum menyerang Kota Singa pada 23 Julai depan.

Jumlah sebenar tiket diperuntukkan buat penyokong Malaysia untuk aksi pertama pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Singapura di Stadium Jalan Besar itu hanya akan diketahui selewat-lewatnya esok.

Masalah pasti timbul memandangkan stadium yang menggunakan permukaan rumput sintetik itu hanya boleh memuatkan 6,000 penonton.

Sedangkan para penyokong Malaysia tampak begitu bersemangat untuk menyeberangi Tambak Johor bagi memberi sokongan padu kepada barisan pemain skuad Datuk K. Rajagobal itu.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad berkata, beliau sudah pun menghubungi pihak Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) bagi membincangkan hal tersebut.

“Pihak FAS menyatakan bahawa mereka akan menetapkan harga tiket serta berapa peruntukan untuk diberi kepada penyokong Malaysia dalam masa sehari dua ini.

“Tiada ketetapan sebenarnya. Terpulang kepada budi bicara pasukan tuan rumah untuk beri peruntukan tiket kepada pasukan lawan. Kita akan lihat terlebih dahulu berapa jumlah ditawarkan FAS.

“Jika terlalu sedikit, kita akan cuba merayu tambahan peruntukan. Sama seperti final pertama Piala Suzuki AFF 2010, FAM beri peruntukan 20 peratus tempat duduk untuk penyokong Indonesia,” kata Azzuddin ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Andai dicongak dengan kemungkinan FAS turut memberi peruntukan 20 peratus tiket, hanya 1,200 penyokong Harimau Malaya akan dapat berada di Stadium Jalan Besar pada 23 Julai depan.

“Pihak FAM sangat menghargai sokongan dan keghairahan penyokong Malaysia.

“Kita akan cuba yang terbaik dan mana yang tidak dapat ke Singapura, kita harap dapat membanjiri Stadium Nasional, Bukit Jalil untuk aksi kedua pada 28 Julai,” jelas Azzuddin.

0 comments: