Friday, July 15, 2011

Liverpool ikrar pukau peminat tempatan


SEJAK ditubuhkan pada 1892, skuad Liverpool akhirnya menjejakkan kaki di Malaysia semalam untuk aksi persahabatan menentang skuad kebangsaan di Stadium Nasional, Bukit Jalil petang esok.

Ia kunjungan pertama Liverpool selepas kelab itu tidak lagi menjadikan syarikat arak sebagai penaja utama. Ia kini ditaja Standard Chartered dan ini sekali gus menamatkan penantian panjang penyokong The Reds di negara ini.

Pengarah Urusan Liverpool, Ian Ayre berkata, beliau teruja melihat kehangatan sambutan penyokong Liverpool di China dan Malaysia pada kunjungan kali ini.

"Penyokong The Reds cukup ramai di sini dan kami akan cuba memberikan sesuatu yang terbaik pada perlawanan Sabtu ini (esok) bagi memastikan kunjungan kami diingati sampai bila-bila.

"Biarpun kami mengambil masa cukup lama untuk hadir ke Malaysia tetapi kami berharap dapat kembali semula ke sini pada siri jelajah akan datang," kata Ayre pada sidang media di Hotel One World, Bandar Utama, Damansara petang semalam.

Sementara itu, pengurus Liverpool, Kenny Dalglish pada sidang media yang sama turut memberi amaran bahawa tiada laluan mudah buat skuad kebangsaan pada aksi petang esok.

"Aksi pramusim ini merupakan peluang terbaik untuk pemain-pemain mencari semula tahap kecergasan. Buat masa ini, saya berpuas hati dengan siri jelajah ini.

"Cuma ketika bertemu Guangdong Sunray Cave, kita telah mendahului 4-1 tetapi membuat kesilapan mudah melepaskan dua gol pada lima minit terakhir.

"Saya mahu para pemain memperbaiki segera kesilapan dan gunakan sebaik mungkin siri jelajah ini sebagai persiapan menghadapi musim depan.

"Biarpun susah untuk meraih trofi kejuaraan tetapi kita akan berusaha memulakan saingan musim depan dengan langkah kanan," kata Dalglish.

Tidak sampai 24 jam menjejakkan kaki ke negara ini, anak-anak buah Dalglish telah menjalani latihan di Stadium Nasional, Bukit Jalil bermula 7 malam sebagai persediaan menentang skuad Harimau Malaya.

Penampilan kali pertama barisan The Reds ternyata telah memukau kira-kira 7,000 penonton yang hadir ke stadium semalam bagi menyaksikan sesi latihan pemain-pemain pujaan mereka itu.

0 comments: